Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 164/2026 : SOLAT JUMAAT DAN JURANG ANTARA HAK DENGAN KEMUDAHAN

T.jpeg

 

SOLAT JUMAAT DAN JURANG ANTARA HAK DENGAN KEMUDAHAN

 

PENDAHULUAN

Perdebatan mengenai penutupan premis perniagaan ketika solat Jumaat sering berkisar tentang tuntutan agama dan kepentingan ekonomi. Namun, di sebalik perdebatan ini, keadaan pekerja yang perlu menunaikan solat Jumaat turut menuntut perhatian.

Ada pekerja yang mudah mendapat pelepasan, tetapi ada juga yang terikat dengan jadual syif, jarak masjid dan kesesakan perjalanan. Keadaan ini memperlihatkan bahawa kewajipan agama perlu didukung oleh kemudahan yang sesuai. Tanggungjawab tersebut melibatkan individu, majikan dan pihak berkuasa.

KEWAJIPAN SYARAK DAN KEBIJAKSANAAN PELAKSANAAN

Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِنْ يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِوَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ


Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual beli. Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.”

Surah al-Jumu‘ah (9)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa solat Jumaat merupakan fardu ain menurut jumhur ulama.Kewajipan ini terpakai kepada lelaki Muslim yang memenuhi syaratnya. Perintah meninggalkan jual beli menunjukkan keutamaan ibadah, manakala ayat berikutnya mengizinkan umat Islam kembali mencari rezeki setelah selesai solat. Kedua-duanya memperlihatkan keseimbangan antara tuntutan agama dengan kehidupan bekerja.

Dari sudut maqasid tadayun, solat Jumaat berkait dengan pemeliharaan agama sebagaimana dihuraikan oleh Imam al-Ghazali dalam al-Mustasfa. Kewajipan ini mendidik umat Islam supaya berdisiplin dalam beribadah dan tidak mengabaikan tanggungjawab kepada Allah SWT kerana kesibukan pekerjaan.

Walau bagaimanapun, kewajipan syarak perlu dibezakan daripada kaedah pelaksanaannya. Penutupan premis dan pelepasan pekerja merupakan urusan pentadbiran yang perlu mengambil kira bidang kuasa serta keadaan setempat. Kebijaksanaan mengurus kedua-duanya penting supaya syiar Islam terpelihara tanpa menimbulkan kesulitan yang boleh dielakkan.

 

APABILA PELEPASAN WAKTU BELUM MENCUKUPI

Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia melalui Garis Panduan Menunaikan Solat Dalam Waktu Kerja menggariskan pelepasan sekurang-kurangnya satu jam 30 minit bagi solat Jumaat.Panduan ini membantu majikan mengurus waktu bekerja, namun keperluan pekerja mungkin berbeza mengikut lokasi dan jenis pekerjaan.

Pekerja di kawasan industri mungkin berhadapan perjalanan jauh, sementara pekerja sektor perkhidmatan memerlukan penyusunan syif yang sesuai. Pelepasan yang diberikan perlu benar-benar membolehkan mereka menghadiri khutbah dan menunaikan solat dengan sempurna.

Persoalan ini berkait dengan maqasid umran yang menekankan kesejahteraan masyarakat dan keteraturan kehidupan. Imam al-Suyuti mengemukakan kaedah bahawa tindakan pemerintah terhadap rakyat hendaklah berasaskan kemaslahatan. Prinsip ini menuntut dasar yang baik disertai pengurusan yang mengambil kira keadaan sebenar masyarakat.

Dalam kawasan yang menghadapi masalah kapasiti masjid atau kesukaran perjalanan, penambahan lokasi solat Jumaat boleh dipertimbangkan. Imam al-Rafi‘i menjelaskan bahawa solat Jumaat tidak disyaratkan berlangsung dalam bangunan masjid, selagi tempatnya berada dalam lingkungan penempatan. Imam al-Nawawi pula mengharuskan penambahan lokasi menurut kadar keperluan apabila sukar menghimpunkan jemaah.

Namun, kelonggaran ini memerlukan pertimbangan yang teliti. Imam al-Subki menegaskan kepentingan maslahat umum dalam pemberian keizinan pemerintah. Oleh itu, penyediaan lokasi tambahan hendaklah memenuhi syarat syarak dan mendapat kelulusan pihak berkuasa agama negeri.

Pada masa yang sama, keberkesanan kemudahan sedia ada perlu diteliti. Tempoh pelepasan, jadual syif, jarak masjid dan aduan pekerja boleh dijadikan ukuran untuk menambah baik pelaksanaan. Majikan perlu merancang operasi dengan adil, manakala pekerja hendaklah menggunakan kemudahan tersebut secara bertanggungjawab.

Pendekatan ini selari dengan siyasah syar‘iyyah yang mengutamakan kemaslahatan. Syiar Islam dapat dipelihara dengan mengambil kira kebajikan pekerja, kelancaran ekonomi dan keharmonian masyarakat majmuk.

 

KESIMPULAN

Solat Jumaat merupakan kewajipan yang jelas dalam Islam. Namun, memastikan kewajipan tersebut dapat dilaksanakan dengan baik memerlukan kesungguhan individu, keprihatinan majikan dan kebijaksanaan pihak berkuasa.

Maqasid tadayun memelihara penghayatan agama, manakala maqasid umran membimbing pengurusan kehidupan masyarakat. Kedua-duanya saling melengkapi dalam memastikan syiar Islam terus dihormati.

Hak beragama perlu disokong dengan kemudahan yang berfungsi. Peraturan menetapkan tanggungjawab, manakala kebijaksanaan pelaksanaan memastikan tujuan syarak benar-benar tercapai.

S.S. Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Ali @ Fadzil

Mufti Wilayah Persekutuan

25 NOVEMBER 2026 / 15 JAMADIL AKHIR 1448H