Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #11: IMPLIKASI UCAPAN “KALAU SAYA TUHAN. SAYA TAK JADIKAN KAMU. DAH LAMA SAYA HAPUSKAN.”

 

 

Soalan: Apakah hukum seseorang mengatakan, Kalau saya Tuhan. Saya tak jadikan kamu. Dah lama saya hapuskan.”

Jawapan:

Beberapa hari kebelakangan ini, tular di dalam media sosial mengenai satu video yang memaparkan ungkapan kontroversi seorang ahli politik dalam negara. Rentetan itu, kami telah dihujani dengan pertanyaan daripada pelbagai pihak mengenai kedudukan ungkapan tersebut memandangkan ia menyentuh persoalan agama. Tanpa bermaksud menujukan artikel ini kepada sesiapa secara khusus, kami berpandangan adalah lebih baik isu ini ditangani secara ilmiah, berhemah dan berhikmah. Moga-moga ia dapat dijadikan pencerahan kepada sesiapa sahaja dalam kalangan umat Islam di luar sana yang mungkin masih tercari-cari akan jawapan kepada persoalan.

 

Pertama: Hukum menyebut perkataan, “Kalau saya Tuhan”.

 

Hukum asal menggunakan perkataan “kalau” dan seumpamanya adalah harus. Namun demikian, jika penggunaannya merujuk kepada kekecewaan kerana tidak dapat menerima taqdir Allah SWT, maka ia adalah ungkapan yang dilarang. Ia sebagaimana firman Allah SWT:

أَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ كَفَرُواْ وَقَالُواْ لِإِخۡوَٰنِهِمۡ إِذَا ضَرَبُواْ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَوۡ كَانُواْ غُزّى لَّوۡ كَانُواْ عِندَنَا مَا مَاتُواْ وَمَا قُتِلُواْ لِيَجۡعَلَ ٱللَّهُ ذَٰلِكَ حَسۡرَة فِي قُلُوبِهِمۡۗ

 

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu seperti orang-orang kafir (orang-orang munafik) itu, yang mengatakan kepada saudara-saudara mereka apabila mereka mengadakan perjalanan di muka bumi atau mereka berperang: Kalau mereka tetap bersama-sama kita tentulah mereka tidak mati dan tidak dibunuh. Akibat (dari perkataan dan keyakinan mereka) yang demikian itu, Allah menimbulkan rasa penyesalan yang sangat di dalam hati mereka. 

(Surah Ali Imran : 156)

 

Baginda SAW turut menjelaskan larangan tersebut menerusi sabdanya:

 

وَإِنْ أَصَابَكَ شَيْءٌ، فَلَا تَقُلْ لَوْ أَنِّي فَعَلْتُ كَانَ كَذَا وَكَذَا، وَلَكِنْ قُلْ قَدَرُ اللهِ وَمَا شَاءَ فَعَلَ، فَإِنَّ لَوْ تَفْتَحُ عَمَلَ الشَّيْطَانِ

 

Maksudnya: "Kalau engkau tertimpa musibah, janganlah engkau mengatakan: Kalau tadi aku lakukan begini, tentu jadinya akan begini dan begini, tapi katakanlah: Sudah takdir Allah, Allah melakukan apa sahaja yang Dia kehendaki. Kerana sesungguhnya kata "kalau" itu membuka pintu amalan syaitan.

(Riwayat Muslim, no. 22664)

 

Imam al-Nawawi mengatakan maksud kalauitu membuka pintu amalan syaitan iaitu bila dilafazkan kerana kekecewaan dan penyesalan terhadap kepentingan duniawi (Sharh al-Nawawi ‘ala Muslim, 8/156). Di tempat lain, Imam al-Nawawi menukilkan pendapat al-Qadhi ‘Iyadh yang mengatakan perkataan “kalau” yang ditegah itu adalah apabila tercetus di dalam hati seseorang perasaan menentang taqdir yang dibisikkan oleh syaitan (Sharh al-Nawawi ‘ala Muslim, 16/216).

Ibn Daqiq al-‘Ied pula berpandangan penggunaan kata “kalau” dimakruhkan apabila ia terjadi dalam bab keghairahan meraih kepentingan dunia. Sama ada bersifat menginginkan sesuatu, seperti seseorang mengatakan, “Kalau aku melakukan demikian, maka aku akan mendapat demikian.” Atau bersifat menolak sesuatu seperti mengatakan, “Kalau demikian, tentu tidak terjadi padaku demikian.” Kenyataan seumpama ini menunjukkan ketiadaan sikap menyerahkan sesuatu yang berlaku itu kepada qadha dan qadar Allah SWT (Lihat Ihkam al-Ahkam, 2/87)  

Walau bagaimanapun, menurut Imam al-Nawawi larangan di sini bukan bermaksud larangan haram, sebaliknya makruh. Bahkan sesiapa yang menyebut perkataan “kalau” bagi menggambarkan penyesalannya terhadap ketaatan kepada Allah yang terluput daripadanya, maka ia tidak mengapa (Sharh al-Nawawi ‘ala Muslim, 16/216).

Apa yang membezakan penggunaan “kalau” yang disebutkan dalam hadis di atas dengan “kalau” yang menjadi topik perbahasan adalah subjek yang dirujuk. “Kalau” dalam hadis tersebut merujuk kepada perbuatan makhluk yang tertakluk kepada qadha dan qadar Allah SWT yang bersifat harus bagi-Nya. Manakala subjek “kalau” dalam topik artikel ini merujuk kepada sesuatu yang mustahil bagi Allah SWT.

Ini kerana ungkapan, “kalau saya jadi Tuhan” cuba memberikan kemungkinan pada suatu yang mustahil bagi Allah SWT. Dalam al-Qur’an, Allah SWT sendiri telah membatalkan sangkaan “kalau” wujud tuhan selainnya dengan firman-Nya:

 

  لَوۡ كَانَ فِيهِمَآ ءَالِهَةٌ إِلَّا ٱللَّهُ لَفَسَدَتَاۚ فَسُبۡحَٰنَ ٱللَّهِ رَبِّ ٱلۡعَرۡشِ عَمَّا يَصِفُونَ ٢٢

 

Maksudnya: Kalau ada di langit dan di bumi tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya rosaklah pentadbiran kedua-duanya. Maka (bertauhidlah kamu kepada Allah dengan menegaskan): Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.

(Surah al-Anbiya’: 22)

Selain itu, mengungkapkan kata-kata, “Kalau saya jadi Tuhan” lebih bermasalah dan lebih besar implikasinya kerana ia menyandarkan kemungkinan menjadi Tuhan kepada dirinya sendiri. Ia suatu ungkapan yang sukar ditakwilkan berbanding seseorang yang menyandarkan ketuhanan kepada bulan, bintang, Nabi Isa, dewa, kuasa ghaib dan lain-lain. Penyandaran itu mungkin disebabkan kejahilan, ikutan membuta tuli atau terlalu mengikut emosi.

 

Firman Allah SWT:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّـهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ

 

Maksudnya: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

  (Surah al-Taubah: 65)

Ucapan "Kalau saya Tuhan" termasuk dalam al-manahi al-lafẓiyyah ataupun perkataan-perkataan yang terlarang. Walaupun dihujungnya ada diikat dengan kata "Tapi sebab saya bukan Tuhan..." ianya tetap tidak menafikan penggunaan nama Allah pada maksud yang tidak benar. Ini kerana, ia tetap termasuk dalam kategori istihza' (mempersendakan) yang mana antara yang dikategorikan sebagai istihza' adalah mempersendakan seseorang untuk membuatkannya kelihatan bodoh atau hina.

 

Menyandarkan kemungkinan diri sendiri sebagai Tuhan adalah suatu ungkapan yang lebih hampir kepada sikap angkuh dan takbur dengan diri sendiri dari segi adabnya. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang menggambarkan keangkuhan Fir’aun mengaku Tuhan dalam surah al-Nazi’at ayat 24. Melainkan jika ungkapan itu dilafazkan kerana tersasul atau tersalah bicara sepertimana hadis berikut:

 

للهُ أَشَدُّ فَرَحاً بِتَوبَةِ عَبْدِهِ حِينَ يتوبُ إِلَيْهِ مِنْ أَحَدِكُمْ كَانَ عَلَى رَاحِلَتهِ بأرضٍ فَلاةٍ، فَانْفَلَتَتْ مِنْهُ وَعَلَيْهَا طَعَامُهُ وَشَرَابهُ فأَيِسَ مِنْهَا ، فَأَتى شَجَرَةً فاضطَجَعَ في ظِلِّهَا وقد أيِسَ مِنْ رَاحلَتهِ ، فَبَينَما هُوَ كَذَلِكَ إِذْ هُوَ بِها قائِمَةً عِندَهُ ، فَأَخَذَ بِخِطامِهَا ، ثُمَّ قَالَ مِنْ شِدَّةِ الفَرَحِ : اللَّهُمَّ أنْتَ عَبدِي وأنا رَبُّكَ ! أَخْطَأَ مِنْ شِدَّةِ الفَرَحِ.

 

Allah sangat gembira dengan taubat hamba-Nya ketika hamba-Nya tersebut bertaubat kepada-Nya, dibandingkan (kegembiraan) seseorang yang sedang mengadakan perjalanan di padang pasir, lalu tiba-tiba untanya hilang bersama bekal makanan dan minuman yang ada di atasnya, maka ia pun berputus asa (setelah mencari untanya tersebut), ia mendatangi sebuah pohon lalu berbaring di bawah naungannya, ia telah berputus asa dalam perjalanannya ini, ketika kondisinya seperti itu, tiba-tiba untanya sudah berdiri di sampingnya, maka ia segera mengambil tali kendalinya sambil berkata dengan penuh gembira: Ya Allah engkau hambaku dan aku Tuhanmu! Dia tersasul kerana terlampau gembiranya.

(Riwayat Muslim, no. 7)

 

 

 

Hadis di atas menunjukkan seseorang yang tersasul menyandarkan dirinya sebagai Tuhan. Al-Qadhi ‘Iyadh mengatakan hadis ini merujuk kepada seseorang yang melafazkan perkataan seumpama ini dalam keadaan terkejut, terleka atau tanpa sedar, maka ia dimaafkan (Lihat Fath al-Bari, 11/108). Al-‘Iraqi pula berpandangan perlu dilihat kepada realiti orang yang melafazkannya. Jika ia berlaku berulang kali dan dia dikenali sebagai orang yang sering melakukan pelanggaran agama dan tidak mengambil berat terhadap agamanya, maka dakwaan tersasul itu tidak diterima. Namun, jika ia berlaku kerana tersilap sebut dan dikenali sebagai orang yang warak dan memelihara agamanya, maka alasan tersasul itu boleh diterima (Lihat Tarh al-Tathrib, 2/20) 

 

Kedua: Mengandaikan Tuhan hanya menjadikan apa yang baik menurut akal manusia

Perkataan, “Kalau saya jadi Tuhan. Saya tak jadikan kamu. Dah lama saya hapuskan” dapat difahami sebagai ungkapan yang mengandaikan Tuhan tidak sepatutnya menjadikan suatu keburukan.

Ia dilafazkan dengan maksud bagi mengatakan bahawa Tuhan itu sepatutnya bersifat Maha Baik. Baik yang dimaksudkan iaitu Tuhan itu tidak sekali-kali akan menjadikan keburukan. Dengan kata lain, jika Tuhan itu hanya menciptakan kebaikan sahaja di dunia ini, sudah pasti ungkapan, Kalau saya jadi Tuhan. Saya tak jadikan kamu. Dah lama saya hapuskan” tidak akan timbul.

Pemahaman sebegini adalah menghampiri asas kepada pemikiran Mu’tazilah. Dalam memahami erti keadilan Tuhan, Mu’tazilah mewajibkan bagi Allah SWT hanya menciptakan perkara yang baik dan tidak menciptakan perkara yang buruk, mewajibkan bagi Allah SWT melakukan yang baik (al-solah wa al-aslah) buat hamba-hamba-Nya dan mendakwa baik buruk sesuatu itu memadai ditentukan oleh akal, bukan syarak (al-tahsin wa al-taqbih al-‘aqliyan) (Lihat al-‘Aqidah al-Islamiyyah wa Mazahibuha, m. 141, 147 & 153).  

Kesilapan asas Mu’tazilah adalah melampau dalam mengiaskan perkara yang ghaib dengan perkara yang zahir. Ini menjadi punca mereka memaksakan Allah SWT terikat dengan peraturan alam dan mewajibkan bagi Allah SWT dengan keadilan menurut akal manusia. Mereka terlupa bahawa erti adil dalam kalangan manusia itu sendiri bersifat subjektif kerana boleh berubah dengan perubahan masa dan tempat (Lihat Manahij al-Ijtihad fi al-Islam, m. 499).    

Ibn Hazm ketika mengkritik pemikiran Mu’tazilah menjelaskan, umat Islam sedia maklum bahawa Allah SWT itu Maha Adil. Sesiapa yang menyifatkan Allah SWT dengan sifat zalim maka ia boleh membawa kepada kekufuran. Namun, itu tidak bermakna kita mampu menghakimi keadilan Allah SWT dengan menggunakan akal. Jika akal yang menjadi penentu, ini bermakna kita telah benar-benar menyamakan Allah SWT dengan makhluk (Lihat Al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa’ wa al-Nihal, m. 3/56)

Justeru, jika seseorang itu memiliki pemahaman akidah yang jelas terhadap perbuatan Allah SWT dan akur dengan keterbatasan akal dalam menilainya, sudah tentu dia tidak akan mengeluarkan perkataan yang mempertikaikan keadilan dan kebijaksanaan Allah SWT dalam penciptaan-Nya.

Ungkapan, “Kalau saya jadi Tuhan” apabila digandingkan dengan ungkapan, “Saya tak jadikan kamu. Dah lama saya hapuskan” melengkapkan doktrin yang amat hampir kepada fahaman Mu’tazilah yang mewajibkan bagi Tuhan hanya melakukan sesuatu yang dilihat baik pada akal manusia. Jika ia bertentangan dengan akal manusia, maka Tuhan tidak patut melakukannya bahkan di luar dari kehendak dan kudrat-Nya.

Pemikiran sebegini akan meletakkan Allah SWT sebagai Tuhan yang tidak memiliki kebebasan mutlaq dalam perbuatan-Nya. Ini jelas batil dan mustahil bagi Allah SWT. Sedangkan Allah SWT itu Zat yang bersifat Maha Menguasai (al-Qahhar), Maha Menundukkan (al-Jabbar) dan seumpamanya.  

 

Ketiga: Lafaz yang mengundang syubhah @ keraguan

Ungkapan, Kalau saya jadi Tuhan. Saya tak jadikan kamu. Dah lama saya hapuskan”, walau apapun tafsirannya, ia tetap mengundang syubhah. Sekalipun ia tidak ditujukan kepada Tuhan, tetapi ditujukan kepada orang yang dibangkang, namun secara tidak langsung unsur mempertikaikan kerasionalan perbuatan Tuhan tetap wujud.

Ia sama seperti syubhah-syubhah yang ditimbulkan oleh iblis sepertimana yang dinukilkan oleh al-Shahrastani. Perkara pertama yang dipertikaikan iblis, jika Allah SWT telah sedia mengetahui apa yang bakal akan dilakukannya iaitu keingkaran dan kejahatan, mengapa Allah masih tetap menciptakannya? (Lihat Al-Milal wa al-Nihal, m. 7). Daripada syubhah ini maka timbulnya pelbagai syubhah lain sehingga melahirkan pelbagai aliran yang bertuhankan akal dan nafsu (Lihat Al-Milal wa al-Nihal, m. 9).

Dengan itu, sebarang ungkapan yang boleh membuka ruang kepada tercetusnya pelbagai syubhah hendaklah dijauhi. Lebih-lebih lagi, dalam suasana umat Islam yang sedang berhadapan dengan pelbagai serangan pemikiran falsafah yang menyesatkan seperti agnostisisme, liberalisme agama dan ateisme.   

 

Keempat: Memperolok-olok dan mempermain-mainkan Tuhan

Premis, “Kalau saya jadi Tuhan. Saya tak jadikan kamu. Dah lama saya hapuskan” juga mempunyai unsur merendah-rendahkan perbuatan Tuhan yang diandaikan oleh akal sebagai buruk atau tidak sempurna. Ia seperti seseorang berkata, “Kalau saya jadi pemimpin, sudah lama saya tidak lantik atau saya pecat orang berkenaan.” Ungkapan sebegini jelas memiliki maksud merendah-rendahkan subjek yang di”kalau”kan itu. Apatah lagi jika yang di“kalau”kan itu adalah Tuhan.

 

Hal ini sebagaimana firman Allah SWT membongkar sikap golongan munafiqin yang gemar bermain-main dengan agama-Nya. Allah SWT berfirman:

 

وَلَئِن سَأَلۡتَهُمۡ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلۡعَبُۚ قُلۡ أَبِٱللَّهِ وَءَايَٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمۡ تَسۡتَهۡزِءُونَ ٦٥

 

Maksudnya: Dan jika kamu tanyakan kepada mereka (tentang apa yang mereka lakukan itu), tentulah mereka akan menjawab, "Sesungguhnya kami hanyalah bersenda gurau dan bermain-main saja.” Katakanlah, "Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya, dan Rasul-Nya kalian selalu berolok-olok?”

(Surah al-Tawbah: 65)

 

 

 

Imam Ibn Kathir meriwayatkan, ayat ini turun kepada seorang lelaki daripada kalangan munafiqin yang mengatakan, “Me­nurut penilaianku, mereka yang menjadi tamu kita (Muhajirin) tiada lain adalah orang-orang yang paling mengabdi kepada perutnya, paling dusta lisannya, dan paling pengecut di saat perang berkecamuk.” Lalu hal itu disampaikan kepada Rasulullah SAW, dan lelaki itu datang kepada Rasulullah SAW yang telah berada di atas untanya dan memacunya untuk berangkat, kemudian lelaki itu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguh­nya kami hanya bersenda gurau dan bermain-main saja.” Maka Allah SWT menjawab melalui firman-Nya: “Apakah dengan Allah, ayat-ayat-Nya, dan Rasul-Nya kalian selalu berolok-olok. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 4/171)

Menurut al-Qadhi Ibn al-‘Arabi, perkataan yang disebutkan oleh golongan munafiqin itu tidak sunyi daripada dua kemungkinan, sama ada dengan bersungguh atau bergurau. Namun, kedua-duanya tetap membawa kepada kekufuran. Ini kerana, bergurau dengan perkara kufur itu kufur tanpa sebarang khilaf (Lihat Ahkam al-Qur’an, 2/543).

Al-Sa’di juga berpandangan serupa, memperolok-olokkan Allah dan Rasul itu hukumnya kufur, terkeluar daripada Islam. Ini kerana, prinsip agama itu tertegak dengan mengagungkan Allah SWT, agama-Nya dan para rasul-Nya. Mempermain-mainkan sesuatu daripadanya, menafikan prinsip tersebut bahkan bertentangan sama sekali dengan sikap mengagungkan-Nya dan tidak menyentuh kesucian-Nya (Lihat Tafsir al-Sa’di, m. 342).

 

Kelima: Membawa kepada penyerupaan (tasybih) Allah SWT dengan makhluk

Ungkapan tersebut dibimbangi boleh membawa kepada penyerupaan Allah SWT dengan makhluk-Nya. Al-Marhum bekas Mufti Sabah, Tuan Haji Said Ibrahim menyenaraikan beberapa keadaan yang boleh menyebabkan seseorang itu menjadi kufur dan membatalkan keislamannya dalam bab ketuhanan adalah sebagaimana berikut:

a)    Menyabitkan apa-apa sifat bagi Allah SWT yang Allah SWT sendiri nafikan sifat-sifat itu pada dirinya atau Rasulullah SAW nafikan sifat-sifat itu dari Allah SWT seperti menyabitkan Allah SWT beranak, atau diperanakkan, atau berkawan dan bersahabat, atau mengantuk, tidur, lalai, lupa, mati atau apa sahaja kekurangan yang ada pada manusia.

b)    Menyabitkan sesuatu sifat daripada sifat-sifat Allah pada diri seseorang, atau pada makhluk, atau membenarkan dakwaan mereka yang berkata, “Pengetahuan aku adalah sama seperti pengetahuan Allah.” Pengetahuan aku adalah sama seperti pengetahuan Allah”, atau si folan kebijaksanaannya atau keadilannya.” Kekufuran ini dalam aqidah Islam dan ilmu tawhid dinamakan, “kufur al-ithbat”, iaitu kafir dengan sebab menyabitkan bersekutu bagi Allah SWT pada sifat kekurangan yang ada pada diri seseorang manusia. (Lihat Aqidah Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah, m. 355-356)

 

Pandangan Para Mufti dan Tokoh Agama di Malaysia

Kami kemukakan beberapa pandangan mufti dan tokoh agama di Malaysia seperti berikut:

 

SS Tan Sri Harussani Zakaria – Mufti Perak

“Kenyataan itu merosakkan aqidah, maknanya dia sudah menyamakan taraf Tuhan dengan dia, dia pun boleh jadi Tuhan. Maknanya Allah itu dilantik menjadi Tuhan, kalau tidak dia pun boleh, begitulah maknanya. Jadi perbuatan itu adalah perbuatan syirik kepada Allah S.W.T., dia wajib bertaubat dan mengucap dua kalimah syahadah,” tegas beliau. “Tuhan tidak akan ada sama dengan manusia ini, tidak boleh jadi “kalau” dia tu, dia makhluk Allah, Tuhan jadikan dia, macam mana dia hendak naik ke atas sampai jadi Tuhan?” katanya. (http://utaranews.com/2018/04/mufti-perak-gesa-pemimpin-pan-bertaubat.html/)

 

SS Dato’ Mohd Yusof bin Ahmad – Mufti Negeri Sembilan

Ketika bercakap dengan TV3, beliau memberi reaksi terhadap isu “Kalau saya Tuhan”, dengan berpesan agar jangan keterlaluan berpolitik sehingga menjejaskan aqidah. (Facebook Mufti Negeri Sembilan)

 

SS Dato’ Mohamad Shukri Mohamad

Mengeluarkan kata-kata bersifat andaian atau membandingkan keupayaan makhluk dengan tuhan seperti ‘kalau saya tuhan’ merupakan satu perbuatan yang tidak beradab dan secara jelas melanggar pegangan hidup sebagai seorang yang beragama Islam. Hal ini kerana, apabila bercakap mengenai akidah, hanya terdapat dua sahaja perkara iaitu tuhan dan makhluk. Justeru itu, walau dalam apa jua keadaan sekalipun, adalah tidak layak bagi seorang hamba untuk mengandaikan dirinya sebagai pencipta. Meluahkan kata-kata seperti itu sama seperti tidak beradab dengan Tuhan. Seolah-olah tidak berpuas hati dengannya bahkan berani menyalahkan pula ketentuan Allah,” katanya. (http://www.utusan.com.my/berita/nasional/perbuatan-tidak-beradab-dengan-maha-pencipta-mufti-1.638069#ixzz5BWjjoT2G)

SS Dato' Dr. Mohd Asri Zainul Abidin – Mufti Perlis

Seorang muslim hendaklah berhati-hati dalam ungkapannya yang berkaitan ketuhanan. Tidak boleh seseorang muslim berkata: "Jika awak Tuhan..." atau "Jika saya Tuhan.. " melainkan diikuti dengan ungkapan yang menunjukkan keagungan Tuhan. Ini seperti "Jika awak Tuhan tak mungkin awak berjalan macam manusia". Namun, jika dia mengungkap "jika saya Tuhan saya akan lakukan begini... " atau "jika saya Tuhan, saya tidak akan lakukan begitu atau begitu...", maka itu secara langsung dan tidak langsung merendah penciptaan Tuhan dan menafikan hikmah ciptaanNYA. Seakan apa yang Tuhan lakukan tidak tepat ataupun salah ataupun di sana ada cara yang lebih baik. Ini sangat bahaya kepada akidah yang mengungkapnya jika dia sedar apa yang diucapkan. Hendaklah dia bertaubat dari ucapan itu. Tuhan mempunyai hikmat atas segala penciptaanNYA. DIA juga akan mengadili segala kejadian dan peristiwa di dunia. Kerosakan dunia ini disebabkan tangan manusia bukan kerana kesilapan ciptaan Tuhan. Kita beriman segala yang Tuhan ciptakan ada rahsia zahir dan batin dan DIA Allah Maha Mengetahui segala yang zahir dan yang batin. (Facebook DrMAZA)

 

Ustaz Ahmad Awang – Penasihat Umum Parti AMANAH

"Setelah mentelaah pendapat serta fatwa para ulama mutabar (salaf dan khalaf), didapati mereka sepakat memfatwakan bahawa mengucapkan lafaz yang mentasybihkan atau memperumpamakan makhluk dengan Tuhan samada pada zat-Nya atau perbuatan-Nya atau sifat dan nama-Nya, hukumnya adalah haram dan dilarang keras mengucapkannya sama ada secara terang ataupun sindiran," katanya. (https://www.malaysiakini.com/news/417978)

 

YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang – Presiden PAS

Menurut adab orang Islam tidak boleh sentuh hal Tuhan sama ada Tuhan jadikan begini, jadikan begitu dan sebagainya, kita tak boleh sentuh kerana itu urusan Tuhan. Kita kena terima, semua yang Tuhan buat itu ada hikmah dan kebaikannya. Walaupun kita tengok Tuhan jadikan babi, begitu juga najis untuk dijadikan baja. Jadi, ada hikmahnya untuk jadi baja (najis) bukan untuk makan. Ada orang baik jadi jahat, orang jahat pula jadi baik. Dalam ilmu Tuhan kita tak boleh campur dan kita terima Tuhan adalah adil dan bijak. Kita tak boleh sentuh ciptaan-NYA, itu adab orang Islam. (http://www.utusan.com.my/berita/politik/video-jika-saya-tuhan-hadi-tempelak-hanipa-1.638423#ixzz5BVlWlI4W) 

 

Kesimpulan dan Nasihat

Berdasarkan hujah dan dalil yang dikemukakan, dapat kami simpulkan bahawa perkataan, Kalau saya jadi Tuhan. Saya tak jadikan kamu. Dah lama saya hapuskan” merupakan ungkapan yang boleh menjejaskan aqidah. Biarpun kita menafikannya atas dasar tanpa niat mempersendakan Tuhan, namun penggunaan lafaz itu sendiri tetap tidak tepat dan tidak sesuai sebagai adab seorang hamba kepada Allah SWT. Ia berasaskan kaedah berikut:

  1. Manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah dalam perbahasan lafaz-lafaz berkaitan usul aqidah terutama isu ketuhanan, adalah ittiba’ (mengikut nas) dan bukan ibtida’ iaitu mereka-reka lafaz baru (Lihat Al-Hawadith wa al-Bida’, m. 34-35) Ungkapan, “Kalau saya jadi Tuhan” jelas merupakan al-alfaz al-bid’iyyah (lafaz-lafaz bid’ah) yang bertentangan dengan syarak.
  2.  Allah SWT menegah penggunaan lafaz yang berkongsi makna baik dan buruk dalam hal agama. Ia sebagaimana dalam surah al-Baqarah ayat 104, apabila Allah SWT menegah para sahabat menyapa Nabi SAW dengan perkataan “ra’ina”. Ini kerana perkataan tersebut memiliki dua makna. Bagi para sahabat ia bermaksud “berilah perhatian pada kami”, tetapi bagi Yahudi ia bermaksud, “ejekan bodoh”. Walaupun para sahabat menyebutnya bukan dengan apa yang dimaksudkan Yahudi, Allah SWT tetap menegahnya apabila ditujukan kepada Nabi SAW dan diubah kepada, “unzhurna” agar maknanya jelas dan selamat daripada andaian salah (Lihat Tafsir al-Jalalayn, m. 22). Ini bermakna, jika dalam bab kenabian pun Allah SWT memerintahkan kita agar berhati-hati dalam memilih perkataan, apatah lagi dalam bab ketuhanan yang sudah tentu tiada kompromi sama sekali.

 Akhir kata, kami dengan rendah diri, demi ukhuwah dan kasih sayang sesama Muslim, ingin mengajak mana-mana pihak yang tersilap dalam berkata-kata sehingga terungkap perkataan yang seumpama ini, sama ada sengaja atau tidak disengajakan, agar kembali kepada kebenaran. Sebaik-baik orang yang tersilap adalah bertaubat, memperbaiki kesilapan dan menjelaskan kesilapannya sebagaimana firman Allah SWT:

 

إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ وَأَصۡلَحُواْ وَبَيَّنُواْ فَأُوْلَٰٓئِكَ أَتُوبُ عَلَيۡهِمۡ وَأَنَا ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِيمُ ١٦٠

Maksudnya: “Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

 

Demikian jua sabda Rasulullah SAW:

كُلُّ ابْنِ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

 

Maksudnya: “Setiap anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan, adalah mereka yang bertaubat.”

 (Riwayat al-Tirmizi, no. 2499)

 

Ingatlah pesanan Saidina Umar:

 

الرجوع إلى الحق خير من التمادي في الباطل

Maksudnya: “Kembali kepada kebenaran itu lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.”

Dalam kes ini, kami yakin ia lebih kepada tersilap kata dan tersasul bicara kerana terlalu mengikut emosi semasa berhujah. Maka dari sudut hukumnya adalah dimaafkan dari sudut syarak sebagaimana pandangan al-Qadhi Iyadh. Justeru, individu yang mengucapkan kata-kata sebegini sebaiknya menarik balik ucapan tersebut, bertaubat dan beristighfar . Sesungguhnya Allah SWT Maha Pengampun dan Maha Penyayang. Wallahu a’lam.