Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #28: TARIQAT MUFARRIDIYAH

mufarridiyah.JPG

Soalan

Assalamualaikum Dato' Seri Mufti, saya terdengar berkenaan Tariqat Mufarridiyah. Apakah boleh kami ikut dan amalkannya?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sebelum kami menjawab isu ini, suka kami tegaskan bahawa terdapat banyak tariqat yang baik yang sahih dan boleh diamalkan. Ini dapat dikesan melalui kitab-kitab yang muktabar dalam bidang kesufian. Begitu juga kami dapati Lajnah Jilsah Sufiyyah yang dilakukan oleh Pejabat Mufti Negeri Sembilan sebagai salah satu tapisan dan pengenalan sebenar antara tariqat yang muktabar dan dibenarkan dengan yang menyimpang.

Berkenaan isu di atas, tariqat Mufarridiyah diajar oleh Syeikh Makmun bin Yahya. Kami nyatakan pengenalan kepada tariqat ini dan pengasasnya.

  • Syeikh Makmun bin Yahya berasal dari Tanjung Pura, Langkat, Sumatera Utara. Beliau menetap lama di Mekah tetapi tidak banyak bergaul dengan alim ulamak kecuali tinggal di rumah seorang syeikh sahaja.
  • Nama tarikat ini diambil dari perkataan di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang berbunyi: سبق المفردون Yang diertikan oleh Syeikh Makmun: Terkehadapanlah (menang di dalam perlumbaan) orang yang menyebut Allah-Allah banyak-banyak.
  • Tarikat ini mula lahir pada tahun 1375H bersamaan 1955/ 56M di Tanjung Pura sekembalinya Syeikh Makmun dari Mekah ke kampungnya. Pada mulanya beliau membuka pengajian agama yang dimasukkan ilmu-ilmu yang ganjil seperti ilmu kebal. Ini berjaya mempengaruhi orang ramai dan ingin mempelajarinya. Mengikut buku:الصغيرالجمع شرح القديمفيض Maksudnya: Al Mufaridun ialah mereka yang tinggal bersendirian menjauhkan diri dari manusia: dari perkataan Farrada (فرد) yang bererti menjauhkan diri dan bersunyi-sunyian untuk beribadat seolah-olah mengasingkan dirinya untuk beribadat kepada Allah ertinya mereka mengejar untuk mencapai perdampingan dan meningkat ke darjat-darjat yang tinggi. Apabila sambutan orang ramai menggalakkan. Maka kawasan rumahnya dijadikan "Rubat" bagi memperkembangkan pengajaran dan tarikat.
  • Acapkali apabila beliau diajukan pertanyaan, terlebih dahulu beliau akan memegang dan menggantungkan tasbih lalu bertanya kepada sesuatu yang tidak nampak di mata hadirin dengan penggilan Maulana. Setelah tasbih itu bergoyang-goyang maka jawapan akan diberi. Beliau akan menghukum kafir terhadap seseorang hanya dengan melakukan perkara tersebut. Beliau pernah memotong tangannya dengan parang tetapi tidak luka. Semenjak itu pengaruhnya semakin meluas.
  • Tarikat ini mula bertapak di Malaysia pada akhir tahun 60an selepas Syeikh Makmun melawat Malaysia dan Singapura. la berjaya mempengaruhi tentera dan polis di Singapura sebelum merebak ke Malaysia melalui Johor.
  • Kemuncak pada tarikat ini ialah tidak perlu solat lima waktu kecuali berzikir sahaja. Begitu juga jika ingin mendapatkan sesuatu hanya perlu berzikir sahaja. Di kalangan tentera dan polis pula mereka mempercayai bahawa untuk mempertahankan diri dari musuh tidak perlu menggunakan senjata. Malah cukup mengamalkan tarikat ini sahaja. la dengan sendirinya akan menjadi kebal dan tidak ditembusi peluru.
  • Pada awal tahun 1970an, pengaruh tarikat ini semakin merosot di Malaysia dan Indonesia.[1]

Antara ajarannya juga ialah mempercayai bahawa segala doa dan istighfar kepada Allah mestilah melalui malaikat bernama Karanaz. Orang yang bersahabat dengan malaikat ini ialah orang yang telah mencapai martabat jisim kelima dalam tarekatnya. Orang ini jisimnya adalah Allah dan rohnya adalah roh Allah. Dia juga boleh membela roh si mati daripada seksaan kubur. Oleh itu, orang yang ingin mendapat pembelaan terhadap ahli keluarganya yang telah mati boleh membayar kepada Syeikh Makmun.

 

Hukum Tariqat Mufarridiyyah

Fatwa oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang dikeluarkan pada 10 Disember 1987 menyebut: “Bahawa tarikat Mufarridah bukan daripada ajaran Islam. Oleh itu orang Islam adalah ditegah daripada mengikut dan mengamalkannya.”

Fatwa ini senada dengan keputusan Majlis Raja-raja yang dalam mesyuarat ke-117 pada 21 Februari 1980 telah mempersetujui pendapat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan memutuskan bahawa ajaran ini bertentangan dengan ajaran Islam. Orang-orang yang terlibat dengan ajaran ini dikehendaki bertaubat.

Semoga Allah sentiasa memberi taufiq dan hidayah kepada kita untuk mengikut agama Islam yang sebenarnya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat Warta Kerajaan Negeri Selangor, Sel. P.U. 49 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam, 1989 Fatwa Tentang Tarikat Mufarridiah Ajaran Syeikh Makmun Bin Yahya En. 21/1989 pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen 31(1) dan seksyen 32 Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989.

[2] JAKIM, Tarekat Mufarridiyyah Satu ajaran Sesat (Malaysia: JAKIM), 7-11.