Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #42: ADAKAH QITMIR ANJING SYURGA?

 

qitmir

Soalan: Bolehkah diceritakan secara ringkas tentang anjing yang bernama Qitmir? Adakah Qitmir akan berada dalam syurga kelak?

Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kisah anjing yang dinamakan Qitmir tersebut diabadikan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

وَتَحْسَبُهُمْ أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِ وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا

Maksudnya: “Dan engkau sangka mereka sedar, padahal mereka tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri; sedang anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya dekat pintu gua; jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling melarikan diri dari mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh gerun takut kepada mereka.”

(Surah al-Kahfi: 18)

Nama dan Warna Anjing

Menurut Imam al-Baghawi rahimahullah, kebanyakan ahli tafsir berpendapat ayat (وَكَلْبُهُمْ بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِ) adalah merujuk kepada anjing. Diriwayatkan daripada Ibn Juraij, ianya adalah singa dan dinamakan singa sebagai “anjing”. Nabi SAW pernah berdoa kepada ‘Utbah bin Abu Lahab:

اللَّهُمَّ سَلِّطْ عَلَيْهِ كَلْبًا مِنْ كلابك

Maksudnya: "Ya Allah, kirimkanlah ke atas mereka seekor anjing (binatang buas) yang Engkau ciptakan daripada haiwan-haiwan buas (ciptaan)Mu."

Kemudian dia diserang oleh singa.

Pun begitu, pandangan yang pertama (anjing) adalah umum diketahui. Kata Ibn ‘Abbas rahimahullah, “Ianya anjing yang berwarna kelabu terang.” Diriwayatkan tentangnya bahawa ianya lebih hampir kepada anjing baka poodle dan tidak seperti anjing baka Kangal Kurdish. Anjing baka poodle adalah daripada China. Kata Muqatil rahimahullah, “Warna bulunya kuning”. Kata Imam al-Qurtubi rahimahullah: “Kekuningan bulunya lebih kuat kemerah-merahan.” Kata al-Kalbi rahimahullah: “Warnanya antara merah dan kuning.” Dikatakan warnanya seperti warna batu (hitam). Kata Ibn ‘Abbas rahimahullah, “Namanya Qitmir.” Daripada ‘Ali karramallahu wajhah: “(Namanya) Rayyan.” Kata Imam al-Auza’ie rahimahullah: “(Namanya) Yathur.” Kata al-Suddi rahimahullah: “(Namanya) Yur. Kata Ka’ab rahimahullah: “(Namanya) Sahban”. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 3/183-184).

Syeikh al-Damiri rahimahullah menyenaraikan beberapa pandangan berhubung warna bulu anjing berkenaan. Ibn ‘Abbas rahimahullah berkata: “Ianya anjing yang berwarna kelabu terang.”. Dalam riwayat lain oleh Ibn ‘Abbas rahimahullah, dinyatakan ianya berwarna merah dan namanya Qitmir. Kata Muqatil rahimahullah: “Anjing tersebut berwarna kekuningan.” Kata Imam al-Qurtubi rahimahullah: “Kuningnya kemerah-merahan.” Al-Kalbi rahimahullah berkata: “Warnanya di antara merah dan kuning.” Dikatakan warnanya seperti warna langit (kemungkinan putih kebiru-biruan atau kelabu kehitaman seperti langit mendung). Dikatakan juga warnanya putih kehitam-hitaman serta kemerahan.

Berkenaan namanya, para ulama juga berbeza pandangan. Ibn ‘Abbas rahimahullah menyatakan bahawa namanya adalah Qitmir. Saidina Ali karramallahu wajhah mengatakan bahawa namanya adalah Rayyan. Imam al-Auza’ie rahimahullah menyatakan namanya adalah Musyir. Imam Sa’id al-Hammal rahimahullah menyatakan bahawa namanya adalah Haran. Abdullah bin Salam rahimahullah menyatakan bahawa namanya adalah Basit. Ka’b al-Ahbar rahimahullah menyatakan namanya adalah Sahyan. Wahb rahimahullah menyatakan namanya adalah Naqiyya. (Lihat Hayat al-Hayawan al-Kubra, 2/389)

Di sudut yang lain, Imam Ibn Kathir menjelaskan:

وَقَدْ ذَكَرَ كَثِيرٌ مِنَ الْقُصَّاصِ وَالْمُفَسِّرِينَ لِهَذَا الْكَلْبِ نَبَأً وَخَبَرًا طَوِيلًا أَكْثَرُهُ مُتَلَقًّى مِنَ الْإِسْرَائِيلِيَّاتِ وَكَثِيرٌ مِنْهَا كَذِبٌ وَمِمَّا لَا فَائِدَةَ فِيهِ كَاخْتِلَافِهِمْ فِي اسْمِهِ وَلَوْنِهِ

“Ramai tukang-tukang cerita dan ahli-ahli tafsir menyebutkan tentang anjing ini dengan berita dan cerita yang panjang lebar. Kebanyakkannya diambil daripada kisah Israiliyyat. Banyak daripadanya adalah palsu dan tidak ada apa-apa faedah seperti khilaf mereka tentang nama dan warnanya". (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 2/115)

Maka, jelas di sini terdapat dua pandangan dalam berinteraksi dengan kisah anjing Ashabul Kahfi. Sebahagiannya membahaskannya dengan kupasan yang terperinci manakala sebahagiannya hanya berhenti kepada apa yang dikisahkan dalam al-Qur'an semata-mata.

Adakah Qitmir Akan Berada di Syurga?

Kami nukilkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah RA bahawa beliau berkata:

إن الله يحشر الخلق كلهم، كل دابة وطائر وإنسان، يقول للبهائم والطير كونوا ترابًا

Maksudnya: Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan makhluk kesemuanya (pada hari akhirat kelak). (Iaitu) setiap haiwan, burung-burung, dan juga manusia. Lalu Allah berkata kepada haiwan-haiwan dan juga burung: ‘’Jadilah kamu tanah.’’

(Lihat Tafsir al-Tabari, 24/181)

Ini menunjukkan bahawa haiwan-haiwan di dunia kelak akan menjadi tanah di Hari Akhirat.

Kesimpulan

Sebahagian para ulama’ membincangkan tentang Qitmir dengan amat terperinci manakala sebahagiannya memilih untuk berpada dengan apa yang disebutkan dalam wahyu. Kami meraikan dan amat menghormati kedua-dua sudut pandangan ini kerana ia sendiri menzahirkan kekayaan perbendaharaan ilmu Islam dalam membahaskan satu-satu isu.

Pun begitu, kami lebih cenderung dengan pandangan guru kami, Syeikh Muhammad al-Amin bin Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti:

"Pandangan-pandangan yang disebutkan oleh para ahli tafsir berkenaan nama anjing mereka (iaitu Ashab al-Kahfi), sebahagian mereka mengatakan namanya Qitmir, sebahagian lain mengatakan namanya Humran dan lain-lain nama. Kami tidak memanjangkan perbahasan tentangnya kerana ianya tidak ada apa-apa faedah. Dalam al-Qur'an, terdapat banyak perkara yang tidak diperincikan oleh Allah kepada kita, begitu juga Rasul-Nya, juga tidak sabit apa-apa dalil yang menjelaskannya. Perbahasan tentangnya tidak perlu dipanjangkan dan ianya tidak mempunya faedah". (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/226)

Ini sebagaimana yang disimpulkan oleh Allah SWT berkenaan kisah Ashabul Kahfi ini iaitu pengajaran dan faedah daripada kisahnya sendiri. Pesan-pesan tauhid dan konsisten atas jalan Islam dalam kisah inilah yang wajar diberi perhatian yang serius, sesuai dengan tuntutan zaman kini. Firman Allah SWT:

وَكَذَلِكَ أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ لَا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِمْ بُنْيَانًا رَبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَى أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِمْ مَسْجِدًا

Maksudnya: “Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada orang ramai supaya orang-orang itu mengetahui bahawa janji Allah menghidupkan semula orang mati adalah benar, dan bahawa hari kiamat itu tidak ada sebarang syak padanya; pendedahan itu berlaku semasa orang-orang itu berbantahan sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: "Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka". orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: "Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka".”

سَيَقُولُونَ ثَلَاثَةٌ رَابِعُهُمْ كَلْبُهُمْ وَيَقُولُونَ خَمْسَةٌ سَادِسُهُمْ كَلْبُهُمْ رَجْمًا بِالْغَيْبِ وَيَقُولُونَ سَبْعَةٌ وَثَامِنُهُمْ كَلْبُهُمْ قُلْ رَبِّي أَعْلَمُ بِعِدَّتِهِمْ مَا يَعْلَمُهُمْ إِلَّا قَلِيلٌ فَلَا تُمَارِ فِيهِمْ إِلَّا مِرَاءً ظَاهِرًا وَلَا تَسْتَفْتِ فِيهِمْ مِنْهُمْ أَحَدًا

Maksudnya: “(Sebahagian dari) mereka akan berkata: "Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka "; dan setengahnya pula berkata:"Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka" - secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: "Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka". Katakanlah (wahai Muhammad): "Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit". Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan (secara sederhana) yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya).”

(Surah al-Kahfi: 21-22)

Berhubung Qitmir, kami tidak menemui hadith sahih yang menyatakan Qitmir itu adalah anjing yang berada di dalam syurga. Dalam masa yang sama, sebarang kenyataan berhubung alam ghaib wajib disertai dengan hujah yang sahih bagi menyokongnya. Apa yang dijelaskan dalam athar di atas, segala haiwan akan menjadi tanah pada hari kiamat. Berhubung persoalan bolehkah bertemu haiwan kesayangan di syurga, kami telah menjawab di sini.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang benar dalam agama dan memudahkan kita untuk beramal dengannya. Wallahu a’lam.