Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #46: PENGERAS BAGI RAWATAN SIHIR

sihir

Soalan: Apakah hukum memberi pengeras dalam rawatan mengubat sihir?

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pengeras didefinisikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat sebagai bayaran kepada pawang kerana berubat atau menuntut ilmu daripadanya. Pengeras dalam pengubatan Islam adalah sesuatu bahan atau bayaran yang ditetapkan sebagai syarat untuk rawatan yang dikaitkan dengan amalan yang bertentangan dengan syarak. (Lihat 40 Soal Jawab Pengubatan Islam, m. 123). Ianya boleh sahaja dalam bentuk wang, haiwan, makanan dan lain-lain.

Upah adalah berbeza dengan pengeras. Upah bagi rawatan perubatan ruqyah syar’iyyah adalah diharuskan di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Abu Sa’id al-Khudir, beliau berkata:

أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانُوا فِي سَفَرٍ، فَمَرُّوا بِحَيٍّ مِنْ أَحْيَاءِ الْعَرَبِ، فَاسْتَضَافُوهُمْ فَلَمْ يُضِيفُوهُمْ، فَقَالُوا لَهُمْ: هَلْ فِيكُمْ رَاقٍ؟ فَإِنَّ سَيِّدَ الْحَيِّ لَدِيغٌ أَوْ مُصَابٌ، فَقَالَ رَجُلٌ مِنْهُمْ: نَعَمْ، فَأَتَاهُ فَرَقَاهُ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ، فَبَرَأَ الرَّجُلُ، فَأُعْطِيَ قَطِيعًا مِنْ غَنَمٍ، فَأَبَى أَنْ يَقْبَلَهَا، وَقَالَ: حَتَّى أَذْكُرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ وَاللهِ مَا رَقَيْتُ إِلَّا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَتَبَسَّمَ وَقَالَ: «وَمَا أَدْرَاكَ أَنَّهَا رُقْيَةٌ؟» ثُمَّ قَالَ: «خُذُوا مِنْهُمْ، وَاضْرِبُوا لِي بِسَهْمٍ مَعَكُمْ»

Maksudnya: “Sesungguhnya beberapa orang daripada kalangan sahabat Rasulullah SAW sedang berada dalam perjalanan. Mereka pergi ke salah sebuah kampung Arab dan mereka berharap agar boleh menjadi tetamu kepada penduduk kampung tersebut. Namun ternyata penduduk kampung itu tidak mahu menerima mereka. Tetapi ada yang bertanya: “Adakah ada antara kamu yang boleh menjampi? Ini kerana penghulu kampung kami terkena sengat.” Salah seorang dari para sahabat menjawab: “Ya, ada.” Lalu beliau menemui ketua kampung tersebut dan menjampinya dengan surah al-Fatihah. Kemudian ketua kampung tersebut sembuh, maka sahabat tersebut diberi beberapa ekor kambing. Beliau tidak mahu menerimanya dan mengajukan syarat: “Aku akan menyampaikannya kepada Nabi SAW,” beliau pun pulang menemui Nabi SAW dan menyatakan pengalaman tersebut. Beliau berkata: “Ya Rasulullah! Demi Allah, aku hanya menjampi dengan surah al-Fatihah.” “Bagaimana engkau tahu bahawa al-Fatihah itu memang merupakan jampi?” Kemudian Baginda bersabda lagi: “Ambillah pemberian daripada mereka dan pastikan aku mendapatkan bahagian bersama kamu.”

(Riwayat Muslim, no. 2201)

Imam al-Nawawi berkata: “Ini merupakan ucapan yang jelas sekali tentang keharusan mengambil upah daripada ruqyah dengan Al Fatihah dan zikir. Sesungguhnya ianya adalah halal tanpa kemakruhan di dalamnya. Demikian juga upah daripada mengajarkan al-Qur’an. Ini adalah mazhab al-Syafie, Malik, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan yang lainnya dalam kalangan Salaf dan ulama yang setelah mereka. Abu Hanifah melarang mengambil upah dalam pengajaran Al Qur’an, dan membolehkannya dalam ruqyah.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/188)

Larangan memberi pengeras kepada pawang atau bomoh disebutkan dengan jelas dalam hadith sebagaimana yang dinyatakan oleh Abu Mas’ud al-Ansar:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ ثَمَنِ الكَلْبِ، وَمَهْرِ البَغِيِّ، وَحُلْوَانِ الكَاهِنِ

Maksudnya: “sesungguhnya Rasullullah SAW melarang jual beli anjing, wang hasil pelacuran dan memberi pengeras (habuan) untuk bomoh (atas tilikan dan ramalannya)”.

(Riwayat al-Bukhari, no. 2237)

Ibn Battal mendefinisikan (حُلْوَانِ الكَاهِنِ) sebagai upah daripada usaha perbomohannya. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 6/364)

Justeru, hukum memberi pengeras adalah haram dan boleh membawa kepada syirik kerana meletakkan syarat pengeras bagi penentu kesembuhan. Ini sekaligus menafikan kekuasaan Allah SWT sebagai Maha Penyembuh. Firman Allah SWT:

وَإِنْ يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ وَإِنْ يَمْسَسْكَ بِخَيْرٍ فَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Ia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Ia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-An’am: 17)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita dalam mengamalkan agamanya dengan cara yang sahih dan tidak bercanggah dengan syariat-Nya.