Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #48: ALIRAN JABARIYYAH

jabariyyah

Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan aliran Jabariyyah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Perkataan Jabariyyah berasal dari kata jabara yang bererti memaksa dan mewajibkannya melakukan sesuatu. (Lihat al-Munjid, m. 78). Dari sudut istilah, Al-Jabr adalah penafian hakikat perbuatan kepada hamba dan menyandarkannya kepada Allah SWT. Aliran Jabariyyah mempunyai beberapa kelompok antaranya Jabariyyah Khalisah (Tulen) dan Jabariyyah Mutawassitah (Pertengahan/Sederhana).

Jabariyyah Khalisah adalah kelompok yang tidak menetapkan perbuatan bagi hamba, begitu juga kekuasaan bagi perbuatan tersebut secara hakikatnya. Jabariyyah Mutawassitah pula menetapkan kekuasaan bagi hamba namun ianya tidak memberi kesan. Mereka menamakan usaha (kasb) tersebut sebagai al-qudrah al-hadithah. (Lihat al-Milal wa al-Nihal, 1/85)

Mereka adalah golongan yang berlebih-lebihan dalam masalah takdir sehingga menganggap bahawa manusia tidak memiliki kehendak dan tidak memiliki pilihan untuk berbuat. Semua serba dipaksa oleh Allah SWT, sepertimana gerakan getar tubuh yang tidak dapat dikawal oleh pemiliknya.

Menurut Syeikh Hassan Ayyub, pemimpin bagi Jabariyyah adalah Jahm bin Safwan daripada Khurasan. Jahn adalah Muslim bukan Arab (mawali) yang lahir di Kufah. Pengikutnya dikenali dengan nama Jabariyyah, mereka yang berpegang dengan manusia itu dipaksa dalam tindakannya seperti bulu yang ditiup angin. (Lihat Tabsit al-‘Aqa’id al-Islamiyyah, m. 297). Dalil mereka adalah firman Allah SWT:

فَلَمْ تَقْتُلُوهُمْ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ قَتَلَهُمْ ۚ وَمَا رَمَيْتَ إِذْ رَمَيْتَ وَلَـٰكِنَّ اللَّـهَ رَمَىٰ ۚ وَلِيُبْلِيَ الْمُؤْمِنِينَ مِنْهُ بَلَاءً حَسَنًا ۚ إِنَّ اللَّـهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir), dan untuk mengurniakan orang-orang yang beriman dengan pengurniaan yang baik (kemenangan) daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Anfal: 17)

Dalam perbahasan falsafah, terdapat sebuah aliran yang dinamakan fatalism. Aliran fatalism dapat difahami sebagai satu falsafah yang berpegang bahawa manusia tidak berkuasa untuk melakukan apa-apa selain daripada apa yang kita biasa lakukan. Nietzche menggambarkan sikap menyerahkan sebarang urusan masa hadapan atau urusan yang tidak dapat dielakkan sebagai Turkish fatalism. Manusia dan takdir dianggap sesuatu yang berlawanan. Manusia boleh berusaha untuk “mengalahkan” takdir tetapi akhirnya takdir tetap “menang”. Justeru, tindakan yang paling bijak adalah berserah sepenuhnya kepada takdir.

Fahaman Di Bawah Aliran Jabariyyah

Jahmiyyah: Mereka adalah pengikut Jahm bin Safwan daripada Jabariyyah Khalisah. Pemikirannya mula berkembang di Turmuz. Dia dibunuh oleh Salim bin Ahwaz al-Mazini pada akhir pemerintahan Bani Umayyah. Mereka berpegang bahawa manusia tidaklah mempunyai kebebasan, kehendak, kemampuan mahupun daya usaha sendiri. Di samping itu manusia juga dikatakan tidak mempunyai ikhtiar atau pilihan. Maka segala apa yang dilakukakan oleh manusia adalah dipaksa dengan tiada kemahuan dan pilihan baginya . Segala perilaku dalam sesuatu yang berlaku adalah telah ditetapkan oleh Allah SWT. Maka segala perilaku manusia itu hanyalah simbolik semata-mata atau kiasan seperti mana peredaran bumi, terbit dan terbenamnya matahari serta pasang dan surutnya air laut yang semua itu di dalam kawalan dan ketentuan Allah. Selain itu ia juga termasuk dalam melaksanakan kewajipan, menerima pahala dan dosa .

Najjariyyah: Pengasas bagi aliran ini adalah al-Husain bin Muhammad al-Najjar. Aliran ini juga dikenali sebagai al-Husainiyyah sempena nama beliau. Ia dimasukkan di bawah kelompok Jabariyyah Mutawassitah. Dalam isu perbuatan Allah (af’al Allah) dan perbuatan hamba (af’al al-‘ibad), Najjariyyah menyatakan bahawa Allah berkuasa sepenuhnya mencipta setiap perbuatan manusia sama ada baik atau pun buruk iaitu sama sebagaimana pemikiran yang dibawa oleh Jahm bin Safwan. Tetapi yang membezakan di antara kedua-duanya ialah berkenaan persoalan usaha (kasb). Ini bermaksud manusia mempunyai pengaruh kepada kekuasaan baru dalam kewujudan perbuatan-perbuatan mereka. Walaubagaimanapun setiap apa yang berlaku masih lagi di atas kehendak Allah SWT.

Dirariyyah: Aliran ini dipelopori oleh Dirar bin ‘Amru al-Kufi yang wujud di akhir pemerintahan Bani Umayyah. Pemikiran yang dibawa oleh Dirar ini juga dikatakan aliran yang sederhana sebagaimana aliran Najjariyyah mengenai konsep usaha (kasb). Menurut fahaman ini Tuhan dan manusia bekerjasama dalam mewujudkan perbuatan-perbuatan manusia . Manusia tidak semata-mata dipaksa melakukan perbuatan mereka. Walaubagaimanapun, pada hakikatnya setiap perbuatan manusia itu adalah diciptakan oleh Allah SWT

Islam memberi penekanan yang serius dalam isu takdir. Salahfaham dalam memahami isu qadha’ dan qadar akan membawa kepada ketergelinciran akidah. Kami telah huraikannya dalam Irsyad al-Fatwa Siri ke-2: Maksud Qada’ & Qadar dan Irsyad al-Hadith Siri ke-348: Ketetapan Qadar Manusia.

Pegangan Jabariyyah

Para ulama’ bangkit menentang mereka kerana beberapa isu. Antaranya adalah masalah keterpaksaan, kerana mereka meninggalkan perbuatan serta pra-syarat yang membawa kepada takdir kerana manusia tidak mampu berbuat apa-apa jua tiada kekuasaan baginya. (Lihat Tabsit al-‘Aqa’id al-Islamiyyah, m. 298)

Semoga artikel ini dapat memberi kita pemahaman untuk mengikut aliran yang tepat dalam memahami isu takdir Allah SWT.