Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #54: SIFAT-SIFAT SEORANG SUFI

sifat seorang sufi.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh saya tahu, apakah sifat-sifat seorang sufi? mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Istilah Sufi menurut sumber-sumber kitab tasawuf lahir pada pertengahan kurun kedua hijrah. Dicatatkan nama sufi telah dikenali sebelum tahun 200 Hijrah lagi. Walaupun demikian, istilah ini mula tersebar pada abad ketiga Hijrah. (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 7-8. Lihat juga Muqaddimah Ibn Khaldun, hlm. 228)

Abi Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ menyebut bahawa orang yang mula-mula diberi gelaran ahli sufi ialah Abi Hasyim al-Kufi (150 H) kerana cara dan perjalanan hidupnya yang mengikuti cara hidup Rasulullah SAW dan para sahabat, yang lebih mengutamakan cara hidup sederhana serta tidak terpengaruh dengan keseronokan dan kemewahan hidup dunia.

Demikian juga, gelaran ini diberikan kepada ahli zuhud bernama Jabir bin Hayyan dan kepada beberapa ahli zuhud di Kufah seperti Mansur bin Ammar. Di Basrah pula, gelaran ini diberikan kepada Abu Hasan al-Basri. Penggunaannya semakin popular sehingga digunakan untuk Malik bin Dinar, Abd al-Wahid bin Yazid dan lain-lain. (Lihat Soal Jawab A-Z Tentang Tasawuf, hlm. 41-42)

Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ آمَنُوا وَكَانُوا يَتَّقُونَ

Maksudnya: (Wali-wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

Surah Yunus (63)

Ibn Kathir berkata: Allah SWT memberi khabar, bahawa wali-wali-Nya adalah orang-orang yang beriman dan bertaqwa. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 4/292)

Syeikh al-Maraghi berkata: Ertinya mereka itulah wali-wali Allah SWT yang beriman dengan keimanan yang sebenarnya kepada Allah SWT, para malaikat-Nya dan kitab-kitab-Nya dan bersifat takwa kepada Allah SWT dengan cara melakukan amal perbuatan yang sesuai dengan tuntutan takwa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/3075)

Zu al-Nun al-Misri pernah berkata: Para sufi adalah orang-orang yang mengutamakan Allah SWT daripada yang lain, sehingga Allah lebih mengutamakan mereka daripada yang lain. (Lihat al-Risalah al-Qusyairiyyah, hlm. 418)

Antara sifat seorang sufi juga, sepertimana disebut oleh Ibn Sina yang menjelaskan berkenaan kedudukan akhlak yang menjadi hiasan para ahli sufi, katanya: “Seorang yang arif billah (sufi) ialah seorang yang berani. Mengapa tidak? Kerana dia tidak takut mati. Seorang yang pemurah. Mengapa tidak? Kerana dia tidak cinta kepada kebakhilan. Seorang yang pemaaf. Mengapa tidak? Kerana dirinya lebih agung, tidak dilukai oleh kesalahan insan. Orang yang lupakan hasad dengki. Mengapa tidak? Kerana ingatannya terisi terang dengan Yang Maha Haq.” (Lihat al-Isyarat wa al-Tanbihat oleh Ibn Sina)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan kefahaman yang benar dalam beribadah serta menjadikan kita daripada golongan yang dikasihi oleh-Nya. Amin.