Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #116: HUKUM PENGGUNAAN UCAPAN 'SHALOM'

Screenshot 2021 07 17 at 10.13.43 PM

 

Soalan

Apakah hukum penggunaan perkataan ‘shalom’ secara lafaz/tulis/perbuatan bagi umat islam khususnya di malaysia untuk menyapa orang islam dan bukan islam, dalam satu kelompok ataupun dalam kelopok berasingan? Penggunaan ‘shalom’ ini digunakan oleh kebanyakan anak muda dan menganggap bahawa perkataan shalom hanya sekadar bahasa yang berlainan tapi sama maksudnya dengan lafaz ‘assalamualaikum’.

 

Ringkasan Jawapan

Agama Islam menganjurkan kepada penganutnya untuk menegur sapa dengan lafaz ucapan ‘assalamualaikum’ yang bermaksud salam sejahtera ke atas kamu, dan ini merupakan salah satu dari sunnah Nabi SAW. Tidak salah untuk menggunakan perkataan ‘shalom’ secara lafaz, tulis, dan perbuatan untuk menyapa orang lain kerana ucapan shalom juga bermaksud aman dan sejahtera dalam bahasa ibrani, dan menjadi ucapan yang dianjurkan dalam agama Yahudi sebagai doa kepada orang lain. Namun begitu sebagai umat Islam, seseorang muslim wajar menghidupkan Sunnah Nabi SAW dengan melafazkan bentuk lafaz yang dianjurkan oleh Baginda. Di samping itu juga, setiap muslim perlu mengelakkan segala kelakuan yang boleh menimbulkan fitnah dari masyarakat sekeliling. Contohnya jika ucapan “Shalom” itu menyebabkan buah mulut dan sangkaan buruk dari orang sekeliling makai a sepatutnya dielakkan.

  

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas baginda junjungan Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga beliau, para sahabat, serta orang-orang yang mengikuti jejak langkahnya sehingga hari akhirat.

Menurut Hebrew Word Studies, ‘shalom’ bermaksud keamanan, sejahtera, dalam keadaan baik, ataupun kesihatan yang baik di dalam bahasa ibrani. Ucapan ini sering digunakan oleh masyarakat Yahudi untuk menegur seseorang secara sopan dan mesra, dan seakan-akan menjadi penyambung kepada hubungan yang lebih baik. Perkataan ‘shalom’ juga disebutkan di dalam kitab Exodus perjanjian lama 21-22 yang boleh diterjemahkan sebagai ‘semoga dalam kebaikan’, ‘semoga sihat sepenuhnya’, dan ‘akan dibalas kebaikannya’. Jika menurut bahasa ibrani klasik pula, ia bukan sahaja bermaksud kebaikan bahkan boleh difahami juga sebagai pemulihan tubuh badan yang merangkumi kesihatan jiwa dan mental. Maka, perkataan kesejahteraan, keamanan, kebaikan, dan kesihatan yang baik boleh diterjemahkan dalam satu perkataan menurut bahasa ibrani iaitu ‘shalom’.[1]

Dalam menjalani kehidupan di atas dunia sebagai seorang yang beragama Islam, banyak panduan dan tatacara yang telah disebut dan diajarkan kepada kita. Antaranya adalah menegur seseorang dengan ucapan atau teguran yang baik dan sopan, dan menjawab teguran itu dengan baik juga. Firman Allah SWT:

وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا

Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. 

(Surah al-Nisa’:86)

Al-Baghawi dalam tafsirnya mengatakan bahawa ayat ini menyarankan agar kita memberi salam kepada muslim yang lain, dan untuk jawapan salam itu pula disarankan untuk membalas dengan lebih baik daripada ucapan yang diterima itu. Jika diberi salam ‘assalamualaikum’, maka jawablah dengan ‘waalaikumussalam warahmatullah’, jika diberi salam’ assalamualaikum warahmatullah’, maka balaslah dengan ‘waalaikumussalam warahmatullah wabarakatuh’, dan jika diberi salam ‘assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh’, maka balaslah yang semisal dengannya.

[Lihat Tafsir Al-Baghawi: 1/669]

 

Hukum memberi salam asalnya ialah sunat yang sangat dituntut. Adapun menjawabnya adalah wajib. Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: “Hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad. Menurut ulama-ulama kami, ia adalah sunat kifayah jika sekolompok jemaah melintasi di hadapan seorang lelaki atau jemaah lain kemudian salah seorang daripada kelompok pertama memberi salam maka terhasil hukum sunat. Adapun hukum menjawab salam adalah fardu atau wajib secara ijma’. Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain maka pihak yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai memenuhi tuntutan fardu ain. Manakala sekiranya diberi salam kepada sekelompok manusia, maka hukum menjawabnya menjadi fardu kifayah.”

 [Rujuk Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab: 4/493-494]

 

Maka timbul persoalan bolehkah memberi salam kepada yang bukan Islam? Kita sedia maklum bahawa jika seorang muslim dituntut untuk memberi dan menjawab salam daripada muslim yang lain, namun ada sedikit perbezaan jika melibatkan ucapan salam kepada yang bukan Islam. Isu ini telah dibahaskan dalam artikel-artikel yang lepas di pautan berikut: 

Hukum memberi salam kepada yang bukan Islam: https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3985-irsyad-al-fatwa-siri-ke-368-memberi-salam-kepada-kelompok-muslim-dan-non-muslim

Ucapan salam: Hadith dan Feqahnya:

https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3985-irsyad-al-fatwa-siri-ke-368-memberi-salam-kepada-kelompok-muslim-dan-non-muslim

 

Berkenaan isu memberi salam kepada yang bukan Islam juga, memang ada disebutkan di dalam hadis. Sabda Nabi SAW: 

لَا تَبْدَؤُوا اَلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى بِالسَّلَامِ

Maksudnya: “Janganlah kalian memulakan ucapan salam kepada orang Yahudi dan juga Nasrani.”

(Riwayat Muslim: 1905)

Hadis di atas menjelaskan tentang larangan memulakan salam kepada orang bukan Islam. Ada pun jika menjawab salam daripada mereka, diharuskan jika aman daripada fitnah. Namun jika ucapan itu sekadar ucapan umum seperti ‘selamat pagi’, ‘selamat petang’ dan seumpama dengannya maka tiada masalah untuk kita memulakan teguran atau ucapan. Ini bertepatan dengan apa yang disebutkan di dalam kitab al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah:

وإذا كانت هناك حاجة داعية إلى بدء الكافر بالتحية فلا حرج فيها حينئذٍ، ولتكن بغير السلام، كما لو قال له: أهلاً وسهلاً أو كيف حالك ونحو ذلك. لأن التحية حينئذ لأجل الحاجة لا لتعظيمه

Maksudnya: “Apabila ada keperluan/hajat untuk memulakan ucapan salam, maka tidaklah mengapa, akan tetapi tidak boleh menggunakan perkataan ‘assalam’ (doa keselamatan). Cukup dengan mengatakan  selamat datang, apa khabar dan sebagainya. Salam ketika itu juga kerana adanya keperluan, bukannya untuk memuliakannya”.

[Lihat al-Mausu’ah Al-Fiqhiyyah 25/168]

Ibn Hajar al-Haytami juga ada membincangkan tentang keharusan memberi salam dalam bahasa selain bahasa arab iaitu Assalamualaikum. Diharuskan untuk memberi ucapan salam dan sejahtera dalam bahasa asing, namun jika salam itu diberi dalam bahasa arab lalu yang menerima salam itu memahaminya maka wajib untuk menjawab salam tersebut.[2]

[Lihat Tuhfat al Muhtaj Fi Syarh al Minhaj: 9/225]

Namun begitu menurut Imam Nawawi lagi bahawa sebahagian ulama mazhab Syafie berpendapat tidak sah memberi salam selain dari lafaz bahasa arab, dan sebahagiannya mengatakan sah. Oleh itu lebih utama jika keluar dari masalah khilaf iaitu mengambil pendapat yang lebih selamat dengan mengucapkan salam sepertimana yang dianjurkan oleh sunnah Nabi SAW demi menjamin ganjaran pahala.

[Lihat al-Majmu’ Syarh Muhazzab: 4/599]

 

Kesimpulan

Agama Islam menganjurkan kepada penganutnya untuk menegur sapa dengan lafaz ucapan ‘assalamualaikum’ yang bermaksud salam sejahtera ke atas kamu, dan ini merupakan salah satu dari sunnah Nabi SAW. Tidak salah untuk menggunakan perkataan ‘shalom’ secara lafaz, tulis, dan perbuatan untuk menyapa orang lain kerana ucapan shalom juga bermaksud aman dan sejahtera dalam bahasa ibrani, dan menjadi ucapan yang dianjurkan dalam agama Yahudi sebagai doa kepada orang lain. Namun begitu sebagai umat Islam, seseorang muslim wajar menghidupkan Sunnah Nabi SAW dengan melafazkan bentuk lafaz yang dianjurkan oleh Baginda. Di samping itu juga, setiap muslim perlu mengelakkan segala kelakuan yang boleh menimbulkan fitnah dari masyarakat sekeliling. Contohnya jika ucapan “Shalom” itu menyebabkan buah mulut dan sangkaan buruk dari orang sekeliling makai a sepatutnya dielakkan. Alangkah baik dan murninya ucapan salam itu dikekalkan dengan kalimah asal “Assalamualaikum” yang telah diajar oleh Rasulullah. Wallahua’lam.

 

 

[1] Doug Hershey, ‘The True Meaning of Shalom’, Fellowship of Israel Related Ministries, 2020, https://firm.org.il/learn/the-meaning-of-shalom/

[2] وَلَوْ سَلَّمَ بِالْعَجَمِيَّةِ جَازَ وَإِنْ قَدَرَ عَلَى الْعَرَبِيَّةِ حَيْثُ فَهِمَهَا الْمُخَاطَبُ وَوَجَبَ الرَّدُّ