Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-AFKAR #117 : MEMBAWA JENAZAH DENGAN KENDERAAN SENDIRI MEMBAWA MALANG?

afkar 117

Soalan :

Assalamualaikum ustaz. Apa khabar? Baru-baru ini saya ada terbaca tentang seorang ibu yang kematian anaknya. Tiada siapa yang mahu menumpangkan ibu tersebut ke tanah perkuburan kerana mereka beranggapan bahawa jika bawa jenazah atau mayat dalam kereta sendiri akan ada malang yang menimpa? Adakah betul kepercayaan sebegini? Mohon pencerahan ustaz.

Ringkasan jawapan :

Mempercayai bahawa membawa jenazah atau mayat dengan kenderaan sendiri boleh membawa malang adalah kepercayaan yang karut dan tiada asasnya. Setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin dan kehendak Allah SWT melalui sebab-sebab tertentu. Hakikatnya, manfaat dan mudarat datang daripada Allah SWT. Perbuatan mengaitkan sesuatu perkara dengan sial dan malang adalah perbuatan yang ditegah dalam Islam.

Huraian jawapan :

Satu perkara wajib yang menjadi pegangan kukuh orang beriman ialah meyakini bahawa tiada apa yang boleh memberi manfaat dan mudarat melainkan dengan izin Allah. Ini jelas disebutkan dalam Al-Quran. Allah SWT berfirman :

وَإِن يَمْسَسْكَ اللَّهُ بِضُرٍّ فَلَا كَاشِفَ لَهُ إِلَّا هُوَ ۖ وَإِن يُرِدْكَ بِخَيْرٍ فَلَا رَادَّ لِفَضْلِهِ ۚ يُصِيبُ بِهِ مَن يَشَاءُ مِنْ عِبَادِهِ ۚ وَهُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya : “ Dan jika Allah mengenakan engkau dengan sesuatu yang membahayakan, maka tiada sesiapa pun yang akan dapat menghapuskannya melainkan Dia; dan jika Ia menghendaki engkau beroleh sesuatu kebaikan, maka tiada sesiapapun yang akan dapat menghalangi limpah kurniaNya. Allah melimpahkan kurniaNya itu kepada sesiapa yang dikendakiNya dari hamba-hambaNya, dan Dia lah yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.”[1]

Imam Fakhruddin Al-Razi menjelaskan maksud ayat ini :

وَالْآيَةُ دَالَّةٌ عَلَى أَنَّ الضُّرَّ وَالْخَيْرَ وَاقِعَانِ بِقُدْرَةِ اللَّه تَعَالَى وَبِقَضَائِهِ

“Ayat ini menunjukkan bahawa kemudaratan dan kebaikan datang dengan kudrat dan ketentuan Allah SWT.”[2]

Allah SWT berfirman dalam ayat yang lain :

قُل لَّا أَمْلِكُ لِنَفْسِي ضَرًّا وَلَا نَفْعًا إِلَّا مَا شَاءَ اللَّه

Maksudnya : “Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak berkuasa menolak mudarat dan tidak juga berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku kecuali apa yang dikehendaki Allah…”[3]

Sheikh Ahmad Al-Maraghi menjelaskan bahawa orang musyrikin mencabar Nabi SAW agar mendatangkan azab sesegera mungkin. Lantas Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai jawapan kepada permintaan mereka iaitu Nabi SAW tidak berkuasa mendatangkan mudarat mahupun manfaat melainkan dengan izin Allah SWT.[4]

Bahkan, orang yang percaya kemudaratan dan kebaikan datang daripada selain Allah adalah kepercayaan yang sesat dan karut. Ini kerana sesuatu perkara terjadi dengan izin Allah SWT. Tanpa izin Allah ia tidak akan terjadi. Perkara ini dijelaskan lagi oleh Nabi SAW. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, Nabi SAW bersabda :

‌يَا ‌غُلَامُ ‌إِنِّي ‌أُعَلِّمُكَ ‌كَلِمَاتٍ، احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ، احْفَظِ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ اللَّهَ، وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الأُمَّةَ لَوْ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ لَكَ، وَلَوْ اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرُّوكَ إِلَّا بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ اللَّهُ عَلَيْكَ

Maksudnya : “ Wahai anak, sesungguhnya saya ingin mengajarkan kepada kamu beberapa kalimat. Jaga (hak) Allah, Allah akan menjaga kamu. Jaga hak Allah, kamu akan dapati bahawa Allah berada bersama kamu. Jika kamu memohon, mohon kepada Allah. Jika mahu meminta pertolongan, minta pertolongan kepada Allah. Ketahuilah, jika seluruh umat berkumpul untuk memberi manfaat kepada kamu, mereka tidak akan boleh memberikan manfaat melainkan dengan sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah untuk kamu. Jika mereka berkumpul untuk memudaratkan kamu dengan kamu, mereka tidak akan mampu untuk memudaratkan melainkan dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untuk kamu.”[5]

Sheikh Muhammad Abdurrahman Al-Mubarakfuri telah menghuraikan makna hadis tersebut. Beliau menjelaskan bahawa selain daripada Allah, tiada yang mampu dan berkuasa memberi manfaat dan mudarat.[6]

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, Islam melarang umatnya untuk mempercayai atau mengaitkan sesuatu peristiwa, perbuatan, hari dan lain-lain kepada sesuatu perkara malang. Termasuk dalam larangan ini adalah kepercayaan bahawa membawa jenazah dengan kenderaan boleh membawa sial dan malang. Perkara ini jelas ditegah oleh Islam kerana ia boleh membawa kepada kepercayaan bahawa mudarat itu datang daripada makhluk sedangkan kesemuanya terjadi dengan izin Allah SWT.

Nabi SAW pernah memperingatkan tentang perkara ini. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud, Nabi SAW bersabda :

‌الطِّيَرَةُ ‌شِرْك ‌الطِّيرة ‌شركٌ ‌الطيرة ‌شِرْكٌ ثلاثاً وما منا إلا ولكن اللهُ يُذْهبه بالتوكل

Maksudnya : “Al-Tiyarah adalah syirik, Al-Tiyarah adalah syirik, Al-Tiyarah adalah syirik(Nabi SAW menyebutnya tiga kali) . Tiada sesiapa daripada kalangan kita pernah terlepas dari terlintas berkenaan perkara tersebut. Namun Allah menghilangkannya dengan tawakkal.”[7]

Al-Tiyarah adalah kepercayaan karut yang dianuti oleh masyarakat Arab Jahiliyah. Apabila mereka ingin keluar, mereka akan melepaskan seekor burung. Jika burung iu terbang ke arah kanan, mereka akan meneruskan perjalanan. Jika burung itu terbang ke arah kiri, mereka akan kembali dan duduk sahaja di rumah. Mereka mempercayai malang yang akan menimpa mereka sekiranya mereka meneruskan perjalanan.[8]

Nabi SAW menyifatkan perbuatan tersebut sebagai syirik. Ini menunjukkan bahawa mempercayai sesuatu perkara itu membawa malang adalah kepercayaan yang karut dan tahyul.

Justeru, mempercayai bahawa membawa jenazah atau mayat dengan kenderaan sendiri adalah kepercayaan yang karut dan tiada asasnya. Setiap perkara yang berlaku adalah dengan izin dan kehendak Allah SWT melalui sebab-sebab tertentu. Hakikatnya, manfaat dan mudarat datang daripada Allah SWT. Perbuatan mengaitkan sesuatu perkara dengan sial dan malang adalah perbuatan yang ditegah dalam Islam.

 

Nota Hujung :

[1] Surah Yunus : 107

[2] Fakhruddin Al-Razi, Muhammad Bin Umar, Mafatih Al-Ghaib (1999), Dar Ihya’ Turath Al-‘Arabiy, Beirut, j.17 h.310

[3] Surah Yunus : 49

[4] Al-Maraghi, Ahmad Bin Mustafa, Tafsir Al-Maraghi (1946), Pencetakan Mustafa Al-Babi Al-Halabi, Mesir, j.11 h.116.

[5] Riwayat Al-Tirmizi no 2516, Sunan Al-Tirmizi (1998), Dar Al-Gharb Al-Islami, Beirut,j.4 h.248

[6] Al-Mubarakfuri, Muhammad Abdurrahman Bin Abdurrahim, Tuhfah Al-Ahwazi Bi Syarh Jami’ Al-Tirmizi, Dar Al-Kutub Al-'Ilmiyah, Beirut, j.7 h,185.

[7] Riwayat Abu Daud no 3915

[8] Al-Suyuti, Jalaluddin Abdurrahman, Mirqah Al-Su’ud ila Sunan Abi Daud (2012), Dar Ibn Hazm, Beirut, j.3 h.960-961.