Setelah meneliti kandungan tiktok Islam from the Quran yang bertajuk Clearing the Confusion: Returning to the True Teachings of Islam.[1] terdapat kekeliruan dan kesalah fahaman yang boleh membawa kepada fahaman menolak hadis.
Dalam video berkenaan disebutkan bahawa setiap kandungan yang dihasilkan hanya akan merujuk kepada al-Quran dan bukannya sumber-sumber yang lain. Bagi mereka umat Islam telah banyak mengambil agama ini daripada sumber yang selain daripada al-Quran.[2] Justeru akaun ini ditubuhkan bagi mengajak dan mengembalikan umat Islam untuk merujuk kepada al-Quran sepenuhnya, di samping menolak sumber-sumber lain termasuk hadis Nabi SAW.
Dalam video berkaitan isu rukyah hilal pula, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dijelaskan:
1. Mereka mengeluarkan kefahaman sendiri daripada ayat al-Quran iaitu Surah al-Baqarah 2: 185 dengan menyebut bahawa Allah SWT hanya sebut jika masuk bulan baharu maka puasalah.
2. Sedangkan jelas jika memahami bahasa Arab dengan baik, Allah SWT menggunakan kalimah “syahida” dalam ayat tersebut yang bermaksud melihat. Oleh itu, Abdullah Basmeih menterjemahkan bahagian ayat ini dengan “Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.”
3. Perlu diingatkan bahawa berpegang semata-mata dengan al-Quran adalah tidak memadai, kerana terdapat dalam al-Quran, ayat-ayat yang bersifat mujmal dan khas.
4. Selain itu, Allah SWT telah jelaskan dalam al-Quran bahawa Nabi SAW sebagai penjelas kepada al-Quran. Hal ini kerana, al-Quran juga telah diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW, maka Baginda lah yang paling berhak untuk menjelaskannya kepada umat.
5. Firman Allah SWT:
بِالْبَيِّنَاتِ وَالزُّبُرِ ۗ وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Maksudnya: (Kami utuskan Rasul-rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab Suci (yang menjadi panduan); dan kami pula turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya.
Surah al-Nahl (44)
6. Selain itu, peranan hadis atau sunnah berhubung dengan al-Quran boleh dilihat dalam beberapa bentuk, antaranya:[3]
- Mengukuhkan hukum-hukum yang telah sedia ada dalam al-Quran.
- Menjelas dan memperincikan lagi hukum-hukum yang telah disebutkan dalam al-Quran secara ringkas.
- Mengikat (muqayyad) hukum-hukum yang mutlak atau mengkhususkan yang umum.
- Menetapkan hukum-hukum yang baru yang tidak dijelaskan dalam al-Quran.
7. Umat Islam perlu berwaspada dengan pemikiran ini kerana dibimbangi boleh merosakkan akidah seseorang.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Rujuk Tiktok Islam from the Quran:
//www.tiktok.com/@islamfromthequran/video/7423213782408678686?_r=1&_t=ZS-8uLSK3rq5Vk" style="color: #0563c1;">https://www.tiktok.com/@islamfromthequran/video/7423213782408678686?_r=1&_t=ZS-8uLSK3rq5Vk
[2] Ibid.
[3] Mustafa Abu Sulaiman al-Nadwi, al-Sunnah al-Nabawiyyah Bayna Ahliha wa Munkiriha (Mansurah: Dar al-Nadwah al-Ulama, 2021), 103.
وجاءت السنة توافق الكتاب الكريم، وتتعرض للتفصيلات والجزئيات، ففسرت ،مبهمه وفصلت مجمله، وقيّدت مطلقه، وخصصت عامه، وشرحت أحكامه، كما أتت السنة كذلك بأحكام لم يرد في القرآن نص عليها، وجاءت بهذا متممة ومطبقة لما في القرآن الكريم، فكانت مرتبتها بعد القرآن. وأيضا فإن السنة إما أن تكون بيانا للكتاب أو زيادة عليه، فإن كانت بيانا فهي في الاعتبار بالمرتبة الثانية عن المبين، فإن النص الأصلي أساس والتفسير بناء عليه، وإن كانت زيادة فهي غير معتبرة إلا بعد ألا توجد في الكتاب وذلك دليل على تقدم اعتبار الكتاب