Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #540 : BACAAN AMIN SELEPAS AL-FATIHAH

Soalan: Jelaskan cara mengaminkan bacaan al-Fatihah di dalam solat berjemaah mengikuti sunnah?

Jawapan:

Bacaan amin itu bukan daripada surah al-Fatihah tetapi hukumnya adalah sunat. Untuk menjawab persoalan di atas kami kemukakan ibarat daripada kitab al-Fiqh al-Manhaji

"Mengucapkan Amin ketika selesai bacaan fatihah selepas firman Allah SWT (ولاَ الضَّآلِينَ), diikuti dengan perkataan Amin yang bermaksud: Wahai Tuhan, perkenankanlah. Setiap orang yang bersolat sunat mengucapkan Amin dengan nyaring pada semua solat yang dinyaringkan bacaan dan dengan perlahan pada solat yang diperlahankan bacaan, manakala makmum pula menyaringkannya mengikut imam. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قَالَ أَحَدُكُمْ آمِينَ. َوفِي رِوَايَةِ عِنْدَ مُسْلِمٍ: فِى الصَّلاَةِ وَقَالَتِ الْمَلاَئِكَةُ

Maksudnya: Apabila seseorang di kalangan kamu mengucapkan Amin. Riwayat Muslim menyebut ketika bersolat, para malaikat di langit juga mengucapkan Amin. Jika bertepatan kedua-duanya, maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.

Riwayat al-Bukhari (748) dan Muslim (410)

Hadith seterusnya, daripada Abu Hurairah RA berkata:

إِذَا أَمَّنَ الإِمَامُ فَأَمِّنُوا فَإِنَّهُ مَنْ وَافَقَ تَأْمِينُهُ تَأْمِينَ الْمَلاَئِكَةِ غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Apabila imam mengucapkan Amin kamu ucapkanlah Amin. Sesiapa yang Aminnya bertepatan dengan Amin para malaikat, akan diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.

 

Begitu juga hadith, daripada Abu Hurairah RA, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا تَلاَ (غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّينَ) قَالَ: آمِينَ. حَتَّى يَسْمَعَ مَنْ يَلِيهِ مِنَ الصَّفِّ الأَوَّلِ

 

Maksudnya: Apabila Rasulullah SAW membaca  (غَيرِ الْمَغضُوبِ عَلَيهِم وَلاَ الضَّآلِينَ), Baginda berkata Amin sehingga terdengar oleh orang yang berada dalam saf yang pertama di belakang Baginda.

Riwayat Abu Daud (934)

 

Hadith riwayat Ibn Majah pula menambah:

فَيَرْتَجُّ بِهَا الْمَسْجِدُ

Maksudnya: Sehingga masjid bergema dengan laungannya.

Riwayat Ibn Majah (853)

 

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita dalam melaksanakan tuntutan solat dengan sempurna. Amiin.