Soalan: Apakah hukum jika imam membaca khutbah tetapi tidak didengar oleh makmum secara jelas disebabkan oleh suara yang terlalu perlahan seolah-olah khutbah dibaca untuk dirinya sendiri dan bagaimana sifat tersebut, adakah sah atau sebaliknya?
Jawapan:
Kami mulakan dengan dalil disyariatkan dan diwajibkan solat Jumaat berdasarkan firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).[1]
(Surah al-Jumu’ah: 9)
Antara dalil wajib solat daripada hadith pula ialah, daripada Toriq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim.”
Riwayat Abu Daud (1067)
Hadith seterusnya, daripada Abu Hurairah dan Ibn Umar RA, mereka berdua mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika Baginda berada di atas mimbarnya:
لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ
Maksudnya: “Hendaklah sesuatu kaum itu daripada meninggalkan solat Jumaat atau Allah akan menutup hati-hati mereka, akibatnya mereka akan menjadi golongan yang lalai.”
Riwayat Muslim (865)
Jika didengar lebih daripada empat puluh orang, maka solat jumaat tersebut adalah sah.
Kami kemukakan di sini dari al-Fiqh al-Manhaji berkenaan syarat dua khutbah:
"Kedua-duanya mempunyai beberapa syarat seperti berikut:
1. Ketika membaca khutbah, khatib hendaklah berdiri jika mampu. Di antara kedua-dua khutbah tersebut hendaklah diselangi dengan duduk. Hal ini berdasarkan hadith, daripada Jabir bin Samurah RA berkata:
كَانَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ خُطْبَتَيْنِ يَجْلِسُ بَيْنَهُمَا وَكَانَ يَخْطُبُ قَائِمًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berkhutbah dengan dua khutbah, diselangi dengan duduk di antara kedua-duanya dan Baginda berkhutbah dalam keadaan berdiri.”
Riwayat Muslim
Hadith seterusnya, daripada Ibn Umar RA, katanya:
كَانَ النَّبِىُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْطُبُ قَائِمًا ثُمَّ يَقْعُدُ ثُمَّ يَقُومُ، كَمَا تَفْعَلُونَ الآنَ
Maksudnya: “Nabi SAW berkhutbah dalam keadaan berdiri kemudian duduk dan berdiri semula seperti yang kamu lakukan sekarang.”
Riwayat al-Bukhari (878) dan Muslim (861)
2. Khutbah tidak dikemudiankan daripada solat Jumaat. Hal ini kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW seperti yang telah diketahui daripada beberapa hadith tentang solat Jumaat serta ijma’ ulama’.
3. Khatib hendaklah suci daripada hadas kecil dan besar serta najis yang tidak dimaafkan pada pakaian, badan dan tempatnya. Khatib juga hendaklah menutup aurat. Syarat ini kerana khutbah itu adalah sama seperti solat. Malah dua khutbah tersebut adalah sebagai ganti dua rakaat daripada solat Zuhur. Maka disyaratkan bagi khutbah sebagaimana yang disyaratkan kepada solat seperti suci dan sebagainya.
4. Rukun-rukun khutbah hendaklah dibaca dalam bahasa Arab. Khatib hendaklah menyampaikan semua rukun khutbah dalam bahasa Arab walaupun ia tidak difahami oleh para jemaah. Sekiranya tidak ada orang yang tahu berbahasa Arab sedangkan ada masa mempelajarinya maka semua jemaah tersebut berdosa dan tidak boleh mendirikan Jumaat tetapi hendaklah mendirikan solat Zuhur. Sekiranya kesempatan mempelajari bahasa Arab itu tidak ada, maka rukun-rukun khutbah itu hendaklah diterjemahkan kepada sebarang bahasa yang sesuai dan solat Jumaat itu dikira sah.
5. Berturut-turut antara rukun-rukun khutbah yang pertama dan kedua, dan antara khutbah kedua dengan solat Jumaat. Jika berhenti lama pada pandangan umum antara khutbah pertama dengan khutbah kedua atau antara dua khutbah dengan solat Jumaat maka khutbah tersebut adalah tidak sah. Sekiranya boleh diulangi khutbah itu semula maka wajib diulangi, dan jika tidak hendaklah diteruskan dengan solat Zuhur.
6. Rukun dua khutbah hendaklah didengar 40 orang jemaah yang memenuhi syarat-syarat wajib solat Jumaat.
Rukun dua khutbah tersebut ialah:
1. Memuji Allah SWT dengan menggunakan sebarang lafaz.
2. Berselawat ke atas Nabi SAW dengan sebarang lafaz selawat. Sebutan nama Nabi SAW hendaklah disebut dengan jelas seperti lafaz Nabi, Rasul atau Muhammad dan tidak memadai dengan sebutan ganti nama sebagai ganti kepada lafaz-lafaz tersebut.
3. Memberi nasihat supaya bertaqwa kepada Allah SWT dengan menggunakan sebarang lafaz dan gaya bahasa.
Ketiga-tiga rukun itu menjadi rukun bagi kedua-dua khutbah. Oleh itu tidak sah kedua-dua khutbah Jumaat melainkan dengan menyempurnakan rukun-rukun tersebut. Membaca satu ayat al-Quran pada satu daripada dua khutbah. Ayat al-Quran yang dibaca itu hendaklah boleh difahami dan jelas maknanya. Tidak memadai membaca satu ayat daripada beberapa huruf potong pada awal surah. Mendoakan orang mukmin dalam khutbah yang kedua dengan sebarang doa."
Justeru, sah solat Jumaat itu jika ia telah didengari oleh 40 orang yang bermastautin. Sekiranya, jemaah selain daripada 40 orang itu tidak mendengar, ia tidak menjejaskan sahnya khutbah Jumaat itu. Semoga diberi kefahaman kepada kita untuk agama kita ini. Amiin.
[1] Al-Qurtubi berkata: Ayat ini menjadi dalil bahawa Allah fardhukan Jumaat kepada setiap orang Islam dan menolak pendapat yang menyatakan bahawa solat Jumaat hukumnya fardhu kifayah sedangkan Jumhur al-Ummah berpendapat hukumnya adalah fardhu ain.