Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #367 : KAEDAH TAHNIK ANAK YANG BARU LAHIR

 

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 367 (26 OGOS 2016 M / 21 ZULKAEDAH 1437 H)

SOALAN:

Assalamualaikum yg berbahagia ustaz. Jika tidak keberatan ajarkan saya cara mentahnik anak kecil seperti yg ustaz lakukan. Semoga ilmunya dpt saya amalkan. Terima kasih ustaz

JAWAPAN:

Waalakumussalam wbt,

Tahnik bermaksud membelah mulut bayi dengan buah tamar yang dikunyah dan digosokkan ke lelangit bayi, dan sebahagiannya lagi masuk ke dalam perutnya.

Sunat mentahnik bayi dengan buah tamar sama ada bayi lelaki atau perempuan. Jika tidak ada tamar, gunakanlah sesuatu yang manis. Hal ini berdasarkan hadis daripada Anas bin Malik RA, katanya:

ذَهَبْتُ بِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي طَلْحَةَ الأَنْصَارِيِّ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم حِينَ وُلِدَ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فِي عَبَاءَةٍ يَهْنَأُ بَعِيرًا لَهُ فَقَالَ ‏"‏ هَلْ مَعَكَ تَمْرٌ ‏"‏ ‏.‏ فَقُلْتُ نَعَمْ ‏.‏ فَنَاوَلْتُهُ تَمَرَاتٍ فَأَلْقَاهُنَّ فِي فِيهِ فَلاَكَهُنَّ ثُمَّ فَغَرَ فَا الصَّبِيِّ فَمَجَّهُ فِي فِيهِ فَجَعَلَ الصَّبِيُّ يَتَلَمَّظُهُ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ حُبُّ الأَنْصَارِ التَّمْرَ ‏"‏ ‏.‏ وَسَمَّاهُ عَبْدَ اللَّهِ

Maksudnya: “Aku membawa Abdullah bin Abu Talhah al-Ansari RA yang baru lahir menemui Rasulullah SAW pada ketika itu, baginda memakai aba’ah (العباءة) sedang melumurkan untanya dengan minyak. Baginda bertanya: “Adakah kamu membawa tamar?” Aku menjawab: “Ada,” lalu aku menyerahkan beberapa biji kepada Baginda. Baginda pun memasukkan beberapa itu ke dalam mulut dan mengunyah-ngunyahnya. Kemudian, baginda membuka mulut Abdullah dan memasukkan tamar tersebut. Bayi itu pun menggerak-gerakkan lidah sambil menghisap manisnya. Kemudian, Rasulullah SAW bersabda: “Kesukaan orang Ansar ialah buah tamar. Lalu Baginda menamakannya Abdullah.”

Riwayat Muslim (2144) dan yang lainnya.

Hadis seterusnya, daripada Abu Musa RA, katanya:

وُلِدَ لِي غُلاَمٌ، فَأَتَيْتُ بِهِ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَسَمَّاهُ إِبْرَاهِيمَ، فَحَنَّكَهُ بِتَمْرَةٍ، وَدَعَا لَهُ بِالْبَرَكَةِ، وَدَفَعَهُ إِلَىَّ، وَكَانَ أَكْبَرَ وَلَدِ أَبِي مُوسَى‏

Maksudnya: “Aku dikurniakan seorang anak lelaki membawanya menemui Rasulullah SAW. Baginda pun menamakannya Ibrahim dan mentahniknya dengan tamar dan mendoakannya dengan barakah lalu memulangkannya kepadaku. Adalah dia anak lelaki yang paling tua Abi Musa”

Riwayat al-Bukhari (6198)

Hadis yang lain pula, daripada Aisyah R.Anha, katanya:

أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ يُؤْتَى بِالصِّبْيَانِ فَيُبْرِكُ عَلَيْهِمْ وَيُحَنِّكُهُمْ

Maksudnya: “Kanak-kanak lelaki dibawa menemui Rasulullah SAW, lalu baginda mendoakannya semoga diberkati Allah dan mentahniknya.”

Riwayat Muslim (2147)

Berdasarkan keterangan tersebut, ulama menyatakan bahawa bayi yang baru lahir sunat dibawa menemui orang yang soleh dan bertakwa, meminta dan mentahniknya dan mendoakannya supaya beroleh kebajikan dan keberkatan.

Dalam al-Mu’tamad menyebut, tahnik sayugia dilakukan di kalangan orang yang soleh untuk berdoa kepada bayi yang baru dilahirkan dan jika sekiranya tiada yang lelaki, maka perempuan yang solehah juga boleh melakukannya.

Wallahua'lam.