Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #482 : HUKUM MAKANAN DAN MINUMAN YANG DIMASUKI LALAT

 

SOALAN:

Assalamualaikum SS Mufti, saya ingin bertanya. Apakah hukum makanan atau minuman yang dimasuki lalat?

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Jawapan bagi soalan ini memerlukan jawapan berdasarkan beberapa situasi:

Pertama

Bahawa lalat yang masuk itu tidak mati namun hanya singgah sahaja. Dalam hal ini, tidak ada apa-apa kecuali dikhuatiri makanan atau minuman berkenaan sudah dicemari kuman atau virus bawaan lalat yang memudaratkan kesihatan. Contohnya, bimbang ia sempat bertelur. Maka pada ketika itu sunat meninggalkan makanan dan minuman tersebut. Namun jika memang nampak kesan-kesan pencemaran seperti telur lalat dan sebagainya, maka haram dimakan atau dihidangkan kepada orang untuk makan kerana besar kemungkinan untuk mendatangkan keburukan kepada orang lain.

Firman Allah Taala:

وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ

Maksudnya: Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan

Surah al-Baqarah, (2:195)

Firman Allah Taala:

وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

Maksudnya: Dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.

Surah al-Nisa’, (4:29)

Rasulullah SAW bersabda:

لَا ضَرَرَ وَلَا ضِرَارَ

Maksudnya: Tidak boleh mendatangkan kemudaratan dan tidak boleh membalas kemudaratan dengan mudarat yang lain.

Hadis riwayat Imam Ibn Majah (no. 2340) dalam al-Sunan

Justeru, sesiapa yang memakan dan meminum bahan-bahan yang memudaratkan adalah berdosa dan akan disiksa oleh Allah SWT jika tidak bertaubat, kerana mudarat itu merosakkan jasad, melemahkan dan menjatuhkan mereka ke lembah penyakit. Ini kerana Allah menyuruh kita untuk menjaga kesihatan dan badan melarang kita daripada merosakkannya.

Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (2/569)

Namun begitu jika lalat itu jatuh ke dalam minuman, atau makanan yang cair, maka adalah sunat untuk kita celupkan lalat itu sehingga tenggelam kedua-dua kepaknya kemudian kita membuangnya (Rujuk al-Mu’tamad (1/49). Ini kerana mengikuti petunjuk Nabi SAW. Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا وَقَعَ الذُّبَابُ فِي شَرَابِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْمِسْهُ ثُمَّ لِيَنْزِعْهُ، فَإِنَّ فِي إِحْدَى جَنَاحَيْهِ دَاءً وَالأُخْرَى شِفَاءً

Maksudnya: Jika lalat masuk ke dalam minuman salah seorang daripada kalian maka tenggelamkan lalat itu kemudian buanglah, kerana sesungguhnya pada salah satu kepaknya mengandungi racun sedangkan yang satu lagi ada penawar.

Hadis riwayat Imam al-Bukhari (3320) dalam al-Sahih

Imam al-Syaukani menyebut:

“Hadis ini dijadikan dalil bahawa air yang sedikit tidak menjadi najis kerana matinya di dalamnya akan haiwan yang tidak mempunyai darah yang mengalir, disebabkan tidak dapat dibezakan keadaan haiwan itu antara mati dan hidup. Itu telah dijelaskan dalam hadis tentang lalat dan kumbang yang dijumpai keduanya oleh Nabi SAW dalam keadaan mati di dalam makanan kemudian Nabi SAW memerintahkan untuk membuangnya, membaca bismillah lalu makan (makanan) itu. Faedah daripada perintah mencelup seluruh badan lalat di dalam makanan atau minuman itu adalah agar bertemu antara penawar dan penyakitnya, sehingga seimbang bahaya dengan manfaat maka tertolaklah bahayanya.”

Rujuk Nail al-Autar (1/77)

Kedua

Bahawa lalat yang masuk itu mati di dalam makanan atau minuman. Jika lalat tersebut mati dalam makanan maka ia tidak menajiskan makanan tersebut kerana ia termasuk najis yang dimaafkan kerana lalat adakah sejenis haiwan yang tidak memiliki darah yang mengalir (tidak zahir pada mata). Sunat juga hukumnya jika lalat itu mati dalam minuman, untuk ditenggelamkan terlebih dahulu lalu dibuang lalat tersebut. Begitu juga jika ditakutkan mudarat seperti penyakit-penyakit berbahaya, maka dibuang makanan atau minuman tersebut dan tidak meminumnya.

Kesimpulannya, Islam amat menitikberatkan soal penyediaan makanan seperti sumber dan kebersihannya, halal haramnya dan manfaat mudarat daripadanya. Oleh itu hendaklah orang Islam juga sentiasa cakna soal kebersihan makanan dan tidak sewenangnya menyediakan makanan yang bercampur lalat sekalipun tidak menajiskan tetapi mendatangkan mudarat kepada masyarakat. Di saat itu, haram memakannya dan menyediakannya. Semoga makanan dan minuman kita adalah halalan toyyiban (halal lagi baik). Wallahua’lam.