Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #475: WAKTU QOILULAH & GALAKAN MELAKUKANNYA

 

Soalan:

Saya ingin bertanyakan mengenai qoilulah. Bilakah sebenarnya qoilulah ini dilakukan. Selepas atau sebelum Zohor?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Makna Al-Qoilulah ( الْقَيْلُولَةِ )

Menurut Al-Razi Rahimahullah di dalam kitabnya Mukhtar al-Sihah, al-Qoilulah membawa makna tidur di waktu tengah hari.[1] Ibn al-Sikkit Rahimahullah pula menyebutkan bahawa al-Qoilulah itu adalah tidur pada separuh siang iaitu tengah hari.[2] Manakala menurut al-Athir Rahimahullah pula, al-Qoilulah itu adalah istirehat di waktu tengah hari  jika tidak disertakan sekali dengan tidur.[3]

Difahami di sini bahawa al-Qoilulah itu adalah perbuatan tidur di siang hari iaitu pada waktu tengah hari. Al-Qoilulah juga boleh dimaksudkan dengan beristirehat pada waktu tengah hari sekiranya tidak disertakan dengan tidur sepertimana yang disebutkan oleh al-Athir Rahimahullah.

 

Waktu Qoilulah

Para ulama’ berbeza pendapat dalam penentuan waktu qoilulah sama ada ianya sebelum atau selepas Zohor. Ada pendapat yang mengatakan bahawa qoilulah itu adalah selepas gelincirnya matahari da nada juga sebahagian pendapat yang mengatakan ianya sebelum tergelincir matahari.

Kebanyakan kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’e menyebutkan bahawa al-Qoilulah itu  adalah tidur sebelum ataupun menghampiri waktu gelincir matahari. Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Hatami Rahimahullah[4], al-Imam al-Khatib al-Syarbini[5] Rahimahullah dan begitu juga al-Imam al-Ramli Rahimahullah[6].

Namun, terdapat juga pendapat yang mengatakan al-Qoilulah ini boleh dilakukan sebelum atau selepas tergelincirnya matahari. Ini sepertimana pendapat al-Manawi yang mana beliau menyebutkan di dalam Faydh al-Qadir bahawa al-Qoilulah itu adalah tidur dipertengahan siang ketika tergelincir dan apa yang menghampirinya daripada sebelum atau selepasnya.[7]

Adapun bagi hari Jumaat terdapat nas daripada hadith Nabi SAW yang mana al-Qoilulah pada hari Jumaat adalah selepas menunaikan solat Jumaat. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Anas bin Malik RA:

كُنَّا نُبَكِّرُ بِالْجُمُعَةِ، وَنَقِيلُ بَعْدَ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: Adalah kami bersegera dalam menunaikan solat Jumaat  dan tidur qoilulah pada selepas Jumaat.

Riwayat Al-Bukhari (904)

 

Kami berpendapat bahawa boleh sahaja qoilulah itu dilakukan sebelum atau selepas gelincir matahari mengikut kesesuaian masing-masing dengan tujuan untuk memberikan tenaga dalam beribadat di malam hari dengan berqiyamullail. Wallahu a’lam.

Hadis Mengenai Al-Qoilulah & Galakan Untuk Melakukannya

Al-Qoilulah adalah sabit berdasarkan hadith Nabi SAW. Hadith yang menyebutkannya adalah al-Qoilulah selepas solat Jumaat. Ianya sebuah hadith daripada Anas bin Malik RA:

كُنَّا نُبَكِّرُ بِالْجُمُعَةِ، وَنَقِيلُ بَعْدَ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: Adalah kami berawalan dalam menunaikan solat Jumaat  dan tidur qoilulah pada selepas Jumaat.

Riwayat Al-Bukhari (904)

 

Begitu juga dengan sebuah hadith yang lain daripada Sahl bin Sa’ad:

كُنَّا نَقِيلُ وَنَتَغَدَّى بَعْدَ الْجُمُعَةِ‏

Maksudnya: Adalah kami tidur qoilulah dan kami makan tengah hari selepas menunaikan solat Jumaat.

Riwayat Al-Bukhari (6279)

 

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani Rahimahullah menyebutkan bahawa qoilulah itu adalah tidur dipertengahan siang ketika tergelincir matahari dan apa yang menghampiri daripada sebelum atau selepasnya.[8]

Kebanyakan para ulama mengatakan bahawa qoilulah ini digalakkan kerana dengannya dapat memberikan tenaga bagi menghidupkan malam untuk melakukan qiyamullail sepertimana amalan bersahur memberikan kekuatan bagi mereka yang berpuasa di siang harinya. Adapun hadith mengenai kelebihan qoilulah, al-Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith-hadith mengenainya adalah dho’if (lemah),  termasuk di dalam fadhail a’mal (kelebihan beramal)[9].

Wallahu a’lam.

 

 

[1] Lihat Mukhtar al-Sihah. Al-Maktabah al-‘Asriyyah, hlm. 264.

[2] Lihat Kitab al-Alfaaz li Ibn al-Sikkit. Bab al-Naum. Maktabah Lubnan al-Nasyirun, hlm. 467.

[3] Lihat Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar. Al-Maktabah al-‘Ilmiyyah, (4/133).

[4] Lihat Tuhfah al-Muhtaj, (2/245).

[5] Lihat Mughni al-Muhtaj. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, (1/463).

[6] Lihat Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. Dar al-Fikr, (2/131).

[7] Lihat Faydh al-Qadir. Al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, (1/494).

[8] Lihat Fath al-Bari. Dar al-Ma’rifah, (11/69).

[9] Lihat Al-Majmu’. Dar al-Fikr, (4/48).