Soalan: Dalam Quran, Allah telah menyebut lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Tetapi bagaimana pula dengan Nabi Ayub AS dan Nabi Ismail yang menceraikan isterinya?
Jawapan:
Kami dapati bahawa ayat al-Qur’an yang dimaksudkan adalah firman Allah SWT:
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُولَئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Maksudnya: “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.”
(Surah al-Nur, ayat 26)
Kisah Nabi Ayub AS menceraikan isterinya tidak ditemui dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Kisah Nabi Ismail menceraikan isterinya adalah sahih dan diriwayatkan dalam hadis yang panjang oleh Imam al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, no. 3364.
Pun begitu, kisah ini tidak menggambarkan percanggahan kerana Surah al-Nur ayat 26 adalah satu bentuk panduan dalam pemilihan pasangan hidup, bukannya menunjukkan satu ketentuan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi ketika mentafsirkan Surah al-Nur ayat 26 menyatakan:
“Kami menyatakan pada tafsir Surah al-Nur ayat 3 sesungguhnya perkahwinan itu didirikan atas dasar sekufu sehingga tidak meninggi satu kedudukan daripada kedudukan yang lain. Salah satu bentuk sekufu adalah Surah al-Nur ayat 26…” (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 16/10243)
Selain itu, perlu difahami bahawa Surah al-Nur adalah termasuk dalam surah yang diturunkan ketika Nabi SAW di Madinah. Bagi surah-surah yang diturunkan di Madinah, terdapat ciri-ciri ayat yang bersifat qat’i (tetap) dan aghlabi (kebiasaan). Ringkasnya, ayat-ayat yang bercirikan aghlabi antaranya memfokuskan kepada kekeluargaan. Maka, ayat di atas memberi satu panduan tentang kebiasaannya bagi lelaki baik, akan memilih perempuan yang baik. Sekiranya tidak sekufu, maka keserasian antara pasangan tidak akan berlaku.