Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

MENGIKUTI KHATAM AL-QURAN DENGAN AMALAN SOLEH

AL-KAFI LI AL-FATAWI : SOALAN 209 (9 MAC 2016 M / 29 JAMADILAWAL 1437 H)

 

SOALAN:

Assalamualaikum wbt, 

Saya mohon pencerahan mengenai pembahagian membaca sendiri tiap satu juz al-Quran bersama rakan-rakan sehinga khatam. Niatnya kerana Allah dan dihadiahkan kepada arwah. Kami lakukan ini secara jarak jauh dan hendak berjumpa mungkin sukar. Kami meraikan khatam al-Quran dengan cara sedekah kebajikan, umpamanya wakaf al-Quran, beri makan burung, ikut kemampuan masing-masing...sebab ramai rakan dah pencen. Jazakallah ustaz moga Allah limpahi rahmatNya kepada ustaz dan guru. Ampun dan maaf sekira kasar bahasa.

 

JAWAPAN:

Waalaikumussalam wbt,

Kami berpendapat bahawa amalan sedemikian merupakan usaha dan pendekatan yang baik dengan berkumpul membaca al-Quran sehingga khatam. Para Salaf juga dikenali sebagai generasi yang rajin mengkhatam al-Quran. Cuma, alangkah baiknya jika diaturkan setiap peserta membaca satu persatu juzuk al-Quran contohnya dibahagikan dalam seminggu perlu membaca 5 juzuk secara sendiri dan dilakukan secara berjauhan. Ini lebih dekat dengan makna mengkhatamkan al-Quran itu sendiri.

Antara waktu yang mustajab untuk berdoa kepada Allah Azza wa Jalla ialah selepas khatam al-Quran, sebagai salah satu bentuk tawassul dengan amal salih. Tsabit bin Qais RA berkata:

كَانَ أَنَسٌ إِذَا خَتَمَ الْقُرْآنَ جَمَعَ وَلَدَهُ وَأَهَلَ بَيْتِهِ, فَدَعَا لَهُمْ

Maksudnya: Adalah Anas (bin Malik R.A) apabila mengkhatamkan al-Quran, beliau menghimpunkan anaknya dan ahli keluarganya di rumah beliau kemudian berdoa bagi mereka.

Riwayat al-Darimi (3801) dengan sanad yang sahih.

 

Al-Nawawi setelah menyebutkan sejumlah riwayat berkenaan kelebihan berdoa selepas khatam al-Quran berkata: “Dan tersangatlah disukai (oleh Syarak) berdoa selepas mengkhatamkan al-Quran sebagai mana yang telah kami kedepankan sebelum ini”.

 

Juga para salafussoleh juga melazimi khatam al-Quran dengan puasa. Berkata Imam al-Nawawi berkata: “Telah sahih daripada Talhah bin Musarrif, al-Musayyib bin Rafi` dan Habib bin Abi Tsabit, para tabi`in Kufah – semoga Allah merahmati mereka semua – bahawa mereka berpagian dengan berpuasa pada hari mereka mengkhatamkan al-Quran.“

Rujuk al-Azkar (1/104-105)

Amalan mewaqafkan al-Quran dan memberikan makanan kepada burung juga ialah perkara yang baik. Lagi baik, jika memberi makanan kepada faqir miskin yang memerlukan seperti mana gambaran orang beriman dalam firman Allah SWT:

وَيُطْعِمُونَ الطَّعَامَ عَلَىٰ حُبِّهِ مِسْكِينًا وَيَتِيمًا وَأَسِيرًا

Maksudnya: Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.

(Surah al-Insan, 76:8)

Perbuatan mengikuti kebaikan dengan kebaikan yang lain umpama nurun `ala nur, cahaya atas cahaya. Kebaikan atas kebaikan. Sifat orang beriman itu sentiasa bersegera melakukan kebaikan dan amal soleh yang pelbagai. Firman Allah SWT:

فَاسْتَبِقُوا الْخَيْرَاتِ

Maksudnya: Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh)

 (Surah al-Maidah, 5:48)

 

Semoga Allah menerima amalan kita da memberikan kekuatan kepada kita untuk melaksanakan Syariat Allah SWT.

Wallahua`lam.