Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI LI AL-FATAWI #455: BERHUTANG MEMBELI BARANG DAPUR

 

Soalan:

Apakah hukum mengambil stok barangan dapur harian dengan berhutang dan hanya membayarnya selepas mendapat gaji?

 

Jawapan:

Berhutang terdapat pensyariatannya di dalam Islam bahkan ayat yang terpanjang di dalam Al-Quran adalah mengenai hutang. Ini sepertimana yang terdapat di dalam Surah Al-Baqarah pada ayat yang ke-282.

Berdasarkan soalan di atas, maka hukum berhutang adalah dibenarkan oleh syara’ namun terdapat hukum-hakam yang berkaitan dengannya. Antara hukum-hakam yang berkait rapat dengan berhutang adalah:

 

  1. Perlulah dicatit serta direkodkan jumlah hutang tersebut beserta maklumat-maklumat yang lain. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيۡنٍ إِلَىٰٓ أَجَلٖ مُّسَمّٗى فَٱكۡتُبُوهُۚ

Maksudnya: Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu bermu'amalah tidak secara tunai untuk waktu yang ditentukan, hendaklah kamu menuliskannya..

(Al-Baqarah: 282)

 

Jumhur ulama’ mengatakan bahawa arahan untuk menulis hutang tersebut adalah sunat dan bukannya wajib.[1] Ianya didatangkan di dalam uslub al-Irsyad iaitu sebagai panduan sahaja dan bukanlah sesuatu yang mewajibkannya. Mencatit segala hutang ini juga bagi mengelakkan dari terlupa dan juga berlakunya keraguan di kemudian hari.

  1. Terdapatnya saksi untuk transaksi hutang tersebut. Ini juga sepertimana yang telah difirmankan oleh Allah SWT:

وَٱسۡتَشۡهِدُواْ شَهِيدَيۡنِ مِن رِّجَالِكُمۡۖ فَإِن لَّمۡ يَكُونَا رَجُلَيۡنِ فَرَجُلٞ وَٱمۡرَأَتَانِ مِمَّن تَرۡضَوۡنَ مِنَ ٱلشُّهَدَآءِ أَن تَضِلَّ إِحۡدَىٰهُمَا فَتُذَكِّرَ إِحۡدَىٰهُمَا ٱلۡأُخۡرَىٰۚ

Maksudnya: Dan persaksikanlah dengan dua orang saksi dari orang-orang lelaki (di antaramu). Jika tak ada dua oang lelaki, maka (boleh) seorang lelaki dan dua orang perempuan dari saksi-saksi yang kamu ridhai, supaya jika seorang lupa maka yang seorang mengingatkannya.

(Al-Baqarah: 282)

 

Begitu juga dengan mengambil saksi bagi kes hutang, yang sahih dikalangan para ulama’ adalah sunat hukumnya.[2] Saksi yang diperuntukkan di sini ialah dua orang lelaki dan sekiranya terdapat seorang sahaja lelaki, maka tempat saksi itu boleh digantikan dengan 2 orang perempuan.

 

  1. Asal bagi setiap hutang wajib dilunaskan. Namun, sekiranya dihalalkan oleh si pemiutang, maka gugurlah hutang tersebut dan tiada lagi keterikatan bagi si penghutang dengan pemiutang.

 

Oleh yang demikian itu, bagi situasi seperti persoalan di atas hukumnya adalah harus dan dibolehkan untuk berhutang dengan mengambil stok barangan dapur dan kemudian membayar nilai hutang tersebut setelah mendapat gaji. Dalam isu ini, ianya juga tertakluk kepada budi bicara si pemiutang. Wallahu a’lam.

 

 

[1] Lihat Tafsir al-Qurtubi (Al-Jami’ li Ahkam al-Quran). Dar al-Kutub al-Misriyyah, (3/383)

[2] Ibid. (3/389)