Soalan: Saya mimpi dikejar ular dan dimakan buaya atau harimau. Adakah itu mimpi mainan tidur atau disebabkan syaitan?
Jawapan:
Maaf,kami tidak mengetahui maksud mimpi dikejar ular ataupun dimakan buaya dan harimau.
Adapun jika berkenaan mimpi bertemu harimau, kami nukilkan pandangan al-Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi:
“Barangsiapa yang melihat harimau dalam mimpinya, hendaklah dia beristighfar kepada Allah atas dosa-dosanya. Dalilnya adalah ia melambangkan raja-raja Parsi yang bertakwa. Harimau itu juga melambangkan kegagahan dan manusia ketakutan yang amat sangat kepadanya. Ia juga melambangkan seorang yang mempunyai pelbagai kebolehan dalam pelbagai bidang.”[1] Pada pandangan kami, ia merujuk kepada kehebatan seseorang. Justeru, istighfar itu adalah sebagai satu saranan untuk menginsafi kekurangan diri dan membuang sikap berbangga dengan diri.
Jika mimpi bertemu buaya pula, Imam ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi menyatakan:
“Melihatnya (buaya) dalam mimpi adalah simbolik kepada polis. Buaya di dalam laut merujuk kepada seseorang yang tidak boleh dipercayai, samada dianya kawan atau lawan. Buaya juga adalah merujuk kepada peniaga yang zalim dan tidak boleh dipercaya. Sesiapa yang melihat buaya menariknya ke dalam air dan membunuhnya, sesungguhnya dia akan ditangkap polis yang akan mengambil hartanya dan membunuhnya. Sekiranya dia selamat daripadanya, maka dia terselamat.
Melihat buaya dalam mimpi juga merujuk kepada kebiadaban, dosa, perompak, pendapatan yang tidak menepati syarak, ketakutan dan tekanan. Ia juga bermaksud meninggalnya seseorang, digambarkan dengan keadaannya yang lemas. Melihat buaya di laut menandakan keburukan dan melihatnya di daratan menunjukkan buaya tersebut lemah dan kehinaan. Sekiranya buaya menarik seseorang ke dalam air di dalam mimpi, ia bermakna seseorang yang berkuasa akan memaksanya melakukan sesuatu yang dia benci. Jika seseorang melihat dirinya sendiri sedang makan daging buaya, atau sekiranya seseorang melihat dirinya menarik buaya keluar daripada air, ia bermakna dia akan berjaya mengatasi musuhnya."[2]
Secara asasnya, Ibn Hajar al-‘Asqalani membahagikan mimpi kepada dua bentuk:
- Mimpi yang benar (al-sadiqah). Ini adalah mimpi para Nabi dan orang-orang soleh. Jarang-jarang berlaku kepada selain daripada mereka. Ia boleh berlaku secara sedar (yaqazah) bertepatan apa yang berlaku dalam mimpi.
- Dikenali dengan istilah al-adghath. Ia berlaku tiba-tiba tanpa sebarang perlakuan yang membawa kepada datangnya mimpi tersebut. Ia boleh datang dalam beberapa bentuk:
- Mainan syaitan untuk menyebabkan orang yang bermimpi menjadi sedih atau risau.
- Melihat malaikat yang mengarahkannya melakukan perkara yang diharamkan atau mustahil dilakukan
- Sesuatu yang difikir-fikirkan oleh orang yang bermimpi semasa sedar dan ia terbawa-bawa sehingga ke dalam mimpi. Ini adalah kebiasaannya.[2]
Antara panduan ringkas sekiranya berhadapan dengan mimpi buruk adalah:
- Meludah ke kiri 3 kali
Sabda Nabi SAW:
إِذَا رَأَى أَحَدُكُمُ الرُّؤْيَا يَكْرَهُهَا، فَلْيَبْصُقْ عَنْ يَسَارِهِ ثَلَاثًا وَلْيَسْتَعِذْ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ ثَلَاثًا، وَلْيَتَحَوَّلْ عَنْ جَنْبِهِ الَّذِي كَانَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Ketika kalian mengalami mimpi buruk, hendaknya meludah ke kiri 3 kali, dan memohon perlindungan kepada Allah dari kejahatan syaitan sebanyak 3 kali serta menukar rusuknya ke arah berlawanan (menukar posisi tidur).”
(Riwayat Muslim, no. 2262)
- Tidak menceritakan kepada orang lain, bangun tidur dan laksanakan solat
Sabda Nabi SAW:
الرُّؤْيَا ثَلاَثٌ: حَدِيثُ النَّفْسِ، وَتَخْوِيفُ الشَّيْطَانِ، وَبُشْرَى مِنَ اللَّهِ، فَمَنْ رَأَى شَيْئًا يَكْرَهُهُ فَلاَ يَقُصَّهُ عَلَى أَحَدٍ وَلْيَقُمْ فَلْيُصَلِّ
Mimpi itu ada tiga jenis: “Bisikan hati, ketakutan kepada syaitan dan berita gembira daripada Allah. Barangsiapa yang melihat (di dalam mimpinya) sesuatu yang tidak disukai, usah menceritakannya kepada orang lain. Dia wajar bangun dan laksanakan solat.”
Akhir kalam, kami mencadangkan supaya rujuk kepada para ulama’ yang muktabar dan kitab yang masyhur dan diyakini. Perihal ta’bir mimpi perlu ditanya kepada orang yang soleh agar mendapat tafsiran yang tepat dan tidak menyeleweng. Allah SWT juga menurunkan wahyu kepada Rasul dalam bentuk mimpi. Sabda Nabi SAW:
رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ
Maksudnya: “Mimpi orang Mukmin adalah sejuzuk daripada 46 juzuk kenabian.”
(Riwayat al-Bukhari, no. 6987)
Sesungguhnya, mimpi orang Mukmin di akhir zaman memberi kesan yang baik kepada kehidupannya mahupun masyarakat. Semoga dengan pencerahan ini dapat memberi satu penjelasan yang baik untuk kita memahami isu ini.
_________________________________________
[1] Al-Nabulsi, ‘Abd al-Ghani. Ta’tir al-Anam fi Ta’bir al-Manam, m. 360.
[2] Al-Nabulsi, ‘Abd al-Ghani. Ta’tir al-Anam fi Ta’bir al-Manam, m. 53.
[3] Al-Asqalani, Ibn Hajar. Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 12/354.