Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #665 : HUKUM MENAMAKAN ANAK DENGAN ASIAH

Soalan:

Bolehkah saya memberikan nama anak saya dengan nama Asiah ? Kerana ada yang mengatakan tidak boleh kerana menyerupai nama isteri firaun.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Soal pemberian nama anak adalah satu perkara yang dititik beratkan oleh syarak. Ini kerana, penamaan nama yang baik merupakan di antara faktor dalam membentuk peribadi yang soleh pada diri seseorang itu. Berikut merupakan beberapa nas nabawi yang menunjukkan kepada hal tersebut:

Daripada Abu al-Darda’ R.anh bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

‏ إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.

Riwayat Abu Daud (4948)

Hadis ini dinilai sanadnya oleh Imam al-Nawawi sebagai jayyid manakala Imam Shamsuddin Abu Bakr Ibn Ayyub mengatakan bahawa hadis ini sebagai hasan. Maka jelas daripada teks hadis di atas menyatakan bahawa hendaklah seseorang itu memperelokkan pemberian nama anak-anak serta kaum kerabatnya.

Demikian juga berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Wahb al-Jusyamiy bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

تَسَمَّوْا بِأَسْمَاءِ الأَنْبِيَاءِ وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ

Maksudnya: Berikanlah nama dengan nama para anbiya’. Dan nama yang paling dicintai oleh Allah adalah Abdullah dan Abd al-Rahman.

Riwayat Abu Daud (4950)

Berdasarkan hadis di atas, Imam Shamsuddin Abu Bakr Ibn Ayyub menyebutkan bahawa Bani Israil dahulu banyak menamakan anak-anak mereka dengan nama Emanuelle, dan maknanya adalah Tuhan kami bersama dengan kami. Oleh yang demikian itu, nama yang paling Allah S.W.T sukai adalah Abdullah dan Abd al-Rahman. Dari sudut seorang kanak-kanak itu, apabila dia dapat berfikir dan berakal kelak akan mengetahui bahawa dia adalah hamba kepada Allah dan Allah adalah sayyidnya dan juga maula (penolong) kepadanya. Rujuk Tuhfah al-Maulud (Hlm. 389).

Perkaitan Di Antara Nama Dan Keperibadian

Sebahagian para ulama menjelaskan bahawa terdapat kaitan yang ketara di antara nama dengan seseorang yang dinamakan dengan nama tersebut. Di antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Shamsuddin Abu Bakr Ibn Ayyub Rahimahullah dengan katanya: Secara kesimpulannya, akhlak serta perbuatan-perbuatan yang buruk itu ada hubungkaitnya dengan nama. Demikianlah nama-nama yang baik akan mendorong kepada akhlak dan perbuatan yang baik. Dan tidaklah Rasulullah S.A.W itu dinamakan dengan Muhammad dan Muhammad melainkan kerana banyaknya ciri-ciri dan sifat terpuji pada diri baginda S.A.W. Dan sesungguhnya pemilik nama yang baik kadangkala malu dengan namanya, dan kadangkala disebabkan namanya itulah yang mendorong seseorang melakukan perbuatan yang sesuai dengan namanya serta meninggalkan apa yang bercanggahan dengannya. Lihat Tuhfat al-Maudud (Hlm. 250).

Persoalan Seputar Nama Asiah

Berbalik kepada soalan yang dikemukakan, berikut kami kongsikan maksud perkataan atau nama Aasiah. Di dalam bahasa arab, perkataan Aasiyah didefinisikan dengan makna-makna yang berikut:

  • Rawatan dan sembuhan. Rujuk Lisan Al-‘Arab (14/34). Ia berasal dari kalimah tunggal الأَسا dan kata plural bagi kalimah ini adalah آسِيَة (Aasiyah).
  • Demikian juga perkataan Aasiyah turut membawa maksud bersedih. Seperti seseorang itu bersedih dengan musibah yang menimpa dirinya.
  • Aasiyah juga membawa maksud tiang yang menguatkan sesuatu binaan.

Berdasarkan kepada beberapa makna bagi perkataan Asiah di atas, tidak didapati bahawa ia menunjukkan kepada makna atau sifat yang buruk dan tercela. Justeru, dibolehkan untuk seseorang itu menamakan anaknya dengan nama tersebut. Cuma bezakan sebutan Aasiyah (آَسِية) dengan ‘Aashiyah (عَاصِية) yang membawa maksud perempuan yang bermaksiat atau derhaka.

Kesimpulan

Kami berpandangan, adalah menjadi tuntutan kepada seseorang itu memberikan penamaan yang baik kepada anak-anak mereka. Berilah nama-nama berdasarkan kepada nas-nas yang sahih daripada Nabi S.A.W, serta rujuklah para alim ulama terlebih dahulu sebelum memberikan penamaan kepada anak. Ini demi kemaslahatan dan kebaikan si anak itu sendiri di masa hadapan.