Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #670 : HUKUM SEWA BILIK DALAM RUMAH YANG TURUT DIHUNI WANITA BUKAN MAHRAM

Soalan:

Assalamualaikum Saya ingin bertanya mengenai hukum tinggal/sewa rumah dengan bukan mahram yang bukan Muslim.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wbt,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas junjungan Nabi SAW, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami lihat sudah menjadi kebiasaan bagi masyarakat zaman ini untuk menyewa bilik dalam satu rumah yang dikongsi kemudahannya bersama. Kami memandang hal ini merupakan perkara yang serius perlu dielakkan kerana boleh membawa kepada khalwat dan menjerumus kepada penzinaan.

Firman Allah Taala:

وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Berkata Imam Ibn Katsir berkenaam ayat ini di dalam tafsirnya: “Allah Taala berkata demikian sebagai larangan kepada para hambanya untuk berzina, dan juga daripada perkara-perkara yang membawa dekat kepadanya, juga menghindari untuk menjerumuskan diri ke dalam sebab-sebab dan pendorong-pendorong zina.”

Rujuk Tafsir al-Quran al-`Azim (5/72)

Jelaslah bahawa ayat ini mengajar kita bukan hanya untuk tidak berzina bahkan menjauhi zina dan tidak melakukan perkara yang boleh membawa kepadanya. Salah satunya ialah berkhalwat, dan jalan-jalan yang menuju kepada khalwat. Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ، وَلاَ تُسَافِرَنَّ امْرَأَةٌ إِلَّا وَمَعَهَا مَحْرَمٌ

Maksudnya: “Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita, dan jangan pula wanita itu bermusafir, kecuali (dalam dua-dua situasi) wanita itu ditemani dengan mahramnya.”

Hadis riwayat al-Bukhari (1862)

Daripada Jabir bin Abdillah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَمَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلَا يَخْلُوَنَّ بِامْرَأَةٍ لَيْسَ مَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ مِنْهَا فَإِنَّ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya: “Dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia berdua-duaan dengan seorang wanita sedangkan tiada bersama wanita itu mahramnya kerana sesungguhnya orang yang ketiga adalah syaitan.”

Hadis riwayat Ahmad (14651)

Pengecualian diberikan jika keadaan berbaur syahwat dan fitnah dapat dihilangkan. Imam Ibn Hajar al-Asqalani pada membicarakan hadis Ibn Abbas di atas: “Pada hadis ini larangan berkhalwat ke atas lelaki dengan wanita ajnabi (asing). Larangan ini bersifat ijmak (sepakat semua ulama). Tetapi para ulama berbeza pendapat; apakah boleh yang menemani itu bukan mahram tetapi seseorang yang mengambil kedudukannya, seperti para wanita yang thiqah (dipercayai)? Pendapat yang sahih ialah itu dibenarkan kerana menjadi lemahlah tohmahan (atau bahaya syahwat) dengan adanya ia.”

Rujuk Fath al-Bari (4/77)

Namun, apa yang berlaku pada masa kini, apabila dalam satu rumah, setiap bilik dihuni dan disewa oleh penyewa yang berlainan jantina, sudah barang pasti akan menimbulkan syak wasangka dan fitnah. Justeru, langkah yang paling wajar adalah mencari bilik lain dan berusaha meninggal tempat yang membawa kepada perkara yang haram. Ini bertepatan dengan dua kaedah fiqh:

ما أَدَّى إلى الحَرَامِ فَهُو حَرَامٌ

Maksudnya: “Perkara yang membawa kepada perkara yang haram, perkara itu juga adalah haram.”

Rujuk Qawa`id al-Ahkam oleh Imam al-Izz bin Abdussalam (2/217)

Begitu juga  kaedah Sadd al-Dzari`ah, iaitu menutup jalan membawa kepada kerosakan, yang maklum di dalam Hukum Syarak, seperti yang ditekankan oleh Imam al-Syatibi dalam al-Muwafaqat (3/220)

InsyaAllah, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik seperti mana firman Allah Taala:

وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”

(Surah al-Ankabut: 69)

Wallahua’lam.