Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 685: HUKUM KETUA RUMAH MENGAMBIL UPAH DALAM RUMAH SEWA

SOALAN

Apakah hukum jika seorang yang dilantik menjadi ketua rumah oleh pemilik rumah, lalu ketua rumah tersebut mengambil upah di atas kerja-kerja yang dilakukannya seperti mengutip sewa dan membayar bil? Mohon penjelasan.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Antara maqosid al-Syariah yang lima yang perlu dijaga di dalam agama Islam ialah menjaga harta (hifz al-mal). Harta disenaraikan sebagai perkara dharuriyyat kerana harta adalah keperluan kepada seluruh manusia untuk mencapai sesuatu perkara seperti makan, minum, tempat tinggal dan lain-lain. Justeru, perkara seperti ini amat dijaga di dalam Islam. Firman Allah SWT:

 

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ

Maksudnya : “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah”

(Surah al-Baqarah : 188)

 

Menurut al-Maraghi dalam tafsirnya bahawa kesatuan umat Islam serta saling bertanggungjawab dalam menjaga harta dalam kalangan umat Islam amat penting. Umat Islam perlu menghormati harta orang lain seperti mana dia menghormati hartanya sendiri. Tidak dibenarkan untuk memiliki sesuatu harta tersebut dengan cara penipuan, riba, rasuah dan lain-lain yang menyalahi syariat. (Rujuk Tafsir al-Maraghi, 1/374)

 

Batil di sini menurut istilah agama ialah mengambil harta orang lain tanpa imbalan yang sewajarnya atau kerelaan pemiliknya.

 

Demikian juga sabda Nabi SAW ketika khutbah al-wada’. Daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

 

إِنَّ اللَّهَ حَرَّمَ عَلَيْكُمْ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ، كَحُرْمَةِ يَوْمِكُمْ هَذَا فِي شَهْرِكُمْ هَذَا فِي بَلَدِكُمْ هَذَا

Maksudnya : “Sesungguhnya Allah SWT mengharamkan ke atas kalian semua darah kalian dan harta kalian dan kehormatan kalian, sepertimana haramnya hari kalian ini, pada bulan kalian ini dan di negeri kalian ini.”

Riwayat al-Bukhari (6043)

 

Merujuk kepada persoalan di atas, di mana ketua rumah tersebut mengambil upah di atas kerja-kerja yang dilakukan seperti mengutip sewa dari semua ahli rumah, membayar bil-bil dan sebagainya. Kehidupan di rumah sewa yang perlu kepada organisasi dalam menguruskan hal-hal rumah sewa perlu diwujudkan bagi memudahkan perjalanan rumah sewa tersebut. Dalam aspek tersebut, penekanan kepada perkara-perkara yang melibat wang seperti sewa rumah perlu diteliti dengan baik supaya tidak berlaku penindasan kepada ahli-ahli rumah. Firman Allah SWT:

 

إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya : “..kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu..”

(Surah al-Nisa’ :  29)

 

Penindasan hak harta seseorang mungkin akan berlaku jika sehingga timbul perasaan tidak berpuas hati serta saling tidak meredai dalam kalangan manusia.  Penerangan berkaitan perihal rumah sewa perlu diterangkan dengan sejelas-jelasnya kepada setiap penyewa agar tidak timbul isu tidak meredai atau tidak berpuas hati di kalangan ahli rumah. Begitu juga berkenaan pelantikan ketua rumah tersebut yang disertai dengan upah yang di ambil dari duit sewaan ahli rumah yang lain perlu juga dinyatakan dengan jelas kepada semua ahli rumah.

 

KESIMPULAN

Dalam isu ini kami berpandangan bahawa perlu diadakan perbincangan di antara ahli rumah dan pemilik rumah dalam menentukan kaedah pembayaran wang sewa kepada tuan rumah. Dibenarkan dan dibolehkan kepada ketua rumah untuk mengambil upah tersebut jika telah disepakati dan diredai oleh ahli rumah yang lain. Namun sebaliknya, jika dibangkang atau tidak diredai oleh sesama ahli rumah, maka hukumnya di sini adalah haram untuk mengambil harta daripada wang pembayaran sewa rumah tersebut sebagai upah kepada ketua rumah. Perkara  ini kerana uruf melihat bahawa kerja-kerja seperti mengutip sewa kebiasaannya tidak memerlukan kepada upah terhadap pengutipnya. Namun begitu, tuan rumah boleh melantik ketua rumah tersebut dan membayar sendiri upah tersebut dengan hartanya sendiri.

 

Wallahu’alam.