Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #700 : HUKUM BERALIH TEMPAT DUDUK KETIKA KHUTBAH JUMAAT

Soalan :

Assalamualaikum, saya kadangkala berasa mengantuk ketika mendengar khutbah jumaat. Apakah yang boleh saya lakukan untuk mengelakkan hal ini ?

Jawapan :

Alhamdulilah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Mendengar khutbah jumaat adalah dituntut. Sekalipun para fuqaha berbeza pendapat tentang hukumnya di antara wajib dan juga sunat, akan tetapi tetap menjadi tuntutan dan keutamaan bagi mereka yang hadir untuk mendengar khutbah dengan teliti.

Secara asasnya, terdapat dua perkara umum yang menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha solat jumaatnya. Kami nyatakan perinciannya seperti berikut:

Pertama: Perkataan

Sebarang ucapan dan perkataan yang berlaku semasa khutbah Jumaat sedang berlangsung, akan menyebabkan pelakunya menjadi lagha. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ‏.‏ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ ‏

Maksudnya: Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: “Diamlah” ketika imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka sesungguhnya kamu telah lagha.

Riwayat al-Bukhari (934)

Hadis di atas ini menjadi dalil bahawa sebarang ucapan sekalipun berbentuk amar makruf (arahan kepada kebaikan) dan juga nahi mungkar (mencegah kemungkaran) adalah dilarang semasa khutbah sedang berlangsung serta menyebabkan pelakunya menjadi lagha. Dan pengertian lagha di sisi para ulama membawa kepada makna yang berikut;

  1. Tidak mendapat sebarang pahala.
  2. Fadilat jumaat seseorang itu terbatal.
  3. Solat jumaatnya menjadi solat zohor sahaja.

Berdasarkan hadis di atas juga, dalalah al-muwafaqah (petunjuk yang bertepatan) membawa kepada larangan berkata-kata semasa khutbah. Sekalipun ucapan ‘’diamlah’’ itu suatu nahi mungkar (mencegah kemungkaran), namun ia turut dianggap sebagai lagha. Maka ucapan-ucapan selain dari itu adalah lebih utama untuk dinilai sebagai lagha.

Kedua: Perbuatan Anggota Badan

Sebarang pergerakan dan perbuatan yang menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha. Hal ini berdalilkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.

Riwayat Muslim (857)

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang, serta menjadikan pelakunya lagha. Hal ini diluaskan lagi kepada perbuatan-perbuatan lain yang menyebabkan hilangnya fokus dan tumpuan dalam mendengar khutbah. Ia seperti bermain telefon bimbit, makan dan minum tanpa sebarang sebab, dan seumpamanya.

Perbuatan Yang Membantu Fokus Untuk Mendengar Khutbah

Namun, di sana terdapat pengecualian ke atas perbuatan-perbuatan yang membantu menambahkan fokus untuk mendengar khutbah. Terutamanya perbuatan yang dapat menghilangkan perasaan mengantuk bagi seseorang itu semasa khutbahnya. Sandaran bagi hal ini adalah sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

 إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَتَحَوَّلْ مِنْ مَجْلِسِهِ ذَلِكَ إِلَى غَيْرِهِ

Maksudnya: Apabila salah seorang kamu mengantuk semasa dia berada di dalam masjid (pada hari Jumaat) maka hendaklah dia beralih kedudukan dari tempat duduknya itu kepada tempat yang lain.

Riwayat Abu Daud (1119)

Hadis ini menunjukkan, tidaklah semua pergerakan anggota badan itu dilarang semasa khutbah. Akan tetapi, perbuatan seperti beralih kedudukan dari satu tempat ke tempat yang lain itu dibolehkan bahkan disunatkan, dengan tujuan untuk mengelakkan mengantuk serta dapat terus fokus mendengar khutbah. Berikut adalah hikmah kepada perbuatan beralih kedudukan ini:

  • Pergerakan dapat menghilangkan rasa mengantuk.
  • Tempat duduknya yang menyebabkan dia tidur itu terdapat padanya syaitan.

Dua hikmah di atas ini disebutkan oleh Al-Sayyid Muhammad Siddiq Hasan di dalam kitabnya Al-Diin al-Khaalis (4/145-146).

Maka perbuatan dan pergerakan seperti ini tidak dilarang dan dianggap sebagai lagha. Bahkan ia suatu yang dituntut lagi disunatkan.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami simpulkan bahawa seseorang yang berasa mengantuk semasa khutbah, disunatkan kepadanya untuk beralih kedudukan tempat duduknya ke tempat yang lain di dalam masjid. Walaupun begitu, memandangkan suasana setempat kita pada hari ini yang mana saf telahpun penuh semasa khutbah, maka tidaklah perlu untuk seseorang yang mengantuk itu beralih ke tempat lain sehingga menyebabkan gangguan kepada jemaah lain. Akan tetapi, boleh untuknya melakukan perbuatan lain yang dapat menghilangkan perasaan mengantuk seperti memicit lehernya, atau badannya, dan selainnya.

Semoga pencerahan ini memberikan kefahaman yang jelas dan tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.