Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #705 : HUKUM SOLAT DI DALAM KREN TOWER

Soalan :

Seseorang bekerja di kren tower dalam keadaan di dalam itu sempit.Apabila dia ingin bersolat dan hendak sujud dia perlu bergerak ke belakang dua kali kemudian apabila bangun dia perlu bergerak ke hadapan dua kali. Ini kerana dia terpaksa turun dari kren tower yang tinggi jika ingin menunaikan solat di tempat yang telah disediakan. Bagaimana solatnya?. Adakah batal solatnya?

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Allah memuji sifat hamba-Nya yang menjaga solatnya. Moga-moga kita tergolong di dalam golongan yang mendapat ganjaran syurga dengan menjaga solat sepertimana hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Ubadah Bin Somit bahawa Rasulullah saw bersabda :

أَتَانِى جِبْرِيلُ مِنْ عِنْدِ الله- عزَّ وَجَلَّ-، فقال: يَا محمدُ إِنَّ الله/ يَقُول: إِنِّى قد فَرَضْتُ عَلَى أُمَّتِكَ خَمْسَ صَلَوَاتٍ مَنْ وَافى بِهِنَّ عَلَى وُضُوئِهِنَّ، وَمَوَاقِيتِهِنَّ، وّرُكُوعِهِنَّ، وَسُجُودِهِنَّ، فَإِنَّ لَهُ بِهِنَّ عِنْدِى عَهْدًا أَنْ أُدْخِلَهُ الجَنَّةَ، وَمَن لَقِيَنِى وَقَدْ انْتَقَصَ مِنْ ذَلِكَ شَيْئًا، فَلَيْسَ لَهُ عِنْدِى عَهْدٌ، إِنْ شِئْتُ عَذَّبْتُهُ، وَإِنْ شِئْتُ غَفَرْتُ لَهُ

 Maksudnya : Aku didatangi Jibril yang diutuskan oleh Allah azza wa jalla lalu berkata :” Wahai Muhammad sesungguhnya Allah berfirman : Sesungguhnya Aku telah memfardukan ke atas umatmu solat lima waktu. Sesiapa yang menunaikannya dengan wudhu, pada waktunya, (disempurnakan) ruku’ dan sujud maka aku berjanji untuk memasukkannya ke dalam syurga. Sesiapa yang bertemu dengan-Ku dalam keadaan di mana kurangnya sesuatu daripada solat-solat itu maka dia tidak mendapat janjiku. Jika Aku kehendaki Aku akan  mengazabkannya dan juga akan mengampunkannya jika Aku mahu.

Riwayat Abu Daud al-Tayalisi (5844) di dalam Musnadnya

Menjawab persoalan di atas, pergerakan yang membatalkan solat adalah pergerakan yang melebihi tiga kali secara berturut-turut walaupun dilakukan secara tidak sengaja.

Kata Abu Ishak al-Syirazi :

“Jika seseorang melangkah tiga langkahan secara berturut atau memukul sebanyak tiga secara berturut maka batal solatnya.”

Rujuk al-Tanbih Fi al-Fiqh al-Syafie (hlmn 76)

al-Khatib al-Syarbini menyebut :

“Dan perkara kedua yang membatalkan solat ialah pergerakan yang banyak yang bukan daripada jenis perbuatan solat secara uruf.Apa yang dianggap uruf sebagai pergerakan yang sedikit seperti mencabut khuf,memakai pakaian yang ringan maka ia adalah sedikit. Begitu juga dua langkah yang sederhana dan juga dua pukulan. Pergerakan sebanyak tiga kali atau lebih adalah dikira banyak (dan membatalkan solat) jika ianya dilakukan secara berturut-turut. Sama ada pergerakan tersebut adalah dari jenis pergerakan itu seperti tiga kali langkah ataupun bercampur dari segala jenis pergerakan seperti satu kali langkahan, satu kali pukulan dan mencabut capal ataupun tiga kali langkahan yang dilakukan dengan satu langkah yang besar. Jika dia melakukan satu pergerakan dengan niat tiga kali pergerakan maka batallah solatnya.”

Rujuk al-Iqna’ Fi Hill al-Alfaz Abi Syuja (2/268)

Imam al-Nawawi menyebut :

“Secara ringkas tentang apa yang disebut oleh ashab kami bahawa pergerakan yang bukan dari jenis pergerakan solat jika ianya banyak maka batal solat tanpa ada khilaf (tentang perkara tersebut). Jika pergerakan itu sedikit,ianya tidak membatalkan solat.”

Beliau menambah lagi :

“Adapun apa yang yang dianggap orang ramai sebagai pergerakan yang banyak seperti langkahan kaki dan pergerakan yang banyak serta berturut-turut maka terbatallah solatnya. Kata Ashab kami : Di atas dasar ini maka satu kali pergerakan seperti satu kali langkahan dan pukulan adalah pergerakan yang sedikit dan pergerakan sebanyak tiga kali adalah banyak.”

Rujuk al-Majmu’ syarh al-Muhazzab (4/25-26)

Maka pergerakan sebanyak tiga kali secara berturut-turut adalah pergerakan yang menyebabkan solat terbatal. Adapun pergerakan sebanyak dua kali seperti yang berlaku dalam keadaan si penanya, ianya telah dijelaskan oleh para ulama. Secara ringkasnya ianya adalah pergerakan yang sedikit dan tidak membatalkan solat.

Kata Imam al-Nawawi :

“Berkenaan dua kali pergerakan ada dua wajah (pandangan).Disebutkan oleh pengarang (al-Syirazi) dan para Ashab. Yang paling asah ialah pergerakan dua kali adalah dikira sedikit. Dan inilah pandangan Sheikh Abu Hamid. (Pandangan) yang kedua menyatakan bahawa pergerakan dua kali dikira banyak. Kemudian para Ashab menyatakan bahawa pergerakan yang banyak itu boleh menyebabkan terbatalnya solat jika ianya berturut-turut. Jika pergerakan tersebut terputus-putus seperti seseorang melangkah dengan satu langkah kemudian berhenti seketika kemudian baru melangkah dengan langkah yang lain ataupun bergerak dua kali kemudian diam dan selepas itu melangkah lagi dua langkahan. Jadi kami katakan : dua langkah tidak memudaratkan dan jika berulang pun sehingga seratus kali jika tidak berturut maka tidak memudaratkan (solat) tanpa khilaf. Begitu juga hukum pukulan yang banyak yang tidak berturut-turut.”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazab (4/26)

Akan tetapi dua kali pergerakan tersebut akan menyebabkan solat terbatal jika berlaku perkara-perkara ini :

  1. Pergerakan itu dengan niat untuk bermain-main
  2. Pergerakan yang terlalu melampau
  3. Jika dia berniat untuk melakukan pergerakan tiga kali kerana dia sudah memulakan qasad untuk bergerak lebih dari tiga kali.

Imam al-Nawawi menyebut :

“Pergerakan yang sedikit yang tidak membatalkan solat (yang dilakukan di dalam solat) adalah makruh kecuali pada beberapa keadaan

  1. Dilakukan dalam keadaan terlupa
  2. Dilakukan kerana ada keperluan
  3. Sesuatu perbuatan yang dikira mandub seperti membunuh ular, kala jengking atau selain dari itu

Kesimpulannya, kami melihat bahawa pergerakan yang dilakukan oleh saudara ketika bersolat di kren tower yang mana perlu bergerak ke belakang dua kali langkahan  untuk bersujud dan ke hadapan sebanyak dua kali langkahan ketika bangun adalah tidak membatalkan solat. Cuma nasihat kami adalah supaya mencari tempat yang sedikit luas agar solat yang ingin dilakukan boleh ditunaikan dalam keadaan yang selesa.  Jika keadaan tidak mengizikan tidak mengapa.

Wallahu’alam