Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #708: HUKUM MENGAMBIL WUDUK DI DALAM TANDAS

Soalan :

Assalamualaikum Ustaz, saya ingin bertanya berkenaan ambil wuduk dalam bilik air. Adakah ia dibolehkan ?

Jawapan :

Alhamdulilah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Mengambil wuduk adalah dituntut apabila berlakunya hadas kecil pada diri seseorang mukallaf. Manakala hadas besar pula, menyebabkan seseorang itu wajib mandi bagi mengangkat hadas tersebut. Kata Syeikh Salim bin Sumair al-Hadhrami Rahimahullah:

الأَحدَاثُ اثْنَان : أصْغَر وأكبَر فالأَصْغَرُ مَا أَوجَبَ الوُضُوء والأكْبَر مَا أوجَبَ الغسْل

Maksudnya: Hadas itu ada dua: Hadas kecil dan hadas besar. Hadas kecil adalah perkara-perkara yang mewajibkan wuduk. Manakala hadas besar adalah perkara-perkara yang mewajibkan mandi. Lihat Safinah al-Najah, Salim al-Hadhrami (Hlm  3).

Berikut kami kongsikan sebuah hadis yang menceritakan berkenaan perbuatan mandi junub Rasulullah S.A.W. Kata Ummu al-Mu’minin Aísyah R.Anha:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا اغْتَسَلَ مِنَ الْجَنَابَةِ غَسَلَ يَدَيْهِ، وَتَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلاَةِ ثُمَّ اغْتَسَلَ، ثُمَّ يُخَلِّلُ بِيَدِهِ شَعَرَهُ، حَتَّى إِذَا ظَنَّ أَنْ قَدْ أَرْوَى بَشَرَتَهُ، أَفَاضَ عَلَيْهِ الْمَاءَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ، ثُمَّ غَسَلَ سَائِرَ جَسَدِهِ‏.‏ وَقَالَتْ كُنْتُ أَغْتَسِلُ أَنَا وَرَسُولُ اللَّهِ، صلى الله عليه وسلم مِنْ إِنَاءٍ وَاحِدٍ

Maksudnya: Rasulullah S.A.W apabila mandi junub baginda akan membasuh kedua tangannya (pergelangan tangan), berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat, kemudian baginda mandi. Seterusnya baginda memasukkan jari-jari (menyela) ke rambut baginda, sehinggalah baginda merasakan bahawa kulit kepala baginda basah, baginda mencurahkan air ke atasnya sebanyak tiga kali. Kemudian baginda membasuh keseluruhan badan baginda. Kata A’isyah lagi: Aku dahulu mandi bersama Rasulullah S.A.W dari bekas air yang sama.

Riwayat al-Bukhari (272)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani Rahimahullah apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata: Padanya (hadis ini) istihbab (disunatkan) untuk menyempurnakan wuduk sebelum mandi (junub). Lihat Fath al-Bari, Ibn Hajar (1/427).

Berdasarkan hadis di atas juga, jelas menunjukkan bahawa di antara kaifiat mandi wajib (junub) Nabi S.A.W adalah dengan berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat. Ini membawa makna, perlakuan wuduk tersebut berlaku di dalam bilik mandi kerana Nabi S.A.W pada ketika ini sedang mandi junub. Hal ini tidak lain tidak bukan menunjukkan kepada keharusan berwuduk dalam bilik air.

Kami pernah bersama dengan Al-Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili Rahimahullah, kami mendapati bahawa beliau lebih cenderung kepada cadangan untuk dipisahkan di antara tempat wuduk dan juga bilik air (tempat buang air kecil dan besar). Hal ini supaya seseorang itu dapat keluar daripada khilaf, dan ia merupakan suatu perkara yang dituntut.

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa perbuatan berwuduk di dalam tandas adalah dibolehkan. Pun begitu, perlu juga untuk seseorang itu berhati-hati sekiranya ditakuti najis yang terdapat di dalam tandas terpercik ke pakaian atau badannya. Semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang jelas kepada kita dalam beragama. Ameen.