Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #766 : HUKUM MUAT TURUN SOFTWARE/ LAGU/ GAME DARIPADA INTERNET

Soalan:

Apakah hukum memuat turun software/lagu/game daripada internet?

Jawapan:

Alhamdulillah pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab isu yang timbul, lihat kepada maksud mereka yang meletakkannya dalam internet. Adakah untuk perniagaan seperti penjualan atau untuk percuma. Perkara ini boleh kita fahami melalui pertanyaan kepadanya atau yang telah menjadi kebiasaan sebagai bahan marketing mereka untuk menjual produk mereka. Sebaliknya, jika ia bersifat percuma, maka tidak menjadi kesalahan kita memuat turun.

Keduanya, isu lagu atau game perlu juga dilihat sama ada ia dalam bentuk dibenarkan atau tidak dibenarkan oleh Syarak. Jika ia diharuskan seperti lagu-lagu ketuhanan atau senikata yang baik dalam bentuk nasihat begitu juga game yang mencambahkan minda dan mengaktifkannya, maka hukumnya dibolehkan.

Perkembangan teknologi yang mengubah cara mencetak rompak daripada kaedah fizikal sebelum ini, kepada cara bukan fizikal seperti melalui proses muat turun, antara lainnya merumitkan usaha membanteras kegiatan itu.

Sebenarnya, di sana ada hak cipta yang perlu dihormati hasil daripada titik peluh oleh seseorang atau syarikat dengan modal dan belanja yang besar. Justeru, perlulah kita mencermati dalam mengambil sebarang tindakan agar kita tidak termasuk dalam mereka yang mencetak rompak.