Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #782 : HUKUM MENGUCAP ISTI’AZAH SEBELUM MEMBACA SURAH AL-FATIHAH DALAM SOLAT

Soalan

Apakah hukum mengucap isti’azah sebelum membaca surah al-Fatihah dalam solat?

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Terdapat beberapa pendapat ulama’ dalam isu ini:[1]

  • Menurut para ulama’ Maliki, amalan membaca isti’azah dan basmalah sebelum membaca Surah al-Fatihah adalah makruh. Begitu juga sebelum membaca surah yang lain. Ini berdasarkan hadis Anas R.A berikut:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَأَبَا بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا كَانُوا يَفْتَتِحُونَ الصَّلَاةَ بالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Maksudnya: “Bahawa Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar dan Umar semuanya memulakan sembahyang mereka dengan membaca: - الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ - ”

Riwayat al-Bukhari (743)

  • Ulama’ Hanafi pula berpendapat, al-isti’azah hanya patut dibaca pada raka’at pertama sahaja.
  • Ulama’ Syafi’e dan Hanbali pula menyatakan al-isti’azah adalah sunat dibaca secara perlahan-lahan pada setiap awal rakaat, iaitu sebelum mula membaca yang lain. Ia dilakukan dengan menyebut:

أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Atau mengikut riwayat Ahmad, bacaannya ialah:

أَعُوذُ بِاللَّهِ السَّمِيعِ الْعَلِيمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Selepas itu barulah dibaca Basmalah. Ulama’ juga berbeza pendapat tentang bacaan Basmalah ini:

  • Bacaan Basmalah ini mengikut ulama Hanafi dan Hanbali hendaklah dibaca secara perlahan-lahan.
  • Sementara ulama Syafi’e pula berpendapat, ia hendaklah dibaca nyaring dalam sembahyang yang sunat dilakukan dengan nyaring seperti yang telah diterangkan. Pendapat mereka berhubung dengan sunat bacaan ta’awwuz ini ialah firman Allah SWT:

فَإِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللَّـهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ

Maksudnya: “Oleh itu, apabila engkau membaca Al-Quran, maka hendaklah engkau terlebih dahulu) memohon perlindungan kepada Allah dari hasutan Syaitan yang kena rejam.”

(Surah al-Nahl: 98)

Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman yang baik dan kefaqihan dalam agama sehingga kita dapat melaksanakan acara ibadat mengikut neraca syariat yang sebenar berasaskan kepada para ulama’ dan fuqaha’ seperti di Malaysia dalam Mazhab Imam al-Syafi’e.

 

Nota hujung

[1] Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/719-720.