Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #962: BENARKAH KEMATIAN ITU SATU UJIAN

kematian ujian.JPG

 

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Benarkah kematian satu ujian dan juga satu perpindahan?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Menjawab persoalan di atas, firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya;

(Surah al-Mulk: 2)

Cendekiawan Muslim, Mustafa al-Kik dalam bukunya Baina ‘Alamain: ‘Alam al-Madah wa ‘Alam al-Ruh berkata bahawa kematian yang dialami oleh manusia – sama ada kematian secara mendadak seperti serangan jantung, kemalangan dan sebagainya, atau kematian biasa yang terjadi melalui proses penuaan secara perlahan-lahan – Yang mati mengejut mahupun yang mati biasa itu, kesemuanya mengalami apa yang dinamakan sakarat al-maut, yakni hilangnya kesedaran yang diikuti oleh perpisahan ruh daripada jasad.

Kematian dalam Islam bukanlah kemusnahan untuk selama-lamanya seperti yang dipercayai oleh orang-orang yang sesat dan jahil. Kematian adalah perpindahan dari satu tempat ke tempat lain, dari satu peringkat ke peringkat lain, dan dari satu persinggahan ke persinggahan seterusnya.

Kata Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah:

إِنَّمَا خُلِقْتُمْ لِلأَبَدِ ، وَلَكِنَّكُمْ تُنْقَلُونَ مِنْ دَارٍ إِلَى دَارٍ

Maksudnya: “Kamu semua dicipta untuk kehidupan yang lebih abadi. Kamu sebenarnya berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 5/287)

Abu al-ʿAtahiyyah, seorang penyair terkenal berkata:

وَما الموْتُ إلاّ رِحْلَة ٌ، غَيرَ أنّهَا           مِنَ المنْزِلِ الفَاني إلى المنزِلِ الباَقي

Bukanlah kematian itu kecuali adalah sebuah perjalanan

            Dari tempat musnah ke tempat yang abadi selama-lamanya

Mayat yang berada di dalam kuburnya hidup secara alam Barzakh. Menerima nikmat ataupun merasai seksaan sebagai permulaan kepada kehidupan akhirat yang abadi. Sama ada seseorang itu diberi balasan baik, ataupun dikenakan seksaan. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 1/273)

Justeru, marilah sama-sama kita menginsafi bahawa hakikat kematian pasti ditempuh oleh semua yang hidup. Namun yang terlebih penting, hendaklah kita berdoa kepada Allah agar dimatikan dalam husnul khatimah dan kita mengisi kehidupan di dunia dengan acara ibadat secara berterusan. Amin.