Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #973: SOLAT DALAM KEADAAN BERFIKIR HAL KEDUNIAAN

FIKIR DUNIA.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bagaimanakah penerimaan Allah solat saya yang masih dilintasi hal-hal keduniaan?


Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sebenarnya ini berlaku kepada hampir semua orang tatkala mereka solat. Ini berdasarkan hadis daripada Abi Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ أَدْبَرَ الشَّيْطَانُ وَلَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لَا يَسْمَعَ التَّأْذِينَ ، فَإِذَا قَضَى النِّدَاءَ أَقْبَلَ حَتَّى إِذَا ثُوِّبَ بِالصَّلَاةِ أَدْبَرَ ، حَتَّى إِذَا قَضَى التَّثْوِيبَ أَقْبَلَ حَتَّى يَخْطِرَ بَيْنَ الْمَرْءِ وَنَفْسِهِ ، يَقُولُ اذْكُرْ كَذَا اذْكُرْ كَذَا لِمَا لَمْ يَكُنْ يَذْكُرُ حَتَّى يَظَلَّ الرَّجُلُ لَا يَدْرِي كَمْ صَلَّى

Maksudnya: Apabila dilaungkan azan untuk solat, nescaya syaitan berlari sehingga terkentut sekira-kira tidak lagi mendengar suara azan. Apabila selesai azan, maka dia datang semula sehinggalah apabila diiqamatkan, maka sekali lagi dia melarikan diri. Sehingga selesai iqamat, dia datang semula dan mewas-waskan dengan lintasan seseorang pada jiwanya. Dia berkata: “ingat sekian-sekian.” sehingga akhirnya seseorang itu tidak ingat berapakah bilangan rakaat yang dia lakukan solat.

Riwayat al-Bukhari (608)

Justeru, kalaulah ini berlaku maka wajib bagi kita bermujahadah untuk menumpukan khusyuk hanya kepada Allah kerana balasan bagi solat khusyuk adalah syurga Firdaus. Dan mereka yang khusyuk sudah pasti memperolehi balasan kemenangan seperti yang disebut dalam awalan surah al-Mukminun:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;

(Surah al-Mukminun: 1-2)

Imam Al-Ghazali menyebut antara cara untuk khusyuk dalam solat ialah:

  • Menghadirkan hati ketika solat. Justeru, hendaklah berusaha membuang semua perkara duniawi yang tidak berkaitan dengan solat dan tidak ada hubungan dengan allah.
  • Memahami semua makna yang dilafazkan dalam solat seperti makna bacaan surah al-fatihah, bacaan ketika rukuk, dan lain-lain.
  • Mengagungkan Allah dengan perasaan bahawa diri kita sangat kerdil dan hina di depan Allah yang maha Agung.
  • Menzahirkan rasa kehebatan Allah SWT dengan menghadirkan rasa takut dan gerun kita kepada Allah.
  • Penuh pengharapan kepada Allah dengan sentiasa menaruh harapan agar amalan solat kita akan diterima oleh allah.
  • Merasa malu kepada Allah atas kekurangan dan kelemahan diri kita.

Lihat juga jawapan yang telah kami berikan berkaitan isu ini dalam siri-siri berikut:

  • Bayan Linnas Siri ke-82: Khusyuk Solat: Hukum Dan Cara Mendapatkannya[1]
  • Irsyad al-Fatwa ke-145: Hukum Solat Tidak Khusyuk[2]
  • Al-Kafi #786: Tidak Khusyuk Kerana Televisyen Masjid[3]

Semoga Allah mengurniakan kepada kita khusyuk dalam solat. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Lihat http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/bayan-linnas/2082-bayan-linnas-siri-ke-82-khusyuk-solat-hukum-dan-cara-mendapatkannya?highlight=WyJraHVzeXVrIl0=

[2] Lihat http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/1844-irsyad-al-fatwa-ke-145-hukum-solat-tidak-khusyuk?highlight=WyJraHVzeXVrIl0=

[3] Lihat http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2527-al-kafi-786-tidak-khusyuk-kerana-televisyen-masjid?highlight=WyJraHVzeXVrIl0=