Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #984: MANA LEBIH UTAMA, CERAMAH DI TV ATAU DI MASJID?

CERAMAH.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Mana lebih aula (utama), antara berceramah di TV menyebabkan orang ramai menonton tetapi ia di rumah, atau ceramah di masjid?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami berpendapat, sekiranya seseorang itu mempunyai ilmu yang banyak dan pengaruh yang besar serta ramai yang ingin mendengar ceramahnya, ketika itu di TV lebih aula dan bermanfaat kerana ramai yang mendapat faedah daripadanya. Contohnya di Mesir, sekitar tahun 60-an sehingga 90-an, seorang ulama’ tafsir terkenal al-Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi di mana ceramahnya dinanti-nanti oleh penduduk Mesir kerana kepetahannya dalam menyampaikan tafsir al-Quran dengan uslub yang tersendiri.

Adapun jika sekiranya dia adalah seorang yang tidak seperti di atas, saya berpendapat adalah lebih baik ceramahnya di masjid kerana wujudnya banyak keberkatan. Antaranya:

  • Keberkatan datang ke masjid.
  • Keberkatan berada dalam masjid.
  • Keberkatan kerana solat berjemaah di samping solat rawatib.
  • Keberkatan menghadiri majlis ilmu.
  • Keberkatan menunggu dan menanti majlis ilmu dengan niat iktikaf.
  • Keberkatan boleh bersilaturrahim bersama saudara seislam.
  • Keberkatan menuntut ilmu atau barakat al-talaqqi.

Justeru, kami menggalakkan pengajaran dan pembelajaran agama dilakukan di masjid yang dikunjungi oleh jemaah kerana inilah amalan salaf al-soleh terdahulu. Rasulullah SAW dan para sahabatnya serta tabi’in, begitu juga para imam yang empat dan tokoh-tokoh ulama’ terkemuka sejak sekian lama menjadikan masjid sebagai salah satu medan ilmu yang telah diterima ramai oleh umat Islam.

Kami juga yakin dengan masjid yang dipenuhi dengan majlis ilmu termasuk dalam makna dan maksud mengimarahkan masjid. Benarlah firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Semoga Allah menjadikan kita cintakan masjid dan juga cintakan majlis ilmu. Maka dengan itu layaklah kita memperolehi syurga Allah sepertimana hadis daripada Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إلَى الْجَنَّةِ، وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ، وَيَتَدَارَسُونَهُ فِيمَا بَيْنَهُمْ؛ إلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ، وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ، وَ حَفَّتهُمُ المَلاَئِكَة، وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ،

Maksudnya: Siapa yang menempuh jalan untuk mencari ilmu, Allah akan memudahkan baginya satu jalan ke syurga. Tidaklah satu kaum berkumpul di satu rumah (masjid) dari rumah-rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan mempelajarinya bersamasama, kecuali ketenangan akan turun kepada mereka, rahmat akan meliputi mereka dan malaikat mengelilingi mereka dan Allah memuji mereka di hadapan para malaikat-Nya.

Riwayat Muslim (2699)

Akhir kalam, mudah-mudahan Allah mengurniakan kepada kita semangat dalam menuntut ilmu di mana-mana sekalipun terutamanya di dalam masjid. Amin.