Soalan:
Apakah hukum menceraikan isteri dengan menggunakan aplikasi whatsapp dengan sangkaan isteri telah berzina dengan lelaki lain?
Jawapan:
Sebelum kami menjawab persoalan di atas, suka bagi kami untuk mejelaskan terlebih dahulu berkaitan dengan lafaz talak ini. Talak akan jatuh jika dilafazkan oleh suami kepada isteri sama ada secara sarih (jelas), sekalipun tanpa niat dan juga secara kinayah (samar-samar) jika disertakan dengan niat. Tiada pengecualian di dalam syara’ jika talak berkenaan disebutkan ketika waktu normal, bergaduh mahupun bergurau-senda. Ini berdasarkan sebuah hadith:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاَثٌ جِدُّهُنَّ جِدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جِدٌّ النِّكَاحُ وَالطَّلاَقُ وَالرَّجْعَةُ
Maksudnya: “Tiga perkara yang dilakukan secara serius atau main-main memberi kesan; nikah, talak, dan rujuk.” [Riwayat Abu Daud (2194), al-Tirmidzi (1184) dan Ibnu Majah (2039)]
Sebagaimana yang kami nyatakan di atas, lafaz talak terbahagi kepada dua iaitu sarih (jelas) dan kinayah (samar-samar). Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas. Kata Imam al-Baijuri :
“Talak yang sarih tidak memerlukan kepada niat.Iaitu niat jatuhnya talak. Kerana tidak dihtimal kepada selain daripada talak.” [Lihat: Hasyiah al-Baijuri ‘ala Syarh Ibn al-Qasim ‘ala Matan Abu Syuja’, 2/263]
Manakala lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami. Kata Ibnu al-Qasim al-Ghazzi:
“Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” [Lihat: Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264]
Berdasarkan soalan di atas, kami katakan bahawa lafaz cerai tersebut termasuk di dalam bahagian kinayah bukannya sarih. Ini bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59, talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, SMS, e-mel dan sebagainya merupakan talak secara kinayah dan ianya adalah sah sekiranya disertai dengan niat. Semua penceraian hendaklah dikemukakan kepada mahkamah syariah untuk menthabitkan talak tersebut. Talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden adalah kaedah penceraian yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan oleh syarak.
Tambahan pula, dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyatakan hal yang sama iaitu talak yang diucapkan melalui pesanan ringkas (sms) atau sebagainya termasuk di dalam talak secara kinayah. Talak seperti ini tidak akan berlaku melainkan apabila si suami memang berniat untuk menceraikan isterinya. Ini kerana, pesanan ringkas ini termasuk di dalam khabar (berita) yang boleh jadi ia benar dan boleh jadi ia dusta. Apabila berlaku perkara seperti ini, si suami akan ditanya akan niatnya. Jika dia memang berniat untuk menceraikan isterinya, maka ia dikira (jatuh talak tersebut). Jika sebaliknya, maka ia tidak akan dikira.
Justeru, untuk menjawab persoalan di atas, maka kami nyatakan bahawa talak tidak jatuh atau berlaku jika suami tidak berniat menceraikan isteri ketika mengirimkan pesanan tersebut. Selain itu juga, jika soalan tersebut berkaitan dengan ta’liq iaitu lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya sesuatu yang bertentangan dengan ta‘liq tersebut. Ini dapat dilihat apabila si suami menyatakan jika benar isteri itu melakukan perbuatan (zina) tersebut maka barulah talak itu jatuh, maka sahlah ta’liq itu apabila perkara yang dita’liqkan itu berlaku. Akan tetapi, pihak Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan meminta agar setiap pasangan yang diceraikan melalui khidmat pesanan ringkas ini perlu memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Syariah berdekatan dengan rumahnya di negeri yang didiami apabila berhadapan dengan situasi sebegini. Semoga Allah SWT memberi kita semua kebahagiaan di dalam rumahtangga. Amin.
Wallahua'lam