Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya ada soalan. Apakah wajar penduduk sebuah kampung mendirikan surau yang jaraknya hanya 200 meter dari masjid kampung tersebut. Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Kami mulakan definisi masjid dan surau. Masjid pada bahasa Arab ialah nama bagi tempat bersujud. Dari sudut syaraknya ialah mana-mana tempat permukaan bumi. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:
وَجُعِلَتْ لِي الْأَرْضُ مَسْجِدًا وَطَهُورًا
Maksudnya: “Dijadikan bagiku bumi ini sebagai masjid (tempat bersujud).”
Riwayat al-Bukhari (438)
Manakala dari sudut istilah atau ‘urf masjid itu ialah tempat yang disediakan bagi mengerjakan sembahyang untuk selama-lamanya. (Lihat Mu’jam Lughah al-Fuqaha’, hlm. 428 dan Ahkam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid, hlm. 26-27)
Al-Zajjaj berkata:
وكل موضِع مُتَعَبَّدٍ فيه فهو مسجد
Maksudnya: “Setiap tempat yang diibadatkan padanya dinamakan dengan masjid.” Beliau kemudian menyebutkan hadis seperti di atas. (Lihat Ma’ani al-Quran, 1/196)
Apabila diperhatikan sejarah kewujudan dan kedudukan tanah persekitaran masjid pada masa dahulu berdasarkan definisi masjid dari sudut istilah, di antaranya ada masjid yang hanya berupa tanah lapang yang diberi tanda atau sempadan di sekelilingnya dengan mendirikan tiang-tiang yang dipacakkan tepat pada sempadan berkenaan.
Jika setakat yang ditanda sebagai sempadan itu hanyalah tiang sahaja yang dijadikan masjid atau disebut masjid oleh orang ramai, atau oleh pewakaf – jika ia masjid wakaf – maka yang berada di luar sempadannya tidak dikira masjid dan tidak berlaku padanya hukum-hakam masjid seperti iktikaf.
Sehubungan dengan ini, jika ada orang yang berkata: “Aku jadikan tempat ini sebagai masjid”, maka jadilah tempat itu sebagai masjid, iaitu setakat mana luas atau besarnya tempat yang dimaksudkannya sebagai masjid itu, manakala kawasan yang di luarnya tidak turut menjadi masjid. Dalam hal ini Imam al-Zarkasyi berkata:
لو قال: جعلت هذه البقعة مسجدا ففي الوجيز أنها تصير مسجدا وإن لم يأت بلفظ الوقف
Maksudnya: “Jika seseorang berkata: “Aku jadikan sebidang tanah ini sebagai masjid, maka menurut kitab Al‑Wajiz jadilah ia masjid walaupun dia tidak menyebut lafaz wakaf.” (Lihat Ihkam al-Sajid bi Ahkam al-Masajid, hlm. 396)
Sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi di atas, sekiranya keseluruhan tanah yang diperuntukkan itu telah diwartakan (digazetkan) atau diniatkan sebagai masjid, maka jadilah kesemua tanah yang diniatkan itu masjid, walaupun bangunan masjid belum didirikan.
Tetapi jika yang digazetkan sebagai masjid hanya setakat bangunannya sahaja, maka itulah sahaja yang dianggap sebagai masjid, manakala bakinya adalah sebagai harim masjid atau rizab masjid (tanah simpanan untuk masjid dan lain-lain keperluan masjid).
Dalam masyarakat Melayu, wujud juga tempat solat yang diberi nama surau, surau jumaat, madrasah dan lain-lain. Perbezaannya adalah amat sedikit. (Lihat Memperkasakan Pengurusan Masjid, hlm. 2-3)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami berpendapat bahawa mendirikan surau berhampiran dengan masjid yang sejarak 200 meter perlu dilihat kepada banyak faktor. Antaranya:
- Faktor kepadatan penduduk
Jika sekiranya penduduk yang padat dan perlu kepada tempat solat yang lain, maka kemunasabahan tersebut boleh dipertimbangkan.
- Faktor masjid kecil
Sedangkan jemaah ramai dan memerlukan tambahan surau bagi menampung jemaah. Maka ketika itu juga boleh dipertimbangkan.
- Faktor keselamatan
Sebagai contoh, ia diseberangi oleh jalanraya atau highway yang sibuk dan sukar untuk melintas. Ini banyak terjadi di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur dan lain-lain.
Atas faktor-faktor seperti ini, kami berpendapat walaupun jarak hanya 200 meter, maka pembinaan surau boleh dipertimbangkan.
Akan tetapi jika faktor hanya kerana tidak puas hati atau kerana menandingi masjid serta boleh membawa kepada perpecahan dan meruntuhkan perpaduan, maka hal ini sewajarnya ditegah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ اتَّخَذُوا مَسْجِدًا ضِرَارًا وَكُفْرًا وَتَفْرِيقًا بَيْنَ الْمُؤْمِنِينَ وَإِرْصَادًا لِّمَنْ حَارَبَ اللَّـهَ وَرَسُولَهُ مِن قَبْلُ ۚ وَلَيَحْلِفُنَّ إِنْ أَرَدْنَا إِلَّا الْحُسْنَىٰ ۖ وَاللَّـهُ يَشْهَدُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Maksudnya: Dan (di antara orang-orang munafik juga ialah) orang-orang yang membina masjid dengan tujuan membahayakan (keselamatan orang-orang Islam), dan (menguatkan) keingkaran (mereka sendiri) serta memecah-belahkan perpaduan orang-orang yang beriman, dan juga untuk (dijadikan tempat) intipan bagi orang yang telah memerangi Allah dan RasulNya sebelum itu. Dan (apabila tujuan mereka yang buruk itu ketara), mereka akan bersumpah dengan berkata:" Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata.” Padahal Allah menyaksikan, bahawa sesungguhnya mereka adalah berdusta.
(Surah al-Taubah: 107)
Syeikh al-Maraghi berkata: Mereka sudah pasti akan mengangkat sumpah dan mengatakan: “Tujuan kami membina masjid ini, tidak lain adalah kerana didorong oleh sifat yang melebihi sifat-sifat kebaikan. Iaitu peranan belas kasih terhadap sesama sendiri dan memberi kemudahan untuk mengerjakan sembahyang secara jemaah bagi golongan yang lemah dan tidak berdaya, termasuk orang yang terhalang untuk mengerjakan sembahyang jemaah lantaran hujan.” Sunnah itu mereka sampaikan agar Rasulullah SAW lebih mempercayai mereka, lalu berkenan untuk menunaikan sembahyang bersama-sama mereka di sana. Allah SWT mengetahui, bahawa mereka benar-benar berdusta dalam keimanan mereka kerana mereka tidak membina masjid tersebut kecuali dengan niat yang buruk, dan sengaja hendak mengganggu kedudukan Masjid Quba’. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2904)
Sekali lagi kami tegaskan, dalam isu seperti di atas, sewajarnya dibawa berbincang oleh penduduk setempat bersama mereka yang mempunyai kefahaman agama serta diangkat kepada majlis agama Islam negeri atau badan berautoriti agama di sesebuah negeri. Ini akan dapat mengelakkan pelbagai prasangka, tohmahan yang tidak baik. Sebaliknya akan mengukuhkan lagi perpaduan umat Islam.
Semoga Allah kurniakan kepada kita kefahaman Islam dan semangat untuk mengimarahkan masjid serta surau selaras dengan firman Allah SWT:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ
Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.
(Surah al-Taubah: 18)