Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1039 : HUKUM MINUM SEMASA KHUTBAH

AK1039 MINUM KETIKA KHUTBAH

Soalan:

Assalamualaikum S.S Mufti, apakah hukum sekiranya saya minum air semasa khutbah Jumaat sedang berjalan kerana saya berasa dahaga ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, terdapat beberapa hadis yang menunjukkan larangan terhadap perkataan dan perbuatan yang menyebabkan hilangnya fokus dalam mendengar khutbah Jumaat. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الجُمُعَةِ: أَنْصِتْ، وَالإِمَامُ يَخْطُبُ، فَقَدْ لَغَوْتَ

Maksudnya: Apabila kamu mengucapkan; ‘’Diamlah kamu’’ kepada sahabat kamu pada hari Jumaat dalam keadaan Imam sedang berkhutbah, maka kamu telah lagha.

Riwayat Al-Bukhari (934).

Begitu juga sebuah hadis yang turut diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: Dan sesiapa yang bermain-main dengan batu kecil (semasa khutbah Jumaat) sesungguhnya dia telah lagha.

Riwayat Muslim (857)

Kedua-dua hadis di atas ini merupakan larangan ke atas dua perkara semasa khutbah Jumaat sedang berlangsung. Iaitu larangan berkata-kata dan juga larangan bermain batu kecil semasa khutbah. Dapatlah kita fahami hikmah larangan tersebut adalah kerana keduanya mengganggu seseorang itu untuk mendengar khutbah yang sedang disampaikan.

Makna Lagha Di Dalam Hadis

Berikut kami sertakan beberapa pendapat yang disebutkan oleh para ulama berkenaan maksud lagha yang terdapat dalam kedua hadis di atas. Imam Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani menyebut: Ada pendapat yang menyatakan lagha bermaksud: Batal fadhilat Jumaat kamu. Manakala pendapat lain menyebut: Jumaat kamu berubah menjadi zohor. Rujuk Fath Al-Bari, Ibn Hajar (2/414).

Meskipun para ulama berbeza pendapat akan kesan ancaman lagha tersebut terhadap implikasi hukum, dalam erti kata sebahagian fuqaha mazhab menyatakan hukum bagi kedua perbuatan itu (bercakap dan bermain batu kecil semasa khutbah) adalah makruh manakala pendapat fuqaha mazhab yang lain menyatakan keduanya adalah haram. Namun apa yang pasti ianya adalah perbuatan yang dilarang, kerana mengganggu tumpuan dalam mendengar khutbah Jumaat yang sedang disampaikan.

Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan, kami nukilkan kata-kata Imam Al-Nawawi yang menyebut:

يُسْتَحَبُّ لِلْقَوْمِ أَنْ يُقْبِلُوا عَلَى الْخَطِيبِ مُسْتَمِعِينَ وَلَا يَشْتَغِلُوا بِغَيْرِهِ حَتَّى قَالَ أَصْحَابُنَا يُكْرَهُ لَهُمْ شُرْبُ الْمَاءِ لِلتَّلَذُّذِ ولا بأس يشربه لِلْعَطَشِ لِلْقَوْمِ وَالْخَطِيبِ

Maksudnya: Disunatkan kepada kaum (orang ramai) untuk menghadap ke arah khatib dalam keadaan mendengar (khutbah yang disampaikan) dan tidaklah mereka itu sibuk dengan perkara lain. Sehinggakan para ashab kami telah berkata: Dimakruhkan bagi kaum (para jemaah) untuk meminum air bagi tujuan talazzuz (bersedap-sedap), tetapi tidak mengapa untuk jemaah dan juga khatib untuk meminum air sekiranya disebabkan dahaga. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/529).

Demikian juga disebutkan oleh Imam Al-Syafi'e Rahimahullah : Sekiranya seseorang lelaki itu dahaga (semasa khutbah Jumaat) maka tidak mengapa untuk dia meminum air dalam keadaan imam sedang berada di atas mimbar. Namun sekiranya dia tidak dahaga, tetapi hanya untuk bersedap-sedap dengan minuman itu, maka yang lebih aku sukai adalah dia menahan dirinya dari melakukan perbuatan tersebut. Rujuk Al-Umm, Al-Imam Al-Syafi'e (1/234).

Kesimpulan

Sebagai penutup, kami menyatakan bahawa perbuatan minum ketika khutbah Jumaat sedang berlangsung sama ada yang meminum itu adalah jemaah mahupun khatib, perlu dilihat kepada keperluan peminum tersebut. Sekiranya ada hajat dan bertujuan menghilangkan dahaga serta kehausan, maka hukumnya adalah dibolehkan.

Seafdhalnya, air minuman diletakkan berhampiran dengan tempat duduk semasa khutbah. Ini supaya jika berlaku keperluan untuk meminum air, maka tidak perlu untuk seseorang itu berjalan jauh sehingga kadangkala menyebabkan gangguan kepada para jemaah yang lain. Wallahu A’lam.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.