Soalan:
Assalamualaikum wbt,
Sekiranya seorang isteri dicerai dengan talak satu, kemudian ketika iddah suami itu meninggal, adakah iddah talak satu itu bertukar kepada iddah meninggal dunia? Dan adakah si isteri layak mendapat faraid?
Jawapan:
Waalaikumussalam wbt,
Cerai talak satu disebut juga sebagai talak raj’i. Ia bermaksud talak yang boleh dirujuk. Di dalam Hukum Syarak, hak rujuk itu ada dua kali. Ini berdasarkan firman Allah ﷻ:
الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ
Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 229)
Imam al-Mawardi (w.450) menyebut dalam tafsirnya: “(antara tafsir ayat ini) bahawa ia menerangkan bilangan talak dan penentuannya dengan tiga kali, dan bahawa sanya lelaki itu memiliki hak rujuk pada dua talak dan tidak pula memilikinya pada talak ketiga. Inilah pendapat `Urwah dan Qatadah.”
Rujuk Tafsir al-Mawardi (1/293)
Allah ﷻ berfirman lagi tentang iddah wanita yang ditalak raj’i sedangkan dia adalah seorang yang berhaid:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ
Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).”
(Surah al-Baqarah:228)
Berkata Imam al-Baghawi (w.510): “Dan berpendapat sekumpulan ulama bahawa maksud (quru’) ialah waktu-waktu suci dan inilah pendapat Zaid bin Thabit, Abdullah bin Umar, Aisyah, dan ini merupakan pendapat fuqaha yang tujuh dan al-Zuhri, dan juga pendapat Rabi`ah, Malik dan al-Syafie.”
Rujuk Ma`alim al-Tanzil (1/266)
Manakala bagi wanita yang tiada haid, seperti sudah putus haid atau tidak pernah haid, iddah mereka adalah tiga bulan Hijriyyah. Ini berdalilkan firman Allah ﷻ:
وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang sudah terputus haidnya (menopaus) dari kalangan isteri-isteri kamu sekiranya kamu ragu—ragu (berkenaan iddahnya) maka iddah mereka adalah tiga bulan dan begitu juga perempuan yang tidak ada haidnya (belum sampai tempoh haid).”
(Surah al-Tolaq: 4)
Namun sekiranya seseorang wanita itu kematian suami, dia tetap perlu beriddah namun jumlahnya berbeza’ yakni empat bulan sepuluh hari. Ini seperti mana yang telah dinaskan dalam al-Quran:
وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”
(Surah al-Baqarah: 234)
Timbul isu, sekiranya wanita yang pada awalnya ditalakkan oleh suaminya dengan talak raj’I, sepert talak satu, kemudian sewaktu wanita itu masih beriddah, bekas suaminya itu mati. Apakah wanita itu perlu menjalani iddah talak raj’i atau iddah wafat?
Isu ini dijawab oleh Imam al-Nawawi (w.676) dalam Minhaj al-Tolibin:
وَإِنْ مَاتَ عَنْ رَجْعِيَّةٍ انْتَقَلَتْ إلَى وَفَاةٍ أَوْ بَائِنٍ فَلَا
Maksudnya: “Jika seorang (bekas suami) itu mati ketika dalam talak raj’ie maka berubah iddah (bekas isteri) itu kepada iddah wafat, atau sekiranya ia talak ba’in maka tidak berubah”
Fakta ini dihurai lagi oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj (8/251): “Maka gugur bilangan berbaki daripada iddah talak lalu wajib wanita itu berihdad (berkabung) dan gugur nafkahnya. Manakala untuk talak ba’in seperti wanita yang nikahnya difasakhkan… maka tidak berubah iddahnya sebaliknya hendaklah wanita itu menyempurnakan iddah talak atau fasakh kerana dia bukan isteri dan tidak wajib baginya untuk berkabung dan bagi nafkah sekiranya dia hamil.”
Imam al-Khatib al-Syirbini (w.977) pula berkata: “(Hukum) berpindah daripada iddah talak kepada iddah wafat secara ijmak seperti mana yang diceritakan oleh Ibn al-Mundzir.”
Rujuk Mughni al-Muhtaj (5/95)
Syeikh Muhammad al-Zuhaili juga menyebut dalam al-Mu’tamad (4/256): “Sekiranya seorang lelaki mentalakkan isterinya dengan talak raj`ie, kemudian lelaki itu mati meninggalkannya, sedangkan wanita itu masih dalam iddah, maka berubahlah iddahnya kepada iddah wafat. Sekiranya dia mengandung, maka maka (iddah) sehingga bersalin. Jika dia tidak mengandung, maka iddahnya bermula semula daripada waktu wafatnya suami secaranya ijmak dan gugur daripada iddah talak. Ini kerana wanita yang ditalak raj’ie masih dianggap dalam hukum isteri (daripada sudut ini). Dan apabila suami itu mati meninggalkannya yakni isterinya maka wajib juga ke atas wanita itu untuk berkabung dan wanita itu tak berhak mendapatkan nafkah. Adapun jika talak ba’in maka tidak berubah kepada iddah wafat kerana wanita itu bukan lagi isterinya maka hendaklah wanita itu menyempurnakan iddah talak, tidak wajib baginya berkabung, dan baginya nafkah sekiranya hamil.”
Berdasarkan hujah di atas difahami bahawa wanita yang ditalak raj`ie masih lagi berlaku ke atasnya sebahagian hukum hakam isteri. Bagaimana pula dengan isu harta peninggalan? Jawapannya, wanita yang berada dalam iddah bagi talak raj’ie berhak untuk mendapatkan bahagian isteri dalam harta pusaka.
Berkata Imam al-Nawawi dalam al-Minhaj: “Sebab-sebab perwarisan itu ada empat; hubungan kerabat, nikah…”
Ini dihuraikan dalam Hasyiyata Qalyubi wa `Umairah (3/173): “Kebiasaannya, masing-masing (yakni suami dan isteri) saling mewarisi antara satu sama lain, sekalipun dalam talak raj’ie”
Berkata pengarang kitab al-Mu`tamad (4/350): “Disyaratkan wujud hubungan pernikahan yang hakiki yakni perempuan itu berada dalam perkahwinan apabila suami itu mati, atau secara hukum seperti perempuan itu ditalak raj’ie kemudian mati suaminya itu semasa dia masih dalam tempoh iddah.”
Berdasarkan fakta di atas, kami menyimpulkan perkara berikut:
- Wanita yang telah ditalak satu oleh suaminya kemudian suami itu mati semasa dalam tempoh iddah, maka berubah iddah itu bermula pada saat kematian kepada iddah wafat yakni empat bulan sepuluh hari. Ini kerana wanita berkenaan masih berlaku ke atasnya sebahagian hukum perkahwinan.
- Wanita itu juga berhak terhadap harta pusaka suaminya yakni satu perempat jika tiada anak, dan satu perlapan sekiranya ada anak.
Semoga pencerahan ini memberikan kefahaman kepada penanya dan pembaca.