Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1074: MENCAPAI KHUSYUK SOLAT KETIKA DI STADIUM

solat di stadium.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya ingin mohon nasihat berkenaan khusyuk dalam solat ketika berada di stadium menonton bola sepak. Semasa melakukan solat di sana, saya dapati sangat sukar untuk mencapai khusyuk ketika melakukan solat khususnya di tempat-tempat seperti itu. Terima kasih.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Allah SWT berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; (2) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;

(Surah al-Mukminun: 1-2)

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: 'Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: " خَاشِعُونَ" (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu' di sini ialah kekhusyukan hati.

Hasan al-Basri pula berkata: "Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka." Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 5/110)

Diriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah ketika Rasulullah SAW mendirikan solat, Baginda sedang memandang ke atas. Maka turunlah ayat ini kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda menundukkan pandangannya ke tempat sujud beliau. (Lihat al-Tafsir al-Munir fi al-'Aqidah wa al-Syari'ah wa al-Manhaj, 9/329)

Menurut al-Baghawi, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan maksud khusyuk dalam firman Allah SWT “الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ” (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Namun, mereka sepakat menyatakan bahawa khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti.

Antara pendapat sahabat dan tokoh berkaitan maksud khusyuk:

  • Ibnu ‘Abbas berkata: Tenang dan merendahkan diri (مخبتون أذلاء)
  • Ali bin Abi Talib R.A berkata: Iaitu tidak menoleh ke kanan dan tidak pula ke kiri.
  • Sa’id bin Jubair berkata: Iaitu (seseorang) tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan kirinya, dia tidak menoleh, kerana sangat khusyuknya (menghadap kepada) Allah ‘Azza wa Jalla.
  • ‘Amr bin Dinar berkata: Iaitu ketenangan dan keindahan keadaan (gerakan).
  • Ibnu Sirin dan yang lainnya berkata: Iaitu engkau tidak mengangkat pandanganmu dari tempat sujudmu.
  • Atha’ berkata: Iaitu engkau tidak bermain-main dengan anggota tubuhmu dalam solat.
  • Al-Hasan (al-Basri) dan Qatadah berkata: (iaitu) orang-orang yang takut (خائفون).
  • Muqatil berkata: (iaitu) orang-orang yang rendah hati (tawadhu’) (متواضعون).
  • Mujahid berkata: iaitu menundukkan pandangan dan merendahkan suara. (غض البصر وخفض الصوت)
  • Ada juga yang menyebut, khusyuk dalam solat adalah: Mengumpulkan konsentrasi (memerhatikan urusan solat) dan berpaling daripada urusan selainnya serta menghayati makna bacaan dan zikir yang diucapkan oleh lisannya” (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 5/408)
  • Syeikh Muhammad Rasyid Ridha berkata: Yang dimaksudkan khusyuk dalam solat iaitu buah iman yang sahih sehingga menolong untuk mengikutnya iman daripada amal. Khusyuk menjadi kesan rasa khasyatullah pada hati sehingga melimpah kepada gerakan anggota, perasaan, maka khusyuk penglihatan dengan tenang dan rasa kerendahan. Sedangkan khusyuk dengan suara melalui kelembutan dan bahasa yang mendayu sebagaimana khusyuk anggota yang lain. (Lihat Tafsir al-Manar, 1/301)

Dalam sebuah hadis daripada riwayat Ammar bin Yasir, beliau solat dua rakaat lalu meringkaskannya. Lantas Abd al-Rahman bin al-Harith berkata kepadanya: Wahai Aba al-Yaqazan, aku melihat engkau meringkaskan kedua-duanya. Beliau lalu menjawab: Telah datang kepadaku was-was dan sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرَّجُلَ لِيُصَلِّي الصَّلاَةَ ، وَلَعَلَّهُ لاَ يَكُونُ لَهُ مِنْهَا إِلاَّ عُشْرُهَا ، أَوْ تُسْعُهَا ، أَوْ ثُمُنُهَا ، أَوْ سُبُعُهَا ، أَوْ سُدْسُهَا حَتَّى أَتَى عَلَى الْعَدَدِ

Maksudnya: Sesunggguhnya seseorang melakukan solat dan boleh jadi tidak tersisa daripadanya (faham dan khusyuk dalam solat) melainkan baki sekadar 1/10 nya atau 1/9 nya atau 1/8 nya atau 1/7 nya atau 1/6 nya sehingga syak sampai kepada bilangan rakaat solat.

Riwayat Ahmad (18398) dan Ibnu Hibban (1889)

Setelah kami bentangkan pendapat ramai tokoh ulama’ silam berkenaan dengan khusyuk dalam solat, makanya isu yang dibangkitkan oleh saudara kami katakan seperti berikut:

Pertama: Kami ucapkan syabas kepada anda, walaupun dalam suasana semangat bola sepak terutamanya ketika berada di stadium dalam memberi sokongan kepada pasukan yang kita minati, tetapi kita tetap tidak melupakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah untuk mengabdikan kepadanya. Semoga sikap yang ditunjukkan oleh saudara menjadi ikutan oleh rakan-rakan kita yang lain. Kami teringat kepada firman Allah SWT:

وَإِذَا كُنتَ فِيهِمْ فَأَقَمْتَ لَهُمُ الصَّلَاةَ

Maksudnya: Dan apabila engkau (wahai Muhammad) berada dalam kalangan mereka (semasa perang), lalu engkau mendirikan sembahyang dengan (menjadi imam) mereka,

Surah al-Nisa’ (102)

Walaupun ayat ini berkenaan dengan solat ketika perang, tetapi antara yang dapat kita fahami sewaktu sukar mana sekalipun, solat tetap diutamakan.

Kedua: Kalau saudara mampu untuk melakukan solat pada awal waktu, maka itu adalah yang terbaik agar tidak berlaku kepada kita perasaan masih lagi berhutang dengan Tuhan kita dalam melaksanakan ibadat solat. Jika ini dapat dilakukan, maka kita termasuk dalam orang yang meraih amalan yang terbaik berdasarkan hadis Nabi SAW:

Daripada Ummu Farwah R.Anha, katanya,

سُئِلَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أَيُّ الأَعْمَالِ أَفْضَلُ ؟ قَالَ : الصَّلاَةُ فِي أَوَّلِ وَقْتِهَا

Maksudnya: Ditanya kepada Rasulullah SAW, apakah amalan yang paling afdhal? Jawab Baginda SAW: Solat di awal waktunya.

Riwayat Abu Daud (426)

Ketiga: Solatlah secara berjemaah seboleh mungkin. Hal ini menyebabkan saudara meraih 27 darjat. Benarlah hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, sabda Rasulullah SAW:

صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً

Maksudnya: Solat secara berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian sebanyak 27 darjat.

Riwayat Muslim (1409)

Alhamdulillah, pada perlawanan akhir Piala Suzuki AFF antara Malaysia dengan Vietnam pada akhir tahun lepas di Stadium Nasional Bukit Jalil, pihak Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah menghantar team untuk mengukur arah kiblat dan mengendalikan solat Maghrib berjemaah. Alhamdulillah sambutannya amat menggalakkan.

Keempat: Ajak rakan-rakan untuk solat bersama. Ini merupakan salah satu dakwah yang terbaik agar masing-masing dan semuanya mendapat keredaan Ilahi dan keberkatan dalam kehidupan. Ia juga merupakan sunnah yang baik yang akan dipahalakan oleh Allah pada akhirat nanti.

Kelima: Cuba memahami dengan sebaik mungkin maksud solat, bacaan dalam solat serta perbuatan yang penuh dengan hikmah dan tujuan seperti yang dibahaskan oleh sebahagian ulama’.

Keenam: Jadikan tokoh-tokoh bola sepak Muslim yang sentiasa memelihara solat. Kami sendiri melihat betapa pemain bola sepak negara yang Muslim begitu komited dan istiqamah dalam melaksanakan ibadat solat. Hal ini, kami sempat dengan mereka ketika hampir kemuncak perlawanan separuh akhir di salah sebuah hotel. Kalau mereka dalam masa dan waktu yang kritikal masih lagi menunaikan kefarduan solat Maghrib, makanya kita sebagai penonton dan penyokong lebih aula untuk melakukan solat fardhu tersebut.

Ketujuh: Kami titipkan di sini nasihat hujjatul Islam, Imam al-Ghazali berkenaan dengan cara meraih khusyuk dalam solat. Beliau menyebut, makna khusyuk ialah:

  • Hudhur al-Qalb (kehadiran hati) iaitu mengosongkan hati daripada selain yang dikerjakan.
  • Tafahum iaitu pemahaman terhadap makna yang diucapkan secara mendalam.
  • Ta’zim iaitu penghormatan disertai kerendahan diri dan takut kepada Allah.
  • Haibah iaitu pengagungan kepada Allah atas kekuatan, kemampuan, dan keperkasaan-Nya.
  • Raja’ (pengharapan) iaitu kesedaran tertinggi kita akan luthf dan kasih sayang Allah yang begitu besar, kedermawanan-Nya serta anugerah anugerah-Nya.
  • Haya’ (rasa malu) iaitu berusaha solatnya sudah diterima atau sudah baik. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 1/161-162)

 

Penutup

Isu khusyuk dalam solat telah kami jawab beberapa kali. Kami kemukakan di sini beberapa link jawapan kami yang dimuatkan dalam laman web kami. Justeru, sekali lagi kami sebutkan:

Kami menutup perbincangan ini dengan sekali lagi mengulangi betapa isu khusyuk ini adalah salah satu daripada yang terpenting dalam kamus kehidupan seseorang Islam. Kami meminjam kenyataan Allamah Syeikh Tahir Ibn ‘Asyur yang berkata: Khusyuk ialah keikhlasan hati dan zahir. Ini adalah ketundukan dan menghindari maksiat. Termasuk juga dalam pengertian khusyuk adalah "Ihsan" iaitu yang dijelaskan oleh "Hadith Jibril", bahawa Ihsan adalah "Engkau menyembah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak (dapat seakan-akan) melihat-Nya, maka (yakinlah) bahawa Dia melihatmu”. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 11/257)

Semoga Allah menjadikan kita hamba yang sentiasa mentaati-Nya dengan sebaik mungkin dan kami akhiri dengan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW kepada sahabatnya, Muaz bin Jabal R.A:

اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: Ya Allah, tolonglah aku untuk zikir kepada-Mu, syukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.

Riwayat Abu Daud (1522)