Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1077: TERLANJUR BERSUMPAH PALSU, APA PERLU DILAKUKAN

sumpah palsu.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa yang perlu saya buat sekiranya pernah satu ketika dulu saya pernah bersumpah palsu di mahkamah syariah sebagai saksi?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Berkenaan persoalan di atas, kami katakan seperti berikut:

Pertama: Hendaklah bertaubat dengan bersungguh-sungguh, memohon agar Allah SWT mengampunkan dosanya.

Bertaubat daripada dosa hukumnya adalah wajib. Imam al-Nawawi menyebut dalam kitab Riyadh al-Salihin: “Para ulama berkata, bertaubat dari setiap dosa hukumnya adalah wajib. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 41)

Allah SWT berfirman:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

(Surah al-Nur: 31)

Allah SWT juga berfirman:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu, kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu;

(Surah Hud: 3)

Ibn Kathir Rahimahullah berkata: Maksudnya, dan aku memerintah kamu untuk memohon keampunan kepada Allah SWT atas dosa-dosa yang telah berlalu serta bertaubat kepada-Nya daripada perbuatan tersebut, dan kamu tetap dan berterusan atas hal yang demikian. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/411)

 

Kedua: Mengembalikan hak manusia yang dia lakukan dosa terhadapnya.

Imam al-Nawawi berkata: Jika maksiat/dosa itu antara hamba dengan Allah SWT – yang tidak ada sangkut pautnya dengan hak manusia – maka syaratnya ada tiga:

  • Menjauhi dan meninggalkan maksiat
  • Menyesal kerana telah melakukan maksiat tersebut.
  • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Jika salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubatnya tidak sah.

Namun, sekiranya maksiat/dosa itu berkaitan dengan hak manusia yang lain, maka syaratnya ada empat. Iaitu ketiga-tiga syarat di atas (dan ditambah satu syarat lagi, iaitu):

  • Hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan. (Lihat Riyadh al-Salihin, hlm. 41-42)

 

Ketiga: Ingatlah, sesungguhnya bersumpah dengan sumpah palsu adalah termasuk dalam dosa besar.

Imam al-Zahabi berkata: “Sumpah palsu (ghamus) adalah sumpah yang dilakukan oleh seseorang yang sengaja berdusta dalam sumpahnya. Disebut ghamus (menjerumuskan) kerana sumpah ini menjerumuskan orang yang bersumpah itu ke dalam dosa. Ada yang menyebut, menjerumuskannya ke dalam api neraka. (Lihat al-Kaba’ir, hlm. 102)

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah disebut: Sumpah palsu adalah haram dan ia termasuk dalam dosa besar tanpa ada perselisihan ulama’. Ini kerana perbuatan tersebut merupakan tindakan yang sangat biadab terhadap Allah SWT. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/286)

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, katanya:

جَاءَ أَعْرَابِيٌّ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا الْكَبَائِرُ قَالَ الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ قَالَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ ثُمَّ عُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ قَالَ ثُمَّ مَاذَا قَالَ الْيَمِينُ الْغَمُوسُ قُلْتُ وَمَا الْيَمِينُ الْغَمُوسُ قَالَ الَّذِي يَقْتَطِعُ مَالَ امْرِئٍ مُسْلِمٍ هُوَ فِيهَا كَاذِبٌ

Maksudnya: Seorang Arab Badwi datang kepada Nabi SAW lalu berkata, “Wahai Rasulullah! Apakah dosa-dosa besar itu?” Baginda SAW menjawab, “Menyekutukan sesuatu dengan Allah.” Dia bertanya lagi, “Kemudian apa?” Baginda SAW menjawab, “Kemudian derhaka kepada kedua ibubapa.” Dia bertanya lagi, “Kemudian apa?” Baginda SAW menjawab, “al-Yamin al-Ghamus (sumpah dusta secara sengaja).” Aku bertanya, “al-Yamin al-Ghamus itu?” Baginda SAW menjawab, “(Sumpah palsu) yang menjadikan dia mengambil harta seorang Muslim”.

Riwayat al-Bukhari (6255)

Manakala dalam hadis daripada Abi Bakrah R.A, beliau berkata: Nabi SAW bersabda:

أَلَا أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الْكَبَائِرِ ثَلَاثًا قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ. قَالَ: الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ وَعُقُوقُ الْوَالِدَيْنِ وَجَلَسَ وَكَانَ مُتَّكِئًا فَقَالَ أَلَا وَقَوْلُ الزُّورِ قَالَ فَمَا زَالَ يُكَرِّرُهَا حَتَّى قُلْنَا لَيْتَهُ سَكَتَ

Maksudnya: “Mahukah aku khabarkan kepada kamu sebesar-besar dosa besar?” Baginda mengucapkannya tiga kali. Para sahabat menjawab, “Ya, wahai Rasulullah.” Baginda bersabda, “Menyekutukan Allah (syirik) dan derhaka kepada kedua ibubapa.” Baginda duduk sebelumnya beliau bersandar, lalu Baginda bersabda lagi, “Ingat, dan juga perkataan palsu,” Perawi berkata, “Baginda terus mengulangi ucapannya, hingga kami berharap Baginda diam.”

Riwayat al-Bukhari (5918) dan Muslim (87)

Melakukan kedustaan atau fitnah atas orang lain, merupakan dosa besar yang diancam dengan ancaman mengerikan.

مَنْ قَالَ فِى مُؤْمِنٍ مَا لَيْسَ فِيهِ أَسْكَنَهُ اللَّهُ رَدْغَةَ الْخَبَالِ حَتَّى يَخْرُجَ مِمَّا قَالَ

Maksudnya: Barangsiapa mengatakan tentang seorang Mukmin sesuatu yang tidak ada padanya, Allah akan menempatkannya di dalam radghah al-khabal (رَدْغَةَ الْخَبَالِ) selama mana dia tidak keluar meninggalkan dosa apa yang dia katakan.

Riwayat Ahmad (5544) dan Abu Daud (3599)
dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (7267)

Imam al-Khattabi menafsirkan “رَدْغَةَ الْخَبَالِ” ialah peluh dan lendir ahli neraka. (Lihat Ma'alim al-Sunan, 4/168)

Al-Tibi pula berkata: (Iaitu) Sehingga apa yang diputuskan oleh al-Qadhi pada hukuman merupakan keadaan kemuncak perbuatan ghibah, maka ia jadilah di dunia. (Lihat 'Aun al-Ma'bud, 10/5)

Kami mengambil kesempatan di sini untuk memberi peringatan kepada diri kami sendiri dan juga kepada rakan-rakan di luar sana untuk menginsafi yang sumpah palsu adalah antara dosa-dosa besar yang wajib kita jauhi.

Semoga Allah sentiasa memberi taufik dan hidayah kepada kita untuk menjadikan diri kita hamba-hamba-Nya yang soleh dan mentaati-Nya. Amin.