Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1083: BAGAIMANA MENGGALAKKAN ANAK-ANAK MUDA KE MASJID

ANAK MUDA KE MASJID.JPG

 

Soalan

Assalamualaikum. Bagaimanakah cara dalam menggalakkan anak-anak muda lebih ramai mendekati masjid berbanding golongan tua dan untuk mengelakkan mereka membuang masa di tempat lain.

 

Jawapan

Alhamdulillah bersyukur kepada Allah SWT dengan kurniaan nikmat Iman dan Islam. Selawat dan Salam ke atas junjungan Nabi Muhammad S.A.W serta keluarga, sahabat-sahabat Baginda, serta seluruh kaum Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian.

 

Takrif

Masjid berasal daripada kata nama (سجد) bermaksud sujud. Manakala makna masjid dari sudut istilah pula ialah bangunan yang dibina untuk menunaikan solat di dalamnya kerana Allah SWT, beribadat kepada-Nya dengan ikhlas. Masjid juga adalah dikhususkan uruf pada tempat yang didirikan solat lima waktu dan tidaklah termasuk musolla tempat berkumpul untuk solat-solat tertentu seperti solat sunat hari raya, istisqa’ dan selainnya. Tidak diberikan hukum masjid baginya seperti mana juga madrasah dan juga ribat. (Lihat I’lam al-Saajid bi Ahkam al-Masaajid, hlm. 28)

Dr. Muhammad al-Zuhaili berkata: Masjid mengikut definisi uat terdahulu adalah sifat yang musytaq untuk tempat sujud dan ibadat serta mempunyai pelbagai nama.

 

Peranan Masjid

Masjid sebagai rumah Allah bukanlah dibina semata-mata untuk ibadat dan solat tetapi merangkumi pelbagai risalah masjid, antaranya:

  • Masjid berperanan sebagai tempat pembinaan ruhiyyah.
  • Masjid berperanan sebagai tempat memarakkan sosial masyarakat.
  • Masjid sebagai tempat pengajaran dan latihan.
  • Masjid sebagai tempat meleraikan kusut kehidupan seperti qadha’ dan lain-lain.
  • Masjid sebagai tempat mengatur sistem politik seperti syura, bai’ah dan membuat resolusi serta keputusan yang besar.

Inilah yang dinyatakan oleh Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam kitabnya yang masyhur. (Lihat Mausu’ah Qadhaya Islamiyyah Mu’asirah, 1/217-219)

 

Kelebihan Mengimarahkan Masjid

Allah SWT berfirman:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah.

(Surah At-Taubah: 18)

Syeikh Al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya “Orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah S.W.T dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda S.A.W dengan hati yang penuh dengan keikhlasan”. (Rujuk Tafsir al-Wasit Li Tantawi: 6/228)

Imam Al-Qurtubi di dalam tafsirnya menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan “sekiranya kamu melihat sesorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya” ini seperti mana hadis Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya

Riwayat Imam At-Tirmizi (1060)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Hadis di dalam sunan Ibnu Majah menceritakan bab kelebihan berjalan untuk melakukan solat. Hadis daripada Anas bin Malik R.A. Sabda Nabi SAW:

بَشِّرْ الْمَشَّائِينَ فِي الظُّلَمِ إِلَى الْمَسَاجِدِ بِالنُّورِ التَّامِّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

MaksudnyaBerilah khabar gembira kepada orang-orang yang berjalan dalam kegelapan menuju ke masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat”.

Riwayat Ibn Majah (781)

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: Ibrahim al-Nakha'ie menyebut: Adalah salafus soleh melihat dan berpendapat bahawa berjalan menuju ke masjid ketika suasana kegelapan malam mewajibkan untuk meraih syurga. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Rajab, 5/24)

 

Masjid dengan Masyarakat Umum

Manfaat masjid kepada masyarakat islam merupakan perkara yang diketahui umum. Nabi S.A.W meminta untuk mengumumkan pernikahan di masjid seperti hadis daripada Saidatina Aisyah R.A. sabda Nabi SAW:

أَعْلِنُوا هَذَا النِّكَاحَ وَاجْعَلُوهُ فِي الْمَسَاجِدِ وَاضْرِبُوا عَلَيْهِ بِالدُّفُوفِ

Maksudnya: Umumkanlah pernikahan ini di Masjid serta (meriahkan) pukullah gendang

Riwayat al-Tirmizi (1089)

Masjid juga merupakan tempat penjagaan harta masyarakat islam. Ini seperti yang dilakukan pada zaman Khulafa Al-Rasyidin Usamah bin Zaid Al-Tanukhi dengan mengasaskan masjid sebagai pusat baitul mal yang bertempat di Fustat Mesir. (Lihat Al-Mawaiz wa Al-iktibar bi Zikri Al-Khatat Wa Athar: 3/153).

Begitu juga dengan urusan kehakiman dan qadi pernah juga dilakukan di masjid seperti pemilihan qadi yang dilakukan oleh Sultan Nuruddin terhadap Qadi Kamal al-Din al-Shahruzuri di masjid Al-Umawi selepas solat Jumaat (Lihat Al-Daris Fi Tarikh Al-Madaris: 2/306).

Menjawab persoalan di atas, kami cadangkan beberapa perkara.

  • Libatkan orang muda dalam Ahli Jawankuasa masjid.
  • Wujudkan aktiviti yang bersifat mesra orang muda sama ada di masjid atau kawasan sekitarnya agar perasaan kasih kepada masjid sentiasa subur.
  • Adakan ceramah khas untuk orang muda yang menjawab isu berkaitan kehidupan yang dialami oleh mereka dan jalan penyelesaiannya. Sebagai contoh, isu cinta mengikut neraca syariat sebenar, isu membina keluarga bahagia, isu melunaskan hutang dengan sebaik mungkin dan lain-lain.
  • Wujudkan bahan bacaan di perpustakaan masjid yang meraikan kehendak orang muda.
  • Adakan majlis makan atau sembang santai dengan orang muda dalam uslub dakwah yang mengharmonikan, bukan meliarkan.
  • Bina beberapa team mengikut minat orang muda seperti chef masakan orang muda, team pengkaji sejarah, team perbincangan pemikiran semasa, team jahitan, team sukan, team motorbike, dan lain-lain lagi.
  • Bina tempat yang serasi dan selesa bagi orang muda seperti coffee corner dan juga terdapatnya wifi yang sentiasa dipandu dan dipimpin ke arah kebaikan.
  • Letakkan di mini perpustakaan majalah-majalah semasa terutamanya berbentuk Islamik atau info, begitu juga dengan buku yang berkaitan kisah-kisah dan penceritaan yang menarik, penuh dengan iktibar serta pengajaran.
  • Wujudkan laman yang mesra masyarakat terutamanya orang muda sebagai sudut terapi yang kemungkinan adanya kolam ikan, sentiasa rapi dan bersih sifatnya, sedap mata memandang.
  • Beri insentif kepada orang muda yang melazimi masjid dan aktif dalam kemasyarakatan di bawah anjuran masjid.

 

Kesimpulan

Masjid merupakan institusi penting dalam membangunkan masyarakat. Peranan masjid merupakan agen untuk menyatukan masyarakat dan membantu menyelesaikan urusan masyarakat.

Ahli jawatankuasa masjid seharusnya memainkan peranan untuk menarik minat para pemuda dan memahami apa yang diminati mereka. Antaranya dengan memperbanyakkan aktiviti yang diminati mereka seperti menganjurkan aktiviti bersukan dan riadah.

Selain itu pihak masjid juga boleh menyediakan infrastruktur yang menjadi keperluan umat islam dan juga anak-anak muda seperti kemudahan teknologi, pusat kemudahan riadah dan pusat pendidikan bagi menarik minat masyarakat untuk menghadiri dan mengimarah kan masjid. Begitu juga dengan menjadikan masjid sebagai hub kemasyaratan untuk rujukan dan khidmat kepada masyarakat dengan mengadakan kursus pra-perkahwinan dan kelas tambahan secara percuma.

Akhir kalam, kami katakan bahawa menjinakkan anak-anak muda dan menarik mereka ke masjid boleh menjadikan jiwa mereka terisi, akhlak mereka diunggulkannya serta kehidupan mereka lebih bermakna untuk menjadi orang dewasa yang benar-benar mampu menggalas tugas sebagai hamba Allah yang soleh dan pada masa akan datang sebagai pemimpin negara, negeri serta masyarakat. Inilah syabab yang kita dambakan.