Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apakah hukum meminjamkan kereta kepada orang lain, ketika pemilik kereta itu sedang mengerjakan umrah dan tanpa meminta izin pemilik kereta itu terlebih dahulu?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Kami mulakan dengan takrif pinjam atau ‘ariyah. Istilah ini boleh dibaca dengan ‘ariyah (عارية) dan ‘ariyyah (عاريّة). Tetapi bacaan dengan ‘ariyyah (عاريّة) adalah lebih fasih. Istilah ‘ariyyah (عاريّة) menurut bahasa, bermaksud sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada seseorang yang lain untuk digunakan dan kemudian dikemballikan semula kepadanya. Istilah ini juga digunakan bagi kontrak-kontrak lain yang termasuk dalam pengertian ini. ‘Ariyyah (عاريّة) merupakan kata terbitan daripada ta’awur (تعاور) yang bermaksud pengedaran dan perpindahan sesuatu daripada seseorang kepada seseorang yang lain.
Menurut istilah syara’, pinjaman ‘ariyyah (عاريّة) ialah membenarkan penggunaan sesuatu yang halal digunakan dengan mengekalkan keadaan asal. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/363)
Hukum meminjamkan kereta orang lain kepada orang lain adalah tidak dibolehkan apabila tiada sebarang keizinan dari tuan asalnya. Contohnya kereta adalah pemilik Ahmad. Kemudian, Abu mengambil kereta itu dengan niat meminjam tanpa mendapat keizinan Ahmad. Maka hukumnya adalah haram. Begitu juga, jika Abu mengambil kereta tersebut dan meminjamkan pula kepada Ali, maka berlaku dua kali kesalahan kerana pinjam atas pinjam tanpa kerelaan dan keredaan tuan asal kereta iaitu Ahmad dalam kes ini.
Kami nukilkan pendapat guru kami: Kontrak pinjaman bererti memberi kebenaran untuk menggunakan sesuatu. Dengan ini, peminjam tidak memiliki perkhidmatan barangan tersebut. Sebaliknya, dia hanya dibenarkan untuk menggunakan barangan yang dipinjam sahaja. Perkara ini akan dibincangkan nanti. Ini juga bermakna, peminjam tidak berhak menyewakannya kepada sesiapa. Dia juga tidak dibenarkan meminjamkannya kepada orang lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/363)
Kami tidak nafikan budaya memberi pinjam adalah termasuk dalam adab bermasyarakat dan bersosial yang baik. Tetapi mestilah dengan penuh kerelaan dan keperluan serta menjaga hak masing-masing dengan sebaik-baiknya. Al-Quran sendiri begitu tegas menganggap mereka yang kedekut sehingga tidak memberi pinjam barang-barang keperluan yang mendesak termasuk dalam golongan yang mendustakan agama seperti terakam dalam Surah al-Ma’un. Firman Allah SWT:
وَيَمْنَعُونَ الْمَاعُونَ
Maksudnya: Dan orang-orang yang tidak memberi sedikit pertolongan (kepada orang yang berhak mendapatnya).
Surah al-Ma’un (7)
Ibn Jarir al-Tabari berkata: Mereka menegah orang ramai untuk mendapat manfaat yang kecil-kecil dan sedikit dari sesama mereka seperti meminta pinjaman jarum, kapak, periuk, garam dan air serta lainnya.
Mujahid berkata, “الْمَاعُونَ” adalah mereka yang menegah pinjaman barang-barang yang menjadi alatan yang boleh bertukar antara manusia seperti kapak, timba dan bekas. (Lihat Tafsir al-Tabari, 30/209)
Syeikh al-Maraghi menukilkan pendapat gurunya, Ustaz Imam Muhammad Abduh antara lain berkata: Ciri-ciri khusus yang dimiliki oleh orang yang membenarkan agama yang membezakannya dengan pendusta agama ialah bersikap adil, belas kasih dan mendatangkan kebajikan kepada orang lain. Manakala ciri-ciri khusus pendusta agama yang membezakan dengan orang yang membenarkan agama ialah meremehkan hak orang lemah, tidak mengambil berat terhadap orang yang memerlukan bantuan, berbangga dan cintakan harta, bermegah-megah dengan kekuatan, dan tidak melakukan kebajikan kepada orang yang berhak dibantu olehnya. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 15/7718)
Semoga Allah menjadikan kita semua golongan yang suka tolong-menolong atas kebajikan dan ketakwaan sebagaimana saranan Allah dalam nas-Nya. Amin.