Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1128: MENGGABUNGKAN DUA SURAH DALAM SATU RAKAAT

dua surah.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Bolehkah bacaan surah dalam solat dibaca dengan menggabungkan dua surah dalam satu rakaat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: Tidak mengapa menggabungkan dua surah dalam satu rakaat. Daripada Abdullah bin Mas’ud R.A, katanya:

لَقَدْ عَرَفْتُ النَّظَائِرَ الَّتِي كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرُنُ بَيْنَهُنَّ ، فَذَكَرَ عِشْرِينَ سُورَةً مِنْ الْمُفَصَّلِ سُورَتَيْنِ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ

Maksudnya: Aku telah mengetahui surah-surah yang pernah Rasulullah SAW menggabungkannya. Dia menyebut 20 surah dari surah-surah al-Mufassal, setiap dua surah dalam satu rakaat.

Riwayat al-Bukhari (822) dan Muslim (742)

Kami telah kemukakan dari ramai ulama salafus soleh yang melakukan pembacaan al-Quran dengan khatam dalam satu rakaat. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran (terjemahan), hlm. 99)

Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Ucapan Imam al-Bukhari pada “Bab Menghimpunkan Dua Surah pada Satu Rakaat serta Bacaan dengan al-Khawatim (Akhir Surah) dan Surah Sebelum Surah.” Bab ini mengandungi empat masalah. Pertamanya, menghimpunkan antara dua surah, maka hukumnya zahir keharusan berdasarkan kepada hadis Ibn Mas'ud dan juga hadis Anas. (Lihat Fath al-Bari, 2/255)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha menyebut:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بَعَثَ رَجُلاً عَلَى سَرِيَّةٍ ، وَكَانَ يَقْرَأُ لأَصْحَابِهِ فِى صَلاَتِهِمْ فَيَخْتِمُ بِ (قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ) فَلَمَّا رَجَعُوا ذُكِرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- فَقَالَ « سَلُوهُ لأَىِّ شَىْءٍ يَصْنَعُ ذَلِكَ ». فَسَأَلُوهُ فَقَالَ لأَنَّهَا صِفَةُ الرَّحْمَنِ فَأَنَا أُحِبُّ أَنْ أَقْرَأَ بِهَا. فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم : أَخْبِرُوهُ أَنَّ اللَّهَ يُحِبُّهُ

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah SAW telah mengutuskan seorang lelaki sebagai pemimpin kepada satu pasukan tentera. Dalam mengerjakan solat berjemaah, beliau (menjadi imam dan) selalu membacakan al-Quran lalu mengakhirinya dengan bacaan surah al-Ikhlas. Apabila mereka kembali, perkara tersebut telah dilaporkan kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda SAW bersabda: “Mintalah penjelasan daripadanya kenapa beliau berbuat demikian?” Mereka pun bertanya kepada Sahabat berkenaan lalu beliau menjawab: “Kerana surah tersebut (mengandungi penjelasan berkenaan) sifat Allah, sebab itulah saya suka untuk sentiasa membacanya.” Lantas Rasulullah SAW pun bersabda: “Beritahukanlah kepada beliau bahawa Allah mengasihinya.”

Riwayat al-Bukhari (7375) dan Muslim (1926)

Ibn Battal berkata: Di sini menjadi hujah bagi sesiapa yang mengharuskan mengulangi bacaan surah pada satu rakaat dalam sembahyang sunat. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 2/392)

Daripada ‘Alqamah dan al-Aswad, mereka berdua berkata:

أَتَى ابْنَ مَسْعُودٍ رَجُلٌ ، فَقَالَ : إِنِّي أَقْرَأُ الْمُفَصَّلَ فِي رَكْعَةٍ ، فَقَالَ : أَهَذًّا كَهَذِّ الشِّعْرِ ، وَنَثْرًا كَنَثْرِ الدَّقَلِ ، لَكِنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَقْرَأُ النَّظَائِرَ السُّورَتَيْنِ فِي رَكْعَةٍ ، الرَّحْمَنَ وَالنَّجْمَ فِي رَكْعَةٍ ، وَاقْتَرَبَتْ وَالْحَاقَّةَ فِي رَكْعَةٍ ، وَالطُّورَ وَالذَّارِيَاتِ فِي رَكْعَةٍ ، وَإِذَا وَقَعَتْ ، وَنُونَ فِي رَكْعَةٍ ، وَسَأَلَ سَائِلٌ وَالنَّازِعَاتِ فِي رَكْعَةٍ ، وَوَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ وَعَبَسَ فِي رَكْعَةٍ ، وَالْمُدَّثِّرَ وَالْمُزَّمِّلَ فِي رَكْعَةٍ ، وَهَلْ أَتَى وَلاَ أُقْسِمُ بِيَوْمِ الْقِيَامَةِ فِي رَكْعَةٍ ، وَعَمَّ يَتَسَاءَلُونَ وَالْمُرْسَلاَتِ فِي رَكْعَةٍ ، وَالدُّخَانَ وَإِذَا الشَّمْسُ كُوِّرَتْ فِي رَكْعَةٍ

Maksudnya: Telah datang seorang lelaki menemui Ibn Mas’ud seraya berkata: Sesungguhnya aku membaca surah Mufassal pada satu rakaat, maka lantas jawab Ibn Mas’ud: Adakah bacaannya cepat seperti cepatnya sya’ir,seperti kurma kering yang rosak jatuh. Akan tetapi Nabi SAW membaca dua surah yang hampir sama panjangnya, surah al-Najm dan al-Rahman dalam satu rakaat, al-Qamar dan al-Haqqah dalam satu rakaat, al-Tur dan al-Zariyat dalam satu rakaat, al-Waqi’ah dan al-Qalam dalam satu rakaat, al-Ma’arij dan al-Nazi’at dalam satu rakaat, al-Mutaffifin dan ‘Abasa dalam satu rakaat, al-Muddathir dan al-Muzzammil dalam satu rakaat, al-Insan dan al-Qiyamah dalam satu rakaat, al-Naba’ dan al-Mursalat dalam satu rakaat, al-Dukhan dan al- Takwir dalam satu rakaat.

Riwayat Abu Daud (1396)

Hadis ini dengan jelas menunjukkan bahawa Baginda Nabi SAW pernah melakukannya.

  

Kesimpulan

Berdasarkan kepada nas-nas di atas, maka dibolehkan untuk imam membaca dua surah selepas al-Fatihah dalam rakaat yang sama. Walaupun begitu, kebiasaannya Rasulullah SAW membaca satu surah pada setiap rakaat selepas al-Fatihah. Justeru, kebolehan untuk melakukan dua surah bukanlah semestinya menjadi kelaziman sentiasa. Lebih-lebih lagi ketika imam solat bersama dengan jemaah yang ramai, yang memerlukan sifat meraikan ahli jemaah sementelahan ada yang uzur, tua dan kurang sihat serta mereka yang ada hajat.

Semoga pencerahan yang ringkas ini memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan agama kita seterusnya dapat menghayati dan mengamalinya dengan sebaik mungkin.