Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1141: HUKUM BELAJAR TASAWWUF TANPA FIQH

tasawwuf fiqh.JPG

Soalan:

Apakah hukum mempelajari ilmu tasawwuf tanpa ilmu fiqh, dengan alasan ilmu tasawwuf lebih penting kerana ia berkait dengan ilmu hakikat, manakala ilmu fiqh hanya melibatkan perkara-perkara zahir?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Definisi tasawwuf

Kami mulakan dengan definisi tasawwuf. Sepertimana yang biasa kami nyatakan, terdapat banyak takrifan, tetapi di sini cukuplah kami nyatakan dua takrif tasawwuf:

  • Al-Kalabazi berkata: Ahli tasawwuf (adalah) pada saf yang pertama (dalam) perjalanan menuju kepada Allah merangkumi jernih dalamannya, bersih hatinya, bercahaya dadanya, dan begitu akrab dengan Allah. (Lihat al-Ta’arruf li Mazhab Ahli al-Tasawwuf, hal. 28-29)
  • Imam Junaid al-Baghdadi berkata: “Tasawuf adalah membersihkan hati dari yang selain Allah, berjuang memadamkan semua ajakan yang berasal dari hawa nafsu, mementingkan kehidupan yang lebih kekal, menyebarkan nasihat kepada umat manusia, dan mengikuti contoh Rasulullah SAW dalam segala hal.”

Ruang lingkup pendekatan tasawwuf yang dianggap lengkap dan sempurna ialah pendekatan tasawwuf yang dilakukan oleh al-Imam al-Ghazali yang menyatukan keperluan pendekatan akidah, syariat dan akhlak di dalam pendekatan tasawufnya sebagaimana terbina di dalam karangan beliau yang bertajuk Ihya’ Ulum al-Din.

Imam al-Ghazali berkata: “Hukum mempelajari ilmu tasawwuf ialah fardhu ain kerana manusia tidak sunyi daripada aib atau sakit kecuali para anbiya’.” Syeikh al-Syazili berkata: Siapa yang tidak menceburi ilmu kita ini, nescaya dia mati dalam dosa besar yang tidak disedarinya.” Syeikh Dahlan al-Kadiri di dalam kitabnya Siraj al-Talibin menyatakan bahawa hukum belajar tasawuf ialah wajib aini pada setiap orang mukallaf. Hal ini kerana sebagaimana wajib islah yang zahir, begitu juga islah yang batin.

 

Sinergi Tasawwuf dan Fiqh

Diriwayatkan bahawa Imam Malik bin Anas pernah berkata: Barangsiapa yang mempelajari ilmu fiqh tanpa tasawwuf, maka dia telah fasiq. Barangsiapa mempelajari ilmu tasawwuf tanpa ilmu fiqh, maka dia telah menjadi zindiq. Manakala barangsiapa yang menghimpunkan kedua-dua ilmu tersebut, maka itulah sebaik-baik dan sesempurna perkara. (Rujuk Hasyiyah al-‘Adawi ‘ala Syarh al-Zarqani 3/195, Mirqat al-Mafatih 1/478 dan Al-Futuhat al-Rahmaniyyah fi Halli Alfaz al-Hikam al-‘Atha’iyyah, hal. 42)

Diriwayatkan bahawa Abu Bakar al-Warraq pernah berkata: Sesiapa yang berpada dengan ilmu kalam tanpa sifat zuhud (ilmu tasawwuf), dia menjadi zindiq. Siapa yang berpada dengan sikap zuhud tanpa mempelajari ilmu kalam dan fiqh, dia telah berbuat bid’ah. Manakala barangsiapa yang berpada dengan fiqh tanpa sikap zuhud dan wara’, dia telah fasiq. Manakala sesiapa yang menguasai kesemua ilmu ini, dia mencapai martabat mukhlis. (Rujuk Hilyah al-Awliyaa’ 10/236)

Sidi Ahmad Zarruq pula telah menetapkan satu kaedah penting dalam ilmu tasawwuf iaitu: Tiada tasawwuf tanpa fiqh, kerana dengan ilmu fiqh dapat diketahui hukum-hakam Allah SWT yang zahir. Begitu juga tiada ilmu fiqh tanpa tasawwuf, kerana amal soleh hanya diperoleh dengan keikhlasan dan keimanan hakiki kepada Allah SWT. Oleh kerana itu, kedua-dua tasawwuf dan fiqh perlu disepadukan, sebagaimana perlunya disepadukan ruh dengan jasad. Nisbah ilmu tasawwuf kepada agama ibarat ruh kepada jasad. (Rujuk Qawa’id al-Tasawwuf, hal. 22)

Syeikh Abdul Halim Mahmud menyebut dalam mukadimah Syarah Hikam Syeikh Zarruq, antara noktah penting yang perlu diberi penekanan dalam ilmu tasawwuf dan fiqh”

  • Hakikat tasawwuf kembali kepada sidq al-tawajjuh kepada Allah iaitu redha dengan apa yang diredhai-Nya. Paksi utama tasawwuf juga berkisar kepada permasalahan hati yang berubah-ubah kerana Allah yang Esa.
  • Melihat tasawwuf sebagai roh agama, sedangkan fiqah ialah jasadnya yang tidak mungkin hidup kecuali dengannya tasawwuf.
  • Ahli fiqah mengkaji dari segi zahir perlakuan, sedangkan ahli tasawwuf mengamatinya dari sudut pengesahan iman dan niatnya.
  • Pengamatan ahli sufi lebih khusus daripada pengamatan faqih dan ahli usuluddin. Justeru ahli fiqh dan ahli usuluddin tidak semestinya menjadi ahli sufi. Sebaliknya ahli sufi wajib menjadi ahli fiqah dan usuluddin. Ahli fiqh yang sufi lebih baik daripada ahli sufi yang faqih.
  • Fiqh merupakan syarat bagi sah tasawwuf. Justeru fiqh didahulukan daripadanya tetapi beramal bukanlah syarat sah amalan tetapi untuk kesempurnaan. (Lihat buku kami bertajuk Soal Jawab A-Z tentang Tasawwuf, hlm. 28)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kita dapati para ulama fiqh dan tasawwuf yang mu’tabar jelas memberi penekanan yang serius terhadap ilmu tasawwuf dan fiqh, serta kepentingan sinergi antara keduanya. Kepentingan ilmu tasawwuf kepada kita diumpamakan seperti kepentingan ruh kepada jasad, di mana tasawwuf akan menjadikan kita ikhlas dan menambah kualiti ibadah-ibadah zahir yang kita lakukan. Inilah maqam al-Ihsan sepertimana yang disebut dalam hadith:

الإِحْسَانُ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ، فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ

Maksudnya: Al-Ihsan ialah kamu menyembah Allah SWT seolah-olah kamu melihat-Nya, dan jika kamu tidak mampu mencapainya, maka (ketahuilah bahawa) sesungguhnya Dia melihatmu.

Sahih al-Bukhari (4777)

Ilmu fiqh juga tidak boleh dikesampingkan kerana melalui ilmu fiqh dapat diketahui hukum-hakam yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

Kami juga ada menulis beberapa artikel berkenaan hakikat ilmu tasawwuf, salah faham terhadap ilmu tasawwuf dan galakan mempelajarinya., antaranya:

Wallahu a’lam.