Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1156: SUNATKAH MENGHADAP KIBLAT KETIKA BACA AL-QURAN

sunat quran kiblat.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, benarkah sunat kita menghadap kiblat ketika membaca al-Quran?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Imam al-Nawawi dalam al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran, ketika mengulas berkenaan adab-adab semasa membaca al-Quran menyebut: Digalakkan bagi pembaca al-Quran di luar solat untuk menghadap kiblat. Hal ini telah banyak disebut dalam beberapa hadis, antaranya daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ الْمَجَالِسِ مَا اسْتُقْبِلَ بِهِ الْقِبْلَةَ

Maksudnya: “Sebaik-baik majlis adalah yang menghadap kiblat.”

Al-Tabari meriwayatkan dalam Tahzib al-Athar (1/235)

Hendaklah seseorang duduk dengan khusyuk dan tenang sambil menundukkan kepalanya dan duduk dengan adab yang baik dan tunduk seperti duduknya di hadapan gurunya, inilah yang paling sempurna.

Diharuskan baginya membaca bagi berdiri atau berbaring atau di tempat tidurnya atau dalam keadaan lainnya dan dia mendapat pahala, akan tetapi nilainya kurang daripada yang pertama. (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalatil Quran, hlm. 60)

Antara hadis lain adalah, daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

أَكْرَمُ الْمَجَالِسِ مَا اسْتُقْبِلَ بِهِ الْقِبْلَةُ

Maksudnya: Semulia-mulia majlis adalah yang menghadap kiblat.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (8361). Disebut oleh
al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa’id (17/124).

Dalam riwayat lain daripada Abu Hurairah R.A, secara marfu’:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ سَيِّدًا، وَإِنَّ سَيِّدَ الْمَجَالِسِ قُبَالَةَ الْقِبْلَةِ

Maksudnya: “Segala sesuatu itu ada pemimpinnya, dan pemimpin majlis adalah yang menghadap kiblat.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2375)

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ شَرَفًا وَإِنَّ أَشْرَفَ الْمَجَالِسِ مَا اسْتُقْبِلَ بِهِ الْقِبْلَةَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bagi setiap sesuatu ada kemuliaannya, dan semulia-mulia majlis adalah yang menghadap kiblat.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (7706)

Imam al-Munawi berkata: Hadis ini mengisyaratkan bahawa setiap gerakan mahupun diamnya hamba mengikuti aturan perhambaan kepada Allah, berdasarkan niatnya. Sama ada ketika sedar atau tidur, ketika duduk atau berdiri, ketika minum atau makan, keadaannya menjadi bernilai disebabkan hal tersebut. Oleh itu itu, dia memilih arah kiblat dalam majlisnya, dia tidak banyak bermain-main, sehingga dianjurkan untuk menjaga agar selalu menghadap ke arah kiblat. (Lihat Faidh al-Qadir, 2/512)

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah (4/76) menyebut: Para fuqaha’ telah mentaqrirkan bahawa arah kiblat ialah semulia-mulia arah. Justeru disunatkan memelihara ke arahnya ketika duduk. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW:

إِنَّ سَيِّدَ الْمَجَالِسِ قُبَالَةَ الْقِبْلَةِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pemimpin majlis adalah yang menghadap kiblat.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (2375)

Justeru, walaupun perkara ini sunat, sayugia dilakukan sebagai mengikut arahan Nabi SAW agar kita menghadap kiblat kerana ia semulia-mulia arah.

Semoga Allah mengurniakan kepada kita kefahaman dalam agama untuk beramal dengannya. Amin.