Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1157: ILMU TIDAK DIPEROLEHI DENGAN KEREHATAN TUBUH BADAN

ilmu rehat badan.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti, saya ada dengar ungkapan bahawa ilmu itu tidak dapat dicapai dengan tubuh badan yang banyak rehat. Apakah maksud ungkapan tersebut?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Ungkapan tersebut adalah merupakan kata-kata seorang ulama’ tabi’in, Abu Nasr Yahya bin Abi Kathir al-Yamani yang menyebut:

لَا يُسْتَطَاعُ الْعِلْمُ بِرَاحَةِ الْجِسْمِ

Maksudnya: Seseorang itu tidak mampu menguasai ilmu dengan kerehatan tubuh badan. (Lihat Sahih Muslim, 2/105)

Menariknya, Imam Muslim – penyusun Sahih Muslim – telah memasukkan kata-kata hikmah ini bersama-sama hadis Abi Mas’ud al-Badri, Saidatina Aisyah dan Abdullah bin al-Amr R.A berkaitan mawaqit al-solah (waktu-waktu solat) yang lima.

Persoalannya, mengapa Imam Muslim memasukkan kenyataan ini dalam Sahihnya?

Al-Qadhi ‘Iyyadh dalam kitabnya, Ikmal al-Mu’lim berkata, ramai yang bertanya berkenaan perkara ini sedangkan riwayat ini bukanlah hadis Nabi SAW. Beliau menceritakan bahawa sebahagian ulama menjawab, sesungguhnya Imam Muslim begitu kagum dengan jalur-jalur periwayatan hadis-hadis waktu solat sehingga beliau menyebut dalam kitabnya. Antara tujuan beliau memasukkannya ialah untuk menunjukkan prihatin tentang hal ini, betapa dalam menuntut ilmu tidak akan dapat diperolehi kecuali dengan masyaqqah dan penat, yang amat jelas dan nyata.

Lihatlah bagaimana Imam Muslim sendiri terpaksa bermusafir daripada Afghanistan ke Naisabur, kemudian ke Kufah, ke Baghdad, ke Raqqah, ke Basrah, ke Mesir dan melintasi negeri-negeri yang terperosok, yang membawa bersama wabak penyakit dalam musafir dan kelana. Inilah yang membawa Imam Muslim memasukkan mutiara hikmah ini dalam Sahihnya. (Lihat Ikmal al-Mu’lim bi Fawa’id Muslim, 2/577. Lihat juga Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 5/89)

Imam al-Suyuti turut menyebutnya dalam al-Dibaj ‘ala Muslim dan beliau berkata: Ibn ‘Adiy telah meriwayatkannya dalam al-Kamil dengan penambahan. Dan lafaznya, daripada Yahya bin Abi Kathir, dikatakan:

مِيرَاثُ الْعِلْمِ خَيْرٌ مِنْ مِيرَاثِ الذَّهَبِ ، وَالنَّفْسُ الصَّالِحَةُ خَيْرٌ مِنَ اللُّؤْلُؤِ ، وَلا يُسْتَطَاعُ الْعِلْمُ بِرَاحَةِ الجَسَدِ

Maksudnya: Warisan ilmu itu lebih baik daripada warisan emas, jiwa yang solehah lebih baik daripada permata lu’lu’, dan tidaklah mampu diperolehi ilmu dengan kerehatan tubuh badan. (Lihat al-Dibaj ‘ala Muslim, 2/266; al-Kamil oleh Ibn ‘Adiy, 4/215 dan Hilyah al-Auliya’, 3/66)

Kami tutup perbincangan ini dengan mengambil nas Nabawi yang mengajar kita untuk berdoa dalam mendapatkan ilmu bermanfaat:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.

Riwayat Ibn Majah (925)

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kegigihan, kesungguhan dan kesabaran dalam menekuni ilmu seterusnya berkhidmat menyebarkannya kepada segenap lapisan masyarakat. Amin.