Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh ceritakan bagaimana kisah peperangan Taif dan bagaimana pengepungan yang dilakukan oleh Rasulullah SAW dan tentera Islam terhadap kota Taif?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Peperangan Taif berlaku selepas daripada Peperangan Hunain atau juga dikenali dengan Peperangan Hawazin. Ia berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 Hijrah yang berpunca dari sebahagian tentera Hawazin melarikan diri ke Taif bersama pemimpin mereka iaitu Malik bin Auf al-Nasri. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/346) Selepas kekalahan mereka di Hunain, mereka terpaksa mencari tempat perlindungan dengan membina kubu pertahanan di kawasan Kota Taif. (Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 3/83)
Peperangan ini dimulakan dengan penghantaran satu pasukan peninjau dibawah pimpinan Khalid bin al-Walid. Beliau berangkat ke sana terlebih dahulu dengan seribu tentera. Kemudian Rasulullah SAW menyusul ke Taif dan berhenti di sebuah tempat tidak jauh dari benteng Taif dan mendirikan sebuah khemah di sana. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 615)
Dalam melancarkan serangan-serangan bagi melemahkan tentera Hawazin, beberapa peralatan baru telah digunakan dalam peperangan ini seperti al-Manjaniq dan al-Dhababah. (Lihat Ghazawat al-Rasul SAW Durus wa ‘Ibar wa Fawa’id oleh al-Salabi, hlm. 294)
Lastik gergasi yang dipasang ke arah benteng Taif dan peluru-peluru batu yang dilontarkan berhasil meruntuhkan sebahagian dinding benteng. Lantas beberapa orang tentera Islam meluru masuk ke dalam benteng melalui dinding yang berlubang itu, dan kemudian masuk ke arah pagar benteng untuk membakarnya. Namun pihak musuh terus melontar besi panas yang telah dibakar serta serangan anak panah ke arah tentera-tentera Islam mengakibatkan sebahagian daripada mereka terkorban.
Pengepungan benteng Taif oleh tentera Islam terus berlarutan dalam tempoh yang lama disebabkan kesukaran untuk meruntuhkan benteng pertahanan. Semakin hari semakin ramai tentera Islam cedera bahkan ada yang syahid kerana terkena hujanan anak panah dan tembakan peluru-peluru besi. Pihak musuh sememangnya telah lama bersedia menyiapkan bekal untuk bertahan di dalam benteng selama setahun. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 615)
Para sejarawan berbeza pendapat berkenaan tempoh pengepungan ke atas Taif. Menurut Ibnu Hisyam, pengepungan tersebut mengambil masa selama 20 malam. (Lihat al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 4/121) Sebahagian pengkaji lain menyebut bahawa 18 hari dan ada juga pendapat yang mengatakan selama 15 hari. (Lihat Fath al-Bari, 8/45)
Rasulullah SAW kemudiannya meminta pendapat Naufal ibn Muawiyyah al-Daily. Naufal berkata: “Mereka adalah musang di dalam lubang. Jika engkau tetap mengepung mereka, maka mereka tetap akan bertahan. Namun, jika engkau tinggalkan mereka, maka mereka tidak akan berbahaya.” Baginda akhirnya memutuskan untuk menghentikan pengepungan dan beredar dari tempat tersebut. Baginda memerintahkan Umar bin al-Khattab untuk mengumumkannya kepada tentera Islam. Mereka keberatan terhadap rancangan ini. Mereka berkata, “Kenapa kita perlu pergi begitu sahaja dan tidak menaklukinya.” Rasulullah SAW pun berkata, “Jika begitu, serbulah mereka.” Lalu mereka pun menyerbu benteng, namun ramai pahlawan Islam tercedera dan luka. Oleh itu Rasulullah SAW berkata, “Kita akan pergi esok, insya Allah.” Mereka patuh dengan perintah yang diberikan oleh Rasulullah SAW. Melihatkan hal ini, Baginda hanya tersenyum. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 617. Lihat juga Sahih Muslim, hadis nombor 4720)
Setelah mereka bergerak, Rasulullah SAW bersabda, “Ucapkanlah: ‘kami pasrah, bertaubat, menyembah dan memuji hanya kepada Rabb kami.” Ketika itu ada yang meminta, “Wahai Rasulullah SAW, berdoalah kecelakaan bagi Bani Thaqif.” Baginda lalu berdoa, “Ya Allah, berikanlah petunjuk kepada Bani Thaqif!” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 617)
Semoga kisah ini boleh membawa banyak iktibar kepada umat Islam ketika menghadapi musuh dengan sentiasa bergantung kepada Allah, Rabb al-‘Alamin.