Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Saya bekerja sebagai tentera laut. Setiap bulan, saya akan belayar ke laut untuk urusan kerja. Kebetulan waktu belayar hari Jumaat. Adakah saya boleh menunaikan solat Jumaat di atas kapal?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Terima kasih atas persoalan ini. Kami cuba memahami isu anda dan mereka yang bekerja seperti anda. Antaranya yang menjadi kelasi kapal sehingga berbulan-bulan di samudera tanpa melihat tanah dan daratan. Isu seperti ini amat wajar dibincang dengan tuntas dalam Majlis Fatwa kerana syarat asal Jumaat sudah tidak dipenuhi oleh mereka yang berada di lautan atau di atas kapal. Ini kerana, istilah mastautin dan mukim hanya berlaku di daratan, bukan di lautan. Walaupun begitu, terdapat kapal yang besar seolah-olah menjadi seperti sebuah pulau dan ada yang boleh memuatkan ribuan penumpang dengan pelbagai kemudahan termasuk dapur, kolam renang, dewan, kedai makan, surau dan lain-lain.
Dengan melihat syarat Jumaat seperti yang terkandung dalam kitab Feqah antaranya al-Fiqh al-Manhaji (1/498-499) yang menyebut:
Hendaklah bermukim di tempat solat jumaat didirikan. Solat Jumaat tidak wajib atas orang musafir dengan syarat perjalanan itu harus walaupun dekat. Seseorang yang musafir itu disyaratkan memulakan perjalanannya sebelum terbit fajar pada hari Jumaat dan dia tidak terdengar azan subuh di tempatnya.
Solat Jumaat juga tidak wajib atas orang yang bermastautin di tempat yang tidak sah didirikan solat Jumaat seperti di kampung yang bilangannya kurang daripada 40 orang yang bermastautin dan tidak mempunyai sebarang keuzuran.
Disyaratkan juga tidak terdengar suara azan daripada masjid qaryah sebelahnya yang mendirikan solat Jumaat.
Semua syarat ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:
الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِى جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِىٌّ أَوْ مَرِيضٌ
Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap orang Islam secara berjemaah melainkan kepada 4 golongan iaitu hamba yang dimiliki, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit.”
Riwayat Abu Daud (1067)
Hadith seterusnya, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ فَعَلَيْهِ الْجُمُعَةُ إِلاَّ امْرَأَة أَوْ مُسَافِرا أَوِ عَبْدا أَوْ مَرِيضا
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari Akhirat maka wajib atasnya mendirikan solat Jumaat kecuali dia seorang perempuan, musafir, hamba dan orang sakit.”
Riwayat al-Daraqutni (2/3) dan yang lainnya
Hadith yang lain pula:
الْجُمُعَةُ عَلَى كُلِّ مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ
Maksudnya: “Solat Jumaat wajib atas setiap orang yang mendengar seruan azan.”
Riwayat Abu Daud (1056)
Justeru, tidak boleh dilakukan Jumaat di atas kapal walaupun jumlah mereka melebihi 40 orang. Kami cadangkan agar dilakukan solat Zohor sama ada tamam atau qasar atau jamak dengan Asar selama mana dinamakan musafir. Kami juga cadangkan, mungkin pada setiap hari Jumaat, diadakan sesi tazkirah sebelum solat Zohor untuk mengambil manfaat dan faedah, ilmu dan pengajaran sebelum solat Zohor berjemaah dilaksanakan.
Soalan seperti ini, kami syorkan juga untuk diangkat ke Majlis Fatwa agar dikaji dengan lebih mendalam apabila mengetahui sifat kemusafiran laut dalam tempoh masa yang lama; apakah ia seperti berada di sebuah pulau dengan aktiviti seperti di daratan dek kerana kapal yang besar sehingga gelombang ombak sendiri pun tidak terasa.
Semoga jawapan seperti ini boleh memberi pencerahan ilmu mengikut neraca Syariah. Amin.