Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1195: BOLEHKAH AKAD NIKAH TANPA MENYEBUT MAHAR?

akad nikah.JPG

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin mendapatkan kepastian, adakah wajib menyebut mahar ketika akad nikah? dan adakah boleh akad nikah tanpa sebut mahar? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada asasnya, mahar adalah tidaklah termasuk daripada rukun nikah. Imam al-Nawawi berkata:

قَالَ الأَصْحَابُ : لَيْسَ الْمَهْرُ رُكْنًا فِي النِّكَاحِ بِخِلافِ الْمَبِيعِ وَالثَّمَنِ فِي الْبَيْعِ

Maksudnya: Al-Ashab berkata: Mahar itu bukanlah satu rukun dalam pernikahan, berbeza dengan barang dan harga dalam jual-beli. (Lihat Raudhah al-Talibin, 7/247)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Uqbah bin Amir R.A, menyebut:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ لِرَجُلٍ : أَتَرْضَى أَنْ أُزَوِّجَكَ فُلاَنَةَ ؟ قَالَ : نَعَمْ ، وَقَالَ لِلْمَرْأَةِ : أَتَرْضَيْنَ أَنْ أُزَوِّجَكِ فُلاَنًا ؟ قَالَتْ : نَعَمْ ، فَزَوَّجَ أَحَدَهُمَا صَاحِبَهُ فَدَخَلَ بِهَا الرَّجُلُ وَلَمْ يَفْرِضْ لَهَا صَدَاقًا ، وَلَمْ يُعْطِهَا شَيْئًا وَكَانَ مِمَّنْ شَهِدَ الْحُدَيْبِيَةَ وَكَانَ مَنْ شَهِدَ الْحُدَيْبِيَةَ لَهُ سَهْمٌ بِخَيْبَرَ فَلَمَّا حَضَرَتْهُ الْوَفَاةُ قَالَ : إِنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم زَوَّجَنِي فُلاَنَةَ ، وَلَمْ أَفْرِضْ لَهَا صَدَاقًا ، وَلَمْ أُعْطِهَا شَيْئًا ، وَإِنِّي أُشْهِدُكُمْ أَنِّي أَعْطَيْتُهَا مِنْ صَدَاقِهَا سَهْمِي بِخَيْبَرَ ، فَأَخَذَتْ سَهْمًا فَبَاعَتْهُ بِمِائَةِ أَلْفٍ.

Maksudnya: Bahawa Nabi SAW pernah berkata kepada seorang lelaki: “Apakah kamu bersedia aku nikahkan dengan wanita ini?” Jawab dia: “Ya.” Kemudian Baginda berkata pula kepada si wanita: “Apakah kamu bersedia aku nikahkan dengan lelaki itu?” Wanita tersebut menjawab: “Ya.”

Kemudian Baginda pun menikahkan mereka berdua. Lelaki tersebut kemudian bercampur dengannya (menggaulinya) dalam keadaan belum menentukan mahar dan belum memberikan sesuatu pun kepadanya. Lelaki ini termasuk orang yang menyaksikan peristiwa Hudaibiyah, dan orang yang sempat menyaksikan peristiwa Hudaibiyah mempunyai bahagian (tanah) di Khaibar.

Kemudian tatkala kematian hampir menjemputnya, dia berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW menikahkanku dengan fulanah, dan aku belum sebutkan maharnya, dan aku belum beri apa-apa pun (sebagai mahar). Aku jadikan kamu semua sebagai saksi, bahawa aku telah memberi si fulanah tanahku di Khaibar sebagai mahar untuknya.” Wanita itu pun mengambil bahagian tanah suaminya di Khaibar dan menjualnya dengan harga 100,000.

Riwayat Abu Daud (2117) dan al-Baihaqi
dalam al-Sunan al-Kubra (14110)

Ibn Ruslan berkata: Hadis ini menunjukkan dalil bahawa sah akad nikah tanpa menamakan jumlah mahar atau mas kahwin. Ia dikenali sebagai nikah tafwidh. Keharusan ini bukanlah membawa kepada makruh. Akan tetapi al-Mutawalli menyatakan hukumnya makruh. (Lihat Syarh Sunan Abi Daud oleh Ibn Ruslan, 9/419)

Allah SWT berfirman:

لَّا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ إِن طَلَّقْتُمُ النِّسَاءَ مَا لَمْ تَمَسُّوهُنَّ أَوْ تَفْرِضُوا لَهُنَّ فَرِيضَةً

Maksudnya: “Tidaklah kamu bersalah dan tidaklah kamu menanggung bayaran maskahwin) jika kamu menceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka atau (sebelum) kamu menetapkan maskahwin untuk mereka.”

(Surah al-Baqarah: 236)

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Nawawi berkata bahawa dibolehkan akad nikah tanpa menentukan mahar. Ayat tersebut menunjukkan, Allah SWT menilai sah talak tanpa menentukan mahar. (Lihat al-Majmu’, 16/322)

Imam al-Baghawi berkata, ayat di atas turun berkenaan dengan lelaki Ansar yang menikahi wanita daripada Bani Hanifah dan tidak menyebut atau menentukan mahar ketika akad nikah. Kemudian lelaki tersebut menceraikannya sebelum terjadinya hubungan intim. Maka turunlah ayat ini. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 1/283. Lihat juga al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 3/202)

Sebahagian fuqaha’ daripada kalangan mazhab Syafi’e menyebut bahawa menyebut kadar mahar ketika akad ialah sunat. Mereka berpendapat sedemikian kerana Nabi Muhammad SAW tidak pernah berkahwin atau mengahwinkan anaknya dan orang lain tanpa menyebutkan kadar mahar. Sebahagiannya pula berpendapat bahawa tidak menyebut jumlah mahar dalam akad adalah makruh. (Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Mar’ah, 7/53. Lihat juga al-Fiqh al-Islami wa-Adillatuh, 7/251)

Sekiranya mahar tidak disebutkan dalam akad, pernikahan tetap sah di sisi syarak. Walaubagaimanapun mahar tetap wajib ditunaikan dan akan menjadi hutang suami. (Lihat al-Mufassal, 7/88)

 

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, menyebut dan memperjelaskan mahar ketika akad bukanlah menjadi satu kewajipan, namun ia amat digalakkan dan amat baik supaya dapat mengelakkan pertikaian pada masa akan datang. Ini juga sebagai tanda memuliakan isteri.

Justeru, kami tegaskan di sini, sebutlah mahar sekalipun hukumnya sunat pada pendapat sebahagian ulama’.

Kami akhiri dengan doa kepada Allah SWT:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: "Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Semoga Allah SWT mengurniakan kefahaman yang tepat kepada kita dalam mengamalkan titah perintah-Nya. Amin.