Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1204 : GOSOK GIGI TERLEBIH DAHULU SEBELUM MANDI WAJIB

af1204 compressed

Soalan :

Assalamualaikum WBT. Saya ada satu soalan. Minta maaf jika soalan ini agak pelik. Adakah sah mandi wajib jika gosok gigi terlebih dahulu?. Terima kasih ustaz.

Jawapan :

Waalaikumussalam wbt. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Mandi merupakan salah satu cara untuk mengangkat hadas dan membersihkan diri. Ini berdasarkan kepada firman Allah di dalam Al-Quran:

إِنَّ ٱللَّـهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya :” SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

(Surah Al-Baqarah : 222)

Mandi ada dua jenis. Salah satunya adalah mandi wajib. Mandi wajib merupakan syarat sah bagi satu-satu ibadat.Ada beberapa keadaan yang diwajibkan untuk mandi. Antaranya haid, nifas, berjimak, keluar air mani dan sebagainya.Ada beberapa riwayat yang menunjukkan jika seseorang melakukan atau berada di dalam keadaan tertentu maka diwajibkan untuk mandi. Di antaranya sabda Nabi SAW :

إِذَا جَلَسَ بَيْنَ شُعَبِهَا الْأَرْبَعِ ثُمَّ جَهَدَهَا فَقَدْ وَجَبَ الْغَسْلُ

Maksudnya :” Jika seseorang duduk di antara kedua-dua betis dan peha (perempuan) kemudian dia menyetubuhinya maka wajib mandi (baginya).”

Riwayat Al-Bukhari (291)

Tanpa mandi wajib maka tidak sahlah mana-mana ibadat yang dilakukan. Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, perlu diketahui bahawa sah atau tidak mandi wajib tertakluk kepada dua rukun. Iaitu niat dan meratakan air ke seluruh badan. Sheikh Salim Bin Sumair Al-Hadrami, pengarang kitab Safinah Al-Naja menyebut :

“Rukun mandi ada dua. Iaitu niat dan meratakan air keseluruhan badan,” (Rujuk Safinah Al-Naja Fi Ma Yajibu Al-Abdi Li Maulahu, hlm 2)

Jika dua rukun ini dipenuhi maka mandi tersebut dianggap sah. Adapun selain daripada itu ianya adalah sunat sahaja. Sunat-sunat ketika mandi terlalu banyak untuk disebutkan. Di antaranya ialah membaca bismillah, bersiwak, menghadap kiblat dan lain-lain lagi. Al-Khatib Al-Syarbini menyebut bahawa sunat-sunat mandi terlalu banyak untuk disebutkan. Lima daripadanya ialah membaca Bismillah, berwuduk sebelum mandi, meratakan air dengan tangan, mualat dan mendahulukan bahagian kanan. (Rujuk Al-Iqna’ Fi Hilli Alfaz Abi Syuja’, 1/63)

Kesimpulannya, sah mandi wajib seseorang jika dia mengosok gigi atau melakukan apa sahaja sebelum mandi. Ini kerana di antara rukun mandi yang wajib untuk dilakukan ialah niat dan meratakan air keseluruhan. Selain daripada dua perkara ini adalah sunat sahaja.

Wallahua’alam.