Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1206: HUKUM ISTERI MEMPELAWA LELAKI ASING MASUK KE RUMAH KETIKA KETIADAAN SUAMI

 Screen Shot 2019 04 11 at 12.50.53 PM

SOALAN

Bolehkah seorang wanita mempelawa lelaki asing datang ke rumah ketika ketiadaan suami dan tanpa keizinan suami atas alasan sekadar untuk melakukan tugasan bersama?

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Islam merupakan agama yang mengangkat nilai wanita pada martabat yang tinggi. Seawal permulaan dakwah Nabi SAW hinggalah ke akhir hayat Baginda Nabi SAW, sangat jelas bagaimana Nabi SAW sentiasa mengajak manusia untuk mengangkat kemuliaan kaum wanita. Sehinggakan Rasulullah SAW ketika ditanya kepada Baginda SAW oleh seorang sahabat seperti mana yang diriwayatkan Anas RA:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَيْكَ قَالَ ‏"‏ عَائِشَةُ ‏"

Maksudnya: Wahai Rasulullah, siapakah di antara manusia yang paling kamu cintai? Maka Baginda SAW bersabda: “Aisyah”.

Riwayat al-Bukhari 4358

Selain itu, dalam hadis yang lain, yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa, Baginda Nabi SAW bersabda:

وَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ فَإِنَّ الْمَرْأَةَ خُلِقَتْ مِنْ ضِلَعٍ وَإِنَّ أَعْوَجَ شَىْءٍ فِي الضِّلَعِ أَعْلاَهُ إِنْ ذَهَبْتَ تُقِيمُهُ كَسَرْتَهُ وَإِنْ تَرَكْتَهُ لَمْ يَزَلْ أَعْوَجَ اسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا

Maksudnya:  Nasihatilah kaum wanita, kerana wanita itu diciptakan dari tulang rusuk. Sesungguhnya tulang rusuk yang paling bengkok adalah pada bahagian paling atas. Maka jika kamu berusaha untuk meluruskannya, kamu akan mematahkannya, dan jika kamu membiarkan sebagaimana adanya maka ia akan tetap dalam keadaan bengkok. Maka nasihatilah dengan perkara yang baik kepada kaum perempuan. 

Riwayat Muslim (1468)

Berdasarkan dua hadith ini jelaslah bahawa Islam tidak sesekali merendahkan kaum wanita seperti mana yang dilakukan oleh sebahagian agama dan masyarakat lain di dunia. Lihat sahaja pada hadith yang pertama, betapa tingginya cinta Nabi kepada Aisyah sehingga meletakkannya di tempat orang yang paling Nabi cintai. Ini jelas menunjukkan bahawa isteri itu bukanlah seperti hamba yang dihalalkan untuk melakukan apa sahaja, tetapi isteri adalah tanggungjawab kepada seorang suami untuk dicintai.

Pada hadith yang kedua pula jelas memaparkan bahawa peranan untuk membimbing wanita dengan penuh kelembutan adalah suatu tanggungjawab yang Baginda SAW syariatkan.

Dalam meneliti isu ini, kami bawakan sebuah kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW. Hal ini seperti mana yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Amr RA:

أَنَّ نَفَرًا مِنْ بَنِي هَاشِمٍ دَخَلُوا عَلَى أَسْمَاءَ بِنْتِ عُمَيْسٍ فَدَخَلَ أَبُو بَكْرٍ الصِّدِّيقُ وَهِيَ تَحْتَهُ يَوْمَئِذٍ فَرَآهُمْ فَكَرِهَ ذَلِكَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقَالَ لَمْ أَرَ إِلاَّ خَيْرًا ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏"‏ إِنَّ اللَّهَ قَدْ بَرَّأَهَا مِنْ ذَلِكَ ‏"‏ ‏.‏ ثُمَّ قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَلَى الْمِنْبَرِ فَقَالَ ‏"‏ لاَ يَدْخُلَنَّ رَجُلٌ بَعْدَ يَوْمِي هَذَا عَلَى مُغِيبَةٍ إِلاَّ وَمَعَهُ رَجُلٌ أَوِ اثْنَانِ

Maksudnya: Suatu ketika beberapa lelaki Bani Hasyim masuk ke rumah Asma binti ‘Umais. Tidak lama kemudian Abu Bakar al-Siddiq juga memasuki rumah tersebut ketika itu Asma binti Umais telah menjadi isteri Abu Bakar. Di dalam rumah Asma, Abu Bakar melihat para lelaki Bani Hasyim tersebut, dan beliau tidak menyukai perkara itu. lalu beliau menceritakan kepada Rasulullah SAW, kemudian berkata: “Saya tidak melihat apa-apapun melainkan perkara yang baik sahaja!” Rasulullah SAW lalu bersabda: “Allah telah membebaskan Asma dari hal-hal buruk itu.” Kemudian Rasulullah SAW naik mimbar dan bersabda: “Semenjak hari ini, jangan sekali-kali seorang lelaki menemui wanita yang menyendiri (saat suaminya tidak ada) kecuali dia disertai oleh satu atau dua lelaki lainnya.

Riwayat Muslim (2173)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadith ini, menyebutkan wanita yang menyendiri ketika ketiadaan suami itu termasuk sama ada suami itu bermusafir ke luar negara atau hanya meninggalkan rumah untuk sementara. Lihat kitab Sahih Muslim bi Syarhi al-Nawawi (4/21)

Selain itu,terdapat juga tegahan-tegahan yang disebutkan Baginda SAW melalui hadith yang diriwayatkan oleh Uqbah bin Amir RA bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ كَانَ ثَالِثَهُمَا الشَّيْطَانُ

Maksudnya: Tidak berdua-duaan seorang lelaki dan perempuan (yang bukan mahram) melainkan ada yang ketiga iaitu syaitan.

Riwayat al-Tirmizi (1171)

 

AKTA KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1997

Menurut Akta ini, di bawah Seksyen 27 kesalahan Khalwat menyatakan bahawa:

Mana-mana- 

(a) orang lelaki yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang perempuan yang bukan isteri atau mahramnya; atau
(b) orang perempuan yang didapati berada bersama dengan seorang atau lebih daripada seorang lelaki yang bukan suami atau mahramnya,

di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak bahawa mereka sedang melakukan perbuatan yang tidak bermoral adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

 

Kesimpulan

Berdasarkan nas dan hujah di atas, kami melihat bahawa hukum lelaki ajnabi atau yang asing tidak mempunyai hubungan kekeluargaan dan mahram adalah dilarang sama sekali untuk masuk ke rumah wanita yang ketiadaan suami. Ini jelas seperti mana yang disebutkan di dalam hadith yang disebutkan melalui khutbah Baginda SAW di atas.

Dalam hal ini, selain daripada tanggungjawab seorang isteri untuk menjaga amanah suami iaitu, menjaga rumah daripada dimasuki lelaki asing, perlu diingatkan sebagaimana kami sebutkan pada awal, bahawa Islam sangat menjaga kehormatan wanita. Oleh itu, janganlah sesekali para wanita sekalian mengoyakkan kemuliaan yang diangkat oleh Islam.

Kesalahan ini juga termaktub dalam undang-undang Syariah seperti yang disebutkan di atas.

Semoga kita semua mendapat hidayah dalam mempraktikkan syariat-Nya.