Soalan
Saya pernah mendengar seorang ustaz mengajar bahawa mengambil wudhu di rumah untuk solat jemaah di masjid adalah lebih afdhal berbanding mengambil wudhu di masjid. Adakah ada hadith Nabi SAW yang menyatakan perkara demikian?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Terdapat beberapa hadith dengan lafaz yang berbeza yang mengisyaratkan bahawa berwudhu di rumah lebih utama berbanding di masjid.
Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ مَشَى إِلَى بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ لِيَقْضِيَ فَرِيضَةً مِنْ فَرَائِضِ اللَّهِ كَانَتْ خَطْوَتَاهُ إِحْدَاهُمَا تَحُطُّ خَطِيئَةً وَالأُخْرَى تَرْفَعُ دَرَجَةً
Maksudnya: Barangsiapa yang bersuci di rumahnya, kemudian berjalan ke masjid untuk mendirikan solat fardhu yang diwajibkan oleh Allah SWT, maka langkahan pertama menghapuskan dosanya, dan langkahan kedua mengangkat darjatnya.
Riwayat Muslim (666)
Ini juga dikuatkan dengan hadith riwayat Abu Umamah RA yang menyatakan bahawa Baginda SAW bersabda:
مَنْ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ مُتَطَهِّرًا إِلَى صَلاَةٍ مَكْتُوبَةٍ فَأَجْرُهُ كَأَجْرِ الْحَاجِّ الْمُحْرِمِ
Maksudnya: Sesiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk mendirikan solat fardhu, maka pahalanya menyamai pahala seorang yang mengerjakan haji yang telah mengenakan ihram.
Riwayat Abu Daud (558)
Selain itu, Sahl ibn Hunaif RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَطَهَّرَ فِي بَيْتِهِ ثُمَّ أَتَى مَسْجِدَ قُبَاءٍ فَصَلَّى فِيهِ صَلاَةً كَانَ لَهُ كَأَجْرِ عُمْرَةٍ
Maksudnya: Sesiapa yang bersuci di rumahnya, dan datang ke masjid Quba’ kemudian solat, maka pahalanya seumpama pahala mengerjakan umrah.
Riwayat Ibn Majah (1412)
Utman bin ‘Affan RA pula meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَوَضَّأَ لِلصَّلاَةِ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ مَشَى إِلَى الصَّلاَةِ الْمَكْتُوبَةِ فَصَلاَّهَا مَعَ النَّاسِ أَوْ مَعَ الْجَمَاعَةِ أَوْ فِي الْمَسْجِدِ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَهُ
Maksudnya: Barangsiapa yang berwudhu untuk solat secara sempurna, kemudian berjalan untuk mengerjakan solat fardhu bersama orang ramai, atau secara berjemaah atau di masjid, Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosanya.
Riwayat Muslim (232) dan al-Nasa’ie (856)
Menurut Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti, hadith-hadith seumpama ini tidak hanya khusus kepada mereka yang berwudhu di rumah sahaja, bahkan ia meliputi kesemua mereka yang mengambil wudhu sejurus azan berkumandang dan bersegara ke masjid, sama ada mereka berada di rumah, di tempat kerja atau di mana-mana sahaja.
Menulis Syeikh Syams al-Haq al-Abadi, hadith ini merujuk kepada mereka yang keluar dari rumah, atau kedainya, atau meninggalkan apa jua kesibukan dunia untuk solat. Oleh kerana itu, mereka yang menuju solat dalam keadaan berwudhu, pahala mereka adalah lebih besar dan afdhal.
Adapun mereka yang terbatal wudhunya sewaktu dalam perjalanan ke masjid, maka mereka tetap memperoleh keutamaan ini, kerana mereka yang berniat untuk melakukan satu kebaikan namun ditimpa sesuatu yang membuatkan mereka tidak mampu menyempurnakannya, maka dia tetap diberi pahala seperti yang berjaya menyempurnakannya. (Rujuk ‘Aun al-Ma’bud, 2/185)
Kesimpulan
Tuntasnya, hadith-hadith yang menyebut keutamaan berwudhu di rumah berbanding di masjid untuk solat jemaah adalah tsabit daripada Nabi SAW. Hal ini kerana berada dalam keadaan suci dan berwudhu adalah lebih utama berbanding dalam keadaan tanpa wudhu.
Begitu juga dengan berwudhu’, seseorang itu telah mengikut arahan dan sunnah Rasulullah SAW di samping berada dalam taharah semenjak niat hatinya melangkah ke masjid lagi. Sudah barang tentu, akan memberikan dirinya kebaikan yang banyak.
Hadith ini juga menunjukkan keutamaan sikap kesegeraan untuk menuju solat, dengan meninggalkan apa jua kesibukan dunia untuk menyahut seruan Ilahi.
Selain itu, berwudhu di rumah juga boleh menjimatkan dana pengurusan masjid yang perlu menanggung bil air yang tinggi setiap bulan. Ini boleh menjimatkan dana masjid dan boleh digunakan untuk tujuan-tujuan lain seperti memberi makan kepada fakir miskin dan lain-lain.