Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1289 : PERLUKAH QADHA' SOLAT MUSAFIR YANG DIBUAT TIDAK CUKUP SYARAT SAH

af1289 compressed

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Selepas membaca penerangan al-kafi #926, barulah saya faham bahawa sekiranya berniat musafir dan menetap di suatu tempat melebihi 3 hari, sata tak boleh jamak dan qasar sepanjang tempoh bermukin di tempat itu. Jadi, sekarang bagaimana hukumnya bagi solat yang sebelum ini pernah dijamak dan diqasarkan tanpa menepati syarat sahnya? Adakah tidak diterima dan perlu diqada’?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah ﷻ. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asalnya Islam mengharuskan bagi orang yang musafir bagi perjalanan lebih dua marhalah untuk mengqasarkan atau memendekkan rakaat solat-solat yang menerima hukum qasar seperti solat fardu Zohor, Asar dan Isyak. Islam juga mengharuskan orang yang musafir untuk menghimpunkan dua solat fardu dalam satu masa atau disebut sebagai menjamakkan solat. Terdapat dua kategori jamak solat; jamak taqdim dan jamak ta’khir.

Hukum hakam qasar dan jamak ini masing-masing mempunyai syarat-syarat sah yang perlu dipenuhi untuk menjadikannya sah dan mengangkat kewajipan solat fardu. Kegagalan memenuhi syarat-syarat tersebut boleh menyebabkan solat itu tidak sah dan perlu diulang semula secara tamam.

Isu yang dibangkitkan di atas adalah perbezaan antara status musafir dan mukim berdasarkan niat menetap di destinasi mengikut bilangan hari tertentu. Dalam mazhab al-Syafie, salah satu syarat sah mengqasarkan solat itu ialah hendaklah tidak berniat menetap selama empat hari di tempat yang dituju selain pada hari mula sampai dan pada hari akan keluar. Rujuk al-Fiqh al-Manhaji (hlm. 187)

Ertinya, tempoh maksimum untuk menetap di destinasi yang boleh dianggap musafir dan bukan bermukim ialah 3 hari tidak termasuk hari sampai dan hari keluar. Jika dimasukkan hari sampai dan hari keluar maka akan mencecah 5 hari. Ketetapan tiga hari ini adalah berdasarkan hadis al-Ala` bin al-Hadhrami RA, bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

ثَلاَثٌ لِلْمُهَاجِرِ بَعْدَ الصَّدَرِ

Maksudnya: “Tiga hari bagi orang Muhajirin (boleh menetap di Makkah) selepas al-sadar (yakni selesai manasik Haji).”

                                                                               Riwayat al-Bukhari (3933) dan Muslim (1352)

Berkata Imam Abu Ishak al-Syairazi sebelum berdalilkan hadis ini: “Jika seorang musafir itu berniat muqim (menetap) empat hari selain hari masuk dan hari keluar maka jadilah sebagai seorang mukim (semata-mata dengan niat itu), dan terpotonglah (yakni terhentilah) rukhsah musafirnya kerana berniat menetap tiga hari tidak menjadikan musafir itu seorang mukim.”

Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhadzdzab (4/359)

Berkenan dalil solat jamak ketika musafir, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ، وَيَجْمَعُ بَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW menjama’kan solat Zuhur dengan Asar ketika perjalanan (yakni bermusafir) dan menjama’kan solat Maghrib dengan Isya’.”

Riwayat al-Bukhari (1056)

Hadith seterusnya, daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَمَعَ بَيْنَ الصَّلاَةِ فِى سَفْرَةٍ سَافَرْنَاهَا فِى غَزْوَةِ تَبُوكَ فَجَمَعَ بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ قَالَ سَعِيدٌ بِنْ جُبَيْرٍ فَقُلْتُ لاِبْنِ عَبَّاسٍ: مَا حَمَلَهُ عَلَى ذَلِكَ؟ قَالَ: أَرَادَ أَنْ لاَ يُحْرِجَ أُمَّتَهُ

Maksudnya: “Nabi SAW menjama’kan solat dalam perjalanan yang kami lakukan ketika peperangan Tabuk. Baginda menjama’kan solat Zuhur dengan solat Asar dan solat Maghrib dengan Isyak. Said bin Jubair berkata: Aku bertanya kepada Ibn Abbas: Apakah yang mendorong Baginda berbuat begitu? Jawabnya: Baginda tidak mahu menyusahkan umatnya.”

Riwayat Muslim (705)

Justeru, jika seseorang itu berniat menetap di destinasi selama 4 hari dan lebih, tidak termasuk hari sampai dan hari pulang, dia sudah dikategorikan sebagai bermukin di tempat itu sesampainya di tempat itu. Dia juga wajib memerhatikan hukum hakam sebagai seorang bermukim seperti solat tamam (lawan bagi qasar yakni sempurna 4 rakaat) dan menunaikan solat Jumaat jika cukup syarat-syarat wajib di tempat itu.

Pengecualiaan diberikan jika dia berniat bermukim di tempat itu kerana ada hajat urusan yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 3 hari, seperti berlaku angin kencang, dan menunggu orang untuk bermusafir bersama. Begitu juga jika kenderaan rosak atau tiket bas habis dan sebagainya. Orang ini boleh melakukan solat jamak dan qasar sehingga 18 hari. Rujuk Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiyyah (ms. 371) oleh Habib Sa`ied Ba `Isyn.

Berdasarkan fakta di atas, seseorang yang melakukan solat jamak dan qasar di suatu destinasi dengan niat menetap di sana melebihi 3 hari tidak termasuk hari sampai dan hari keluar, hendaklah mengganti semula semua solat-solat yang dia telah laksanakan secara jamak dan qasar. Hendaklah dia dengan sedaya upaya menghitung bilangan hari-hari berkenaan dengan merujuk kepada apa-apa sumber yang boleh dipercayai seperti diari, kalendar, catatan peribadi atau bertanya dengan orang yang ikut bermusafir sekali. Sekiranya berlaku keraguan antara dua bilangan, seperti antara 10 hari atau 15 hari, ambillah bilangan yang paling tinggi sebagai langkah berhati-hati.

Namun bukan semua solat perlu digantikan. Misalnya, solat Maghrib tidak perlu diganti kerana jika dibuat secara ta’khir ia menjadi solat qada’ dan memadai untuk mengangkat kefarduannya, sekalipun berdosa jika dibuat secara sengaja. Begitu juga solat yang tidak boleh dijamak atau diqasarkan seperti solat Subuh. Sekiranya ada solat yang tidak diqasarkan tetapi hanya dijamakkan, maka hanya perlu digantikan solat Asar dan Isyak yang dilakukan secara jamak taqdim, dan tidak perlu bagi jamak ta`khir kerana telah dilaksanakan pada waktunya. Wallahua’lam.

Akhir kalam, marilah kita berdoa agar Allah ﷻ memberikan kita kefahaman dan kekuatan dalam melaksanakan amal ibadat yang dipertanggungjawabkan ke atas kita. Amin.