Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1300: HUKUM PEMBERIAN KUPON KEPADA PELANGGAN

AK1300.JPG

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Seri Mufti. Apakah dibolehkan untuk sesebuah peniaga menetapkan bahawa sekiranya pelanggan membeli melebihi RM 100, pelanggan tersebut akan diberi satu kupon bernilai RM 10. Dan sekiranya pembelian di bawah daripada RM 100, maka tidak mendapat apa-apa. Mohon penjelasan? Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Kupon bermaksud surat kecil atau tiket yang boleh ditukarkan dengan barang atau untuk membeli barang.(Lihat Kamus Pelajar Edisi Kedua) Pada masa kini, konsep pemberian kupon berlaku secara meluas dalam perniagaan yang melibatkan peniaga dengan pelanggan. Antara tujuan pemberian kupon kepada pelanggan adalah sebagai satu usaha menarik pelanggan untuk terus setia membeli di tempat mereka. Justeru, dapat difahami bahawa kupon adalah salah satu strategi pemasaran untuk lebih melariskan serta meningkatkan keuntungan dalam perniagaan.

Konsep keuntungan dan kejayaan dalam perniagaan tidak boleh diperolehi dengan cara menipu dan muslihat. Perniagaan yang berlaku mestilah di atas prinsip reda-meredai antara peniaga dan pelanggan. Allah SWT melarang hambanya mengambil hak milik orang lain dengan cara kezaliman. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’ : 29)

Syeikh al-Maraghi menyebut, keuntungan dalam perniagaan tidak diperolehi dengan cara menipu atau muslihat, tetapi dengan cara saling reda-meredai. Sekiranya jual beli tidak mengikut cara yang betul, tentu tidak ada orang yang mahu berdagang, bahkan tidak akan suka untuk turut berdagang. Urusan jual beli juga memerlukan kepandaian dan kecerdasan serta ketelitian ketika bermuamalah.(Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1170)

Menjawab kepada persoalan ini, hukum peniaga memberikan kupon kepada pelanggan sekiranya membuat pembelian pada nilai tertentu adalah boleh dan diharuskan. Perkara ini adalah termasuk dalam urusan muamalat sesama manusia yang diharuskan oleh syarak, selagimana tidak ada dalil yang melarang dan menegah. Hal ini bertetapan dengan kaedah fiqh:

الأَصْلُ فِي المعَامَلَاتِ الإِبَاحَة

Maksudnya: “Hukum asal dalam muamalat ialah harus.”

Dalam isu ini juga, sekiranya pelanggan telah memenuhi syarat untuk mendapatkan kupon, maka peniaga perlu memenuhi syaratnya untuk memberikan kupon. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Kathir bin 'Amr bin 'Awf Al-Muzani daripada ayahnya daripada datuknya daripada Nabi SAW telah bersabda:

الْمُسْلِمُوْنَ عَلَى شُرُوْطِهِمْ إِلاَّ شَرْطًا حَرَّمَ حَلاَلاً أَوْ أَحَلَّ حَرَامًا

Maksudnya: “Dan kaum Muslimin harus memenuhi syarat-syarat yang telah mereka sepakati kecuali syarat yang mengharamkan suatu yang halal atau menghalalkan suatu yang haram”. [Riwayat al-Tarmizi (1352)] [Hadith ini adalah hasan sahih menurut Imam al-Tirmizi]

Hadis ini menjelaskan ciri-ciri yang yang terkandung di dalam akad atau perjanjian yang seharusnya dipatuhi. Setiap orang Islam wajib mematuhi syarat yang telah dibuat dan tidak boleh memungkirinya selagimana perkara tersebut tidak menyalahi hukum syarak. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/487)

KESIMPULAN

Tuntasnya, pemberian kupon oleh peniaga kepada pelanggan adalah harus dan dibolehkan oleh syarak. Namun begitu, muamalat seperti ini perlulah pada perkara-perkara yang dihalalkan oleh Allah SWT serta jauh daripada sebarang bentuk riba, penindasan, tamak dan khinat. Begitu juga, sifat amanah dan jujur perlu ada dalam diri setiap perniaga bagi menjamin keberkatan dalam perniagaan. Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id R.A, Nabi SAW bersabda:

التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ، وَالصِّدِّيقِينَ، وَالشُّهَدَاءِ

Maksudnya: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.” [Riwayat al-Tirmizi (1209)][Hadith ini adalah hasan menurut Imam al-Tirmizi]

Kami akhiri penjelasan ini dengan sepotong doa yang diajarkan oleh Nabi SAW:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Rabb kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari seksa api neraka.”

Semoga penjelasan ringkas ini memberi kita kefahaman yang mendalam dalam memahami dan mengamalkan ajaran Islam yang sebenar. Amin.